Headlines News :
Home » » Cerpen : Yang Menyatukan Cinta

Cerpen : Yang Menyatukan Cinta

Written By zabidi on Monday, 22 May 2023 | 11:52 am


Oleh Nazri Hussein

 Semenjak kematian ayahanda dan bonda kami beberapa tahun silam, rumah pusaka itu terbiar tanpa jagaan. Rumah kayu bertiang cengal dengan binaan tradisi Melayu itulah satu-satunya harta peninggalan kedua orang tua yang masih ada.

Kawasan lapang di halaman rumah yang pernah menjadi tempat kami adik beradik berkumpul suatu waktu dahulu terbiar tanpa terjaga. Rumput-rampai dan tumbuhan liar tumbuh berceracak di perdu tanah manakala daun-daun kering bersepahan di setiap inci bumi.

Di sudut kecil bersebelahan pagar, sergam wakaf kayu mulai mereput dengan reja-reja papan yang mulai tersungkur jatuh satu persatu.

Waktu terlalu pantas bergerak. Usia juga telah membawa kami jauh ke dunia kedewasaan meninggalkan waktu riang di musim kanak-kanak serba terindah. Seperti daun-daun kering yang bersepahan jatuh di halaman tanah dan tidak akan mampu lagi untuk kembali ke hujung julai atau di pangkal dahan.

Musim demi musim datang dan pergi silih berganti –Syawal tetaplah nostalgia yang terlalu manis untuk dikenang. Syawal yang pernah menyatukan kasih sayang kami adik beradik di bawah redup cinta ayahanda dan bonda. Di sinilah segala-galanya terakam mengimbau kisah dan cerita di musim silam yang utuh terpahat kukuh. Sayangnya, segalanya itu menjadi titik saat kepentingan kerjaya mula memisahkan kami. Kami terkepung oleh nafsu mengejar tuntutan duniawi demi kelangsungan hidup. Apatah lagi jarak dan tempat memisahkan kami untuk bersatu. Hanya tanah ini yang masih ada.

Masih wujud di pinggiran desa yang terkepung oleh pembangunan dan kemajuan.

Rumah pusaka kami sudah terlalu uzur. Atap dan perabung semakin banyak yang bocor selain dinding-dinding kayu yang sudah dimamah anai-anai perosak. Kami – empat beradik yang berhak sebagai pewaris rumah sudah tidak mampu untuk menjaga pusaka warisan itu disebabkan kekangan tugas dan kerjaya masing-masing.

Abangku yang sulung jauh di utara manakala kakak keduaku, Manisah memilih untuk menetap di Amerika Syarikat sebagai pengurus projek antarabangsa. Satu-satu adik perempuanku, Syakimah membina dunia perniagaannya di ibu kota sebagai saudagar besar. Kami terpisah oleh pagar-pagar duniawi yang menghalang untuk bersatu di rumah peninggalan ini. Urusan kehidupan dan kerjaya sering menjadi tembok besar yang menghalang kami untuk bersama menjengah kaki di kampung halaman.

Usia yang berputar bagai roda membawa takdir hidup masing-masing untuk bermusafir jauh. Maka, sergam rumah klasik itu terbiar dan terbiar menjadi monumen yang sekadar tumbuh di dalam taman ingatan sahaja.

'Rumah ini terlalu banyak nostalgia.Mak dan ayah melatih kita menjadi manusia di rumah ini."

Abang sulungku, Dr Irwandi selalu berseloroh dalam ungkap pesan di hujung rakaman video kecilnya di peranti media sosial. Video itulah yang mengisi hubungan akrab kami yang berdurasi beberapa minit tatkala kesibukan mengisi masa senggang yang kian bersisa. Hari itu, tatkala didakap Ramadan, dia mengutuskan rakaman video di paparan WhatsApp kami empat beradik dengan ungkapan yang bersungguh-sungguh.

Sudah beberapa kali Syawal menjelang tiba. Akan tetapi perancangan kita untuk bersama meraikan lebaran di rumah pusaka kita masih kekal menjadi impian kosong. Alangkah indahnya jika kita dapat melunaskan harapan yang tersimpan begitu lama itu.

Aku menulis kata-kata sebagai membalas kiriman video daripada abang sulungku di utara semenanjung.

"Tahun ini aku dan keluarga sudah menempah percutian di sebuah pulau terindah di bumi Hawaii. Maaflah kerana tidak dapat lagi memenuhi impian dan harapan untuk bersama di Aidilfitri kali ini."

Suara Manisah di hujung video rakaman yang dihantar membuatkan kami adik beradik terdiam tanpa jawapan. Impian untuk menyambut lebaran di rumah pusaka kami tertangguh lagi.

Ramadan seperti hari-hari sebelum itu panas dan berbahang dengan percikan matahari dari lapisan langit. Pohon-pohon yang tumbuh menghijau mulai layu dan kering kesan daripada kemarau yang mula melanda. Aku yang tinggal paling hampir dengan rumah pusaka ayahanda dan bonda - memilih hari ke sepuluh untuk pulang menginjakkan kaki di rumah kayu yang tersergam di tepi jalan. Tidak seperti kepulangan sebelum ini yang disertai anak-anak dan isteri, kali ini aku memilih untuk bersendirian memandu sejauh seratus kilometer untuk sampai ke kampung halaman. Sebaik memasuki kawasan kampung yang terpencil, suasana sunyi mulai terasa apabila rimbunan pohon-pohon hijau di kiri kanan jalan menyambutku. Dari jauh, kelihatan dusun kelapa yang terbentang luas tanpa penghuni. Seorang dua kanak-kanak yang berlarian di tepi danau mengimbau ingatan jauhku di dunia silam. Keretaku memasuki simpang terakhir sebelum membelok masuk ke kawasan tanah rata yang dipenuhi aneka pokok buah-buahan yang sedang berputik. Rambutan, durian, duku, manggis dan cempedak kelihatan bergugus di dahan dan ranting kayu.

Dari jauh sudah kelihatan rumah pusaka kami yang tersergam. Rumah kayu bertiang besar yang terletak di tengah-tengah kebun itu bagaikan menggamitku supaya segera menjengah. Sebaik keretaku berhenti di halaman yang dipenuhi daun-daun kering bersepahan, halusinasiku berputar jauh membayangkan wajah ayah dan bonda yang sedang menanti di bawah wakaf kecil yang separuh senget.

Aku turun dari kereta dengan perasaan aneh dan luar biasa. Seperti ada sesuatu yang menggamit untuk meninjau setiap inci ruang di bawah rumah. Ternampak di mataku kayu-kayu kecil berceracak yang masih tersimpan di dalam setor kayu. Dahulu, kayu-kayu inilah yang menjadi pemancang kepada pelita yang kami pasang ke sekeliling rumah hingga ke penjuru pagar besi. Sebelum maghrib, akan berkerlipanlah cahaya lampu pelita yang mengerdip di sekeliling kawasan rumah kami. Apatah lagi saat jiran tetangga turut bersama meraikan kegembiraan Ramadan sehinggalah malam lebaran yang melimpah keseronokan yang luar biasa.

Alangkah seronoknya tatkala Ramadan tiba. Ayahanda dan bonda merupakan orang yang paling gembira menunggu ketibaan bulan yang penuh dengan keberkatan.

"Ramadan adalah bulan ujian. Syawal pula bulan kejayaan. Kegembiraan meraikan lebaran jangan sampai melampaui sempadan syarak. Jagalah batas susila dan moral kerana itu pakaian agama kita."

Teringat pesan ayahanda setiap kali kami bergembira bermain mercun dan bunga api. Kata ayahanda, Syawal adalah waktu untuk mengukuhkan temali silaturrahim dan ukhuwah sesama sanak keluarga. Meski siapa pun kami sesudah dewasa nanti bonda tetap berpesan supaya kami pulang menjengah rumah pusaka kami di kampung halaman ini.

"Jangan sesekali dijual, digadai rumah dan tanah pusaka ini. Jadilah rumah ini sebagai tempat kamu adik beradik membina keutuhan dan kesepakatan bersama. Nanti kamu akan merasai betapa gembiranya dapat bertamu lagi di kediaman kita."

Rumah agam kami kujengah dengan memijak anak tangga hingga ke ruang tamu. Album-album lama di dalam almari lama kubuka dan kubelek sambil menatap segala paparan potret yang tersusun. Kitab-kitab tua peninggalan ayahanda yang pernah dijadikan rujukan masih tersimpan kemas. Aku membelek mencari catatan demi catan yang pernah dilakar oleh ayahanda. Dari penjuru kamar, jelas kelihatan kain pelikat dan kain batik milik ayahanda dan bonda yang tersusun di atas rak kayu. Air mataku tiba-tiba menitis laju. Terkenang kedua insan yang mempertautkan kami adik beradik dengan luhur kasih sayang dan cinta sejati.

Dari ruang dapur pula, aku menatap deretan periuk dan kuali yang tergantung dengan mata kuyu. Terkenang bagaimana di sinilah bonda menyiapkan segala menu berbuka puasa serta juadah tradisi hari raya yang tidak mungkin dapat dicari ganti. Tiba-tiba sahaja ronggaku bagai terhidu aroma lemang, ketupat dan rendang daging yang begitu menyelerakan. Ingatan pada tanggal Syawal meruntun kalbu. Di sinilah aku dan adik beradik yang lain menjamu selera dengan masakan bonda yang enak. Alangkah indahnya nostalgia itu. Nostalgia beramah mesra dengan tetamu dan jiran tetangga sambil menjamu selera sebelum kami mengatur langkah menuju ke rumah teman dan sahabat. Syawal adalah ingatan yang terlalu manis mengalir di pangkal batin. Syawal yang terangkum keakraban dan kasih sayang yang maha suci. Lamunan jauhku mati secara tiba-tiba.

Saat fajar senja mulai menguning di garis langit, aku menjengah kawasan halaman sambil memasang kembali pelita yang kubawa bersama di sekeliling rumah.. Kerlipan cahaya dari sumbu pelita mulai menyemarakkan haba ke seluruh kawasan. Semalaman aku memilih untuk menikmati suasana malam di rumah bonda dalam kesunyian yang luar biasa. Semuanya itu terakam di lensa kamera yang kubawa bersama hingga ke penghujung pagi. Setiap inci rumah termasuk kamar, dapur dan almari lama kujadikan fokus dalam rakaman yang penuh dengan sentuhan nostalgia.

"Semoga rakaman ini akan melembutkan kembali hati adik beradikku untuk pulang berkunjung ke rumah pusaka ini pada Syawal nanti."

Aku bermonolog sendiri. Lidahku bersuara dalam doa yang meniti pangkal lidah sesudah dua hari mendiami kediaman pusaka ini.

Setelah segalanya selesai, awal pagi keesokannya aku bergerak pulang ke ibu kota bersama nostalgia yang masih berkaca. Video rakamanku yang berdurasi lebih sepuluh minit bersama iringan lagu 'Cahaya Aidil Fitri' nyanyian Kumpulan Black Dog Bone kujadikan irama sandaran sebelum berkongsi kepada semua adik beradikku.

Hari-hari terakhir sebelum fajar Syawal muncul – aku telah menyiapkan segalanya untuk pulang ke tanah desa tercinta meraikan lebaran. Kali ini aku mahu berlama-lama di rumah pusaka kami meskipun tanpa kehadiran adik beradik yang lain. Biarlah mereka dengan kehidupan yang dipilih sendiri. Aku mempunyai cara tersendiri untuk mengembalikan akar tradisi yang kupertahankan. Kehidupan hanyalah selingkar kisah yang bakal ditinggalkan. Hanya yang bersedia mempertahankan warisan dan jati diri akan menikmati hidup dengan limpah kasih sayang dan cinta yang sebenar. Tuntutan kerjaya, limpahan wang ringgit dan pangkat sekadar hampas duniawi yang akhirnya tidak bermanfaat.

Lebaran Syawal tetap menggamit nostalgia. Dan rumah pusaka ini memiliki kisah dan cerita yang terlalu bernilai dalam kehidupan kami. Sehari sebelum fajar Syawal muncul – ada berita terbaharu yang masuk ke dalam gajet perantiku. Video rakaman yang kukongsi mendapat balasan daripada Irwandi, Manisah dan Syakimah.

Kami akan pulang ke rumah pusaka kita selepas Syawal ini. Tunggulah kepulangan kami dari jauh.

Bagaikan khabar terindah yang tidak terduga olehku. Kusambut berita ini dengan lirik kesyukuran yang melimpah di pangkal lidah. Teruja hati menanti kemunculan keluarga kandung kami.

Tiga puluh enam jam selepas takbir Syawal bergema, deretan kereta mula memasuki halaman rumah pusaka kami. Kelibat wajah Irwandi, Manisah dan Syakimah muncul di hadapanku. Dalam esak kesedihan kupeluk mereka satu persatu sambil mengalunkan takbir dan tahmid yang menyentuh kalbu. Kami kembali bersatu di rumah pusaka ini sambil menghimbau nostalgia dan ingatan musim silam yang teramat indah.

Syawal menyatukan kami dengan seluhur cinta. Cinta suci tatkala lebaran menitipkan hari demi hari yang penuh nostalgia.

- Penulis prolifik ini sudah 35 tahun berkarya dan kini menetap di Kemaman, Terengganu

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER