Headlines News :
Home » » 30 minit Israel boleh hancur!

30 minit Israel boleh hancur!

Written By zabidi on Wednesday, 3 July 2019 | 8:34 am

TEHERAN - Iran memberikan amaran bahawa Israel boleh ‘hancur dalam tempoh setengah jam’ jika Amerika Syarikat (AS) menyerang negara ini.

Times of Israel yang memetik Pengerusi Keselamatan Kebangsaan Parlimen Iran dan Pesuruhjaya Dasar Luar Iran, Mojtaba Zolnour berkata, ‘semua hidupan di muka bumi wilayah haram Israel akan lenyap sekelip mata’ jika AS menyerang Iran.

“Jika AS serang kita (Iran), hanya setengah jam sahaja hayat Israel untuk hidup,” tegasnya.
Iran semalam mengakui pihaknya melanggar perjanjian nuklear yang ditandatangani pada 2015 apabila menghasilkan uranium melebihi daripada paras yang sepatutnya.

Pengumuman itu dilaporkan agensi berita IRNA yang memetik kenyataan Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif ketika ketegangan antara negara ini dengan AS terus memuncak.

Ketika ditanya oleh media adakah Iran sudah melanggar perjanjian tersebut, Mohammad Javad menjawab ‘ya’.

Namun Mohammad Javad tidak menyatakan berapa jumlah uranium yang digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear sudah dihasilkan setakat ini.

Selain itu, agensi perisikan Israel, Mosad menuduh Iran merupakan dalang dalam beberapa siri serangan di Teluk Parsi baru-baru ini.

Ketua Mosad, Yossi Cohen berkata, perkara itu berdasarkan hasil risikan dan maklumat yang diperoleh dari sumber Israel serta Barat.

Katanya, serangan yang dilancarkan terhadap kapal tangki minyak di Teluk Oman dan loji minyak di Arab Saudi serta Baghdad, Iraq sebelum ini mendapat ‘kelulusan daripada kepemimpinan Iran’.

Israel sebelum ini didakwa sengaja mencetuskan propaganda yang ‘melaga-lagakan’ AS dengan Iran berhubung pembangunan program senjata nuklear sebagai langkah untuk menutup ‘cerita’ mengenai penghasilan senjata nuklear oleh rejim Zionis.

Sehingga kini, Israel tidak pernah mendedahkan mengenai angkatan senjata nuklearnya yang dianggarkan mempunyai kekuatan maksimum.

Dalam pada itu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan Iran sudah menghasilkan uranium melebihi perjanjian yang dipersetujui sebelum ini.

AS pula menegaskan, strategi untuk ‘meletakkan tekanan maksimum’ terhadap negara ini akan diteruskan.

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump memberi amaran Teheran kini ‘bermain dengan api’ kerana melanggar perjanjian yang ditetapkan.

Sementara itu, CNN melaporkan, Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan AS menyenaraikan kumpulan Hezbollah sebagai cabaran utama dalam keselamatan global.

Kumpulan itu juga didakwa mampu mengukuhkan kedudukannya ‘untuk menyerang mana-mana kepentingan AS di seluruh dunia’.

Iran didakwa membiayai Hezbollah dengan menyalurkan dana dan senjata untuk kumpulan itu melancarkan serangan.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER