Headlines News :
Home » » Waspada bahaya virus dan viral

Waspada bahaya virus dan viral

Written By zabidi on Wednesday 5 February 2020 | 7:51 am

Oleh Ismail Mat

Sejak seminggu lalu, dunia dikejutkan penularan coronavirus (2019-nCoV) yang dilaporkan merebak dengan pantas, susulan pergerakan keluar penduduk dari bandar raya Wuhan dalam wilayah Hubei, China.

Meskipun Wuhan dan beberapa wilayah sekitarnya kini dalam perintah berkurung dengan penduduknya dihalang keluar, namun langkah itu boleh dianggap terlewat kerana kira-kira lima juta daripada mereka meninggalkan kawasan terbabit sebelum larangan berkuat kuasa.

Penularan wabak berkenaan sebenarnya sudah dikesan sejak Disember lalu, tetapi maklumat mengenainya disembunyikan pihak berkuasa wilayah itu seperti diakui Datuk Bandar Wuhan, Zhou Xianwang.

Akibatnya, virus yang menumpang dalam tubuh badan penduduk wilayah itu mula merebak dan menunjukkan tindak balas kepada mereka yang terkena jangkitan ketika berada di wilayah atau melancong di negara lain.

Dalam tempoh singkat, Malaysia menerima kesan apabila pelancong yang terlepas masuk ke negara ini dikesan terkena jangkitan yang setakat ini sudah lapan kes disahkan positif berada dalam kuarantin dan rawatan di hospital.

Setakat ini, jangkitan hanya dikesan dalam kalangan pelancong China dan belum ada lagi kes membabitkan jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan.

Namun, itu bukan jaminan rakyat tempatan terselamat kerana perkembangan terbaru menunjukkan seorang pemandu teksi di Thailand terkena jangkitan coronavirus selepas membawa pelancong China yang sakit.

Sewajarnya pemandu teksi dan e-hailing negara ini mengambil langkah pencegahan lebih ketat, demi melindungi diri masing-masing kerana mereka antara kelompok barisan hadapan yang berdepan pelancong yang bergerak sendirian.

Setakat ini, Malaysia membekukan kemasukan pelancong dari Wuhan dan wilayah sekitarnya yang terbabit dengan perintah berkurung di China, manakala Singapura yang merekodkan 16 kes bertindak lebih tegas apabila menghalang kemasukan pelawat baharu dari negara itu.

Perbezaan pendekatan ini mempunyai implikasi tersendiri kerana Malaysia dan Singapura bergantung kepada kehadiran pelawat dari China sebagai sumber pelancong utama.

Mungkin kelihatan keterlaluan, tetapi ketegasan Singapura itu boleh difahami kerana langkah sedemikian secara tidak langsung menyekat kemasukan baharu daripada negara sumber yang masih bergelut mencari penyelesaian terbaik kerana belum ada lagi vaksin bagi memusnahkan virus berkenaan.

Tindakan sama pasti sukar dicontohi Malaysia yang masih mengharapkan kemasukan pelancong China bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2020 yang sedang berlangsung, tetapi langkah lebih tuntas perlu diambil kerajaan bagi meredakan keresahan rakyat yang diselubungi kebimbangan untuk melancong dalam negara sendiri.

Ketika pelbagai langkah pencegahan diambil kerajaan, perbuatan segelintir individu menularkan maklumat palsu berkaitan jangkitan yang berlaku adalah perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab.

Atas nama kebebasan bersuara, berkongsi pandangan, pendapat atau melemparkan persoalan, golongan ini menjadikan media sosial sasaran melampiaskan agenda masing-masing mengikut nafsu peribadi yang sebenarnya mahu mencetuskan rasa panik dalam kalangan rakyat, apabila maklumat dikongsikan itu palsu atau fitnah.

Akaun media sosial memang hak peribadi pemiliknya, tetapi apabila digunakan bagi mempengaruhi pemikiran rakyat dengan maklumat palsu, apatah lagi kebanyakannya berbuat demikian kerana pertentangan ideologi politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-14, itu adalah perbuatan keterlaluan.

Mungkin ada yang berbuat demikian demi mengejar populariti atau menarik perhatian masyarakat, tetapi apa yang pasti berpada-pada berkongsi maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya. Ibarat terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Justeru, tindakan pembanterasan diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sewajarnya disokong semua pihak.

Siasatan dijalankan pihak berkuasa sewajarnya tidak mengambil masa terlalu panjang kerana kelewatan pendakwaan dan hukuman membuatkan amaran demi amaran yang diberi terus jadi sendaan pihak berkenaan, apabila masih ada yang berterusan berkongsi maklumat palsu tanpa rasa takut dan bimbang.

Pengarang Berita Kanan Kandungan dan Digital Berita Harian
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER