Isu
berkaitan alam sekitar memang tidak popular di Malaysia. Tidak kiralah
pencemaran air dan sungai, pencemaran bau atau pun pencemaran udara.
Namun, ulangan insiden pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor, 20 Jun
lalu mencetuskan fenomena yang membimbangkan.
Kes pencemaran udara itu memaksa Kementerian
Pendidikan menutup semua 475 institusi pendidikan di kawasan tersebut
bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap
insiden berkenaan.
Pasir Gudang adalah
kawasan industri terbesar di Malaysia yang memiliki lebih 2,000 kilang
melibatkan pelbagai industri berat dan ringan. Difahamkan hampir 300
kilang terlibat menggunakan bahan kimia dan daripada jumlah itu, 30
kilang sedang diperiksa secara intensif.
Insiden pertama lokasi bahan toksik dibuang adalah di Sungai Kim Kim, Mac lalu.
Allah menciptakan alam sekitar dengan fungsinya yang tertentu untuk kesejahteraan manusia.
Namun
jika manusia berjalan tanpa hidayah dan petunjuk daripada Allah, sudah
pasti di sana berlaku kerosakan-kerosakan yang mendatangkan bahaya
kepada alam sekitar. Antaranya pencemaran.
Apabila
manusia tidak beriman dan bertakwa serta tidak berjalan di jalan yang
lurus, maka akan berlaku banyak pencemaran dalam semua perkara.
Walaupun
manusia mendiami alam ini dan menggunakan sumber-sumber yang terdapat
di bumi ini, perlulah diingat bahawa segala yang terdapat di alam ini
bukan milik mutlak manusia, tetapi ia dimiliki oleh pencipta alam ini
iaitu Allah SWT.
Manusia tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan sumber-sumber ini dengan melampaui batas.
Penjagaan
alam sekitar juga dititik beratkan dalam Islam. Ini berdasarkan
ayat-ayat al-Quran yang menyeru manusia supaya menjaga alam sekitar.
Tambahan pula manusia dicipta dengan salah satu elemen alam iaitu tanah.
Walaupun begitu, ayat-ayat yang terdapat dalam al-Quran ini tidak menyebut secara khusus cara-cara menjaga alam sekitar .
Contohnya firman Allah yang bermaksud: Dan kepada kaum Thamud, Kami
utuskan saudara mereka: Nabi Saleh. Dia berkata: “Wahai kaumku!
Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain
daripadanya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta
menghendaki kamu memakmurkannya. (Hud: 61)
Al-Quran juga banyak menyentuh mengenai kerosakan dan pencemaran alam yang dikaitkan dengan perbuatan manusia.
Antara
firman Allah SWT bermaksud: Telah berlaku kerosakan di darat dan di
laut kesan daripada perbuatan manusia, demikian (supaya Allah) merasakan
kepada mereka terhadap (kerosakan) yang mereka lakukan, semoga mereka
kembali bertaubat. (al-Rum: 41)
Di negara
kita, kesalahan melakukan pencemaran atmosfera boleh dikenakan tindakan
di bawah Seksyen 22(3) Akta Alam Sekitar 1974 (Akta 127) iaitu denda
RM150,000, penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali dan denda RM1,000
bagi setiap hari kesalahan itu dilakukan.
Antara
faktor deterrent yang berkesan adalah dengan menaikkan denda dan
meminda akta sedia ada upaya hukuman lebih berat sebagai pengajaran
dapat dikenakan terhadap pesalah alam sekitar.
Untuk
itu, Malaysia boleh mencontohi beberapa negara luar seperti di New
South Wales, Australia.
Hukuman boleh dikenakan oleh mahkamah kepada
penjenayah alam sekitar termasuk memerintahkan pesalah melaksanakan
tugas jangka panjang seperti memulihkan keadaan sungai yang sudah musnah
hingga boleh kembali dalam keadaan asalnya.
Kita
mesti mendidik masyarakat menjaga alam sekitar sama seperti menjaga
salah satu maqasid syariah iaitu keturunan. Sebabnya memelihara dan
memulihara alam sekitar juga bermaksud menjaga kelangsungan generasi
manusia dan anak cucu cicit akan datang.
Penyelewengan
dan kerosakan terhadap alam sekitar seperti meneroka dan mengambil
hasil bumi secara berlebihan yang menjadi hak milik generasi akan datang
dianggap sebagai mengancam kelangsungan hidup keturunan masa depan.
Oleh
yang demikian Islam menggariskan beberapa cara menjaga alam sekitar.
Paling utama adalah melalui pendidikan yang berterusan dalam setiap
peringkat.
Cara terbaik ialah pendidikan
pada peringkat perkembangan manusia daripada tadika, sekolah sehingga
ke peringkat universiti. Adalah menjadi satu kewajipan menanam fikrah
pentingnya menjaga dan merawat alam sekitar.
Selain
itu, memberi kesedaran dan pengetahuan kepada orang dewasa tentang
kepentingan menjaga alam sekitar. Jadikan juga menjaga alam sekitar ini
sebagai tanggungjawab umum. Sebenarnya ia termasuk dalam amar ma’ruf,
manakala mencemarkannya termasuk dalam nahi mungkar.
Post a Comment