Headlines News :
Home » » Berhujah secara bijak

Berhujah secara bijak

Written By zabidi on Monday, 15 July 2019 | 8:23 am

AWAL dakwah adalah membina ikatan manakala citra dakwah pula adalah kasih sayang.
Salah satu kaedah mengajak orang lain kepada kebaikan adalah dengan cara al-mujadalah bilhusna.

Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah al-Nahl, ayat 125)

Perkataan al-Mujadalah berasal daripada kata akar, ‘jadal’. Menurut lisan al-‘Arab ‘jadal’ mempunyai beberapa pengertian iaitu ikatan yang kuat, satu bahagian tulang yang kuat, mengalah dan suatu pertembungan hujah dengan hujah yang lain.

Menurut Kamus Dewan, berbahas atau berbahas-bahasan bererti berbincang dengan seseorang atau pihak lain mengenai sesuatu perkara dengan mengemukakan hujah masing-masing (sama ada menyokong atau menentang).

Al-Mujadalah al-Husna dari segi istilah dakwah mempunyai pengertian berikut:
Kata Ibn Khaldun, jadal adalah rangkuman ilmu pengetahuan tentang adab perbincangan yang berlaku dalam kalangan mazhab.

Orang yang terbabit dalam jadal akan memberikan hujah dan dalil. Dalam perdebatan itu akan ada pihak benar dan ada pihak yang salah.

Selain itu, Yusuf al-Qaradhawi berkata, al-Mujadalah al-Husna meliputi aspek persamaan antara pihak yang terbabit dalam perbahasan berkenaan.

Kemudian, dari situ baru diperbahaskan masalah perbezaan yang wujud sehingga menjurus kepada titik tolak yang diharapkan tidak meninggalkan kesan kekalahan atau kejatuhan harga diri, malah dengan penuh kesedaran pihak sasaran menerima kebenaran yang tersingkap dengan hati terbuka.

Seterusnya, Syed Qutb mengatakan, al-Mujadalah al-Husna bukan cara untuk memburuk-burukkan peribadi seseorang.

Jika ia menjatuhkan maruah seseorang, itu adalah bermujadalah dengan cara batil. Bahkan, pendakwah tidak dibenarkan menipu dan berhelah semata-mata untuk mengalahkan sasaran dakwah ketika mengemukakan hujah.

Apa yang perlu dititik beratkan adalah bentuk mujadalah berkesan yang dapat memberikan kepuasan, seterusnya mad’u dapat menerima kebaikan dengan hati lapang.

Al-Mujadalah bil-Husna adalah kaedah praktikal bagi mencapai matlamat ikatan yang kuat kerana dengan kaedah ini, kita tidak menjatuhkan maruah, kemuliaan atau harga diri pihak lawan sebaliknya mengikat dan memenangi hatinya.

Kaedah itu tidak menyebabkan pihak lawan berasa dikalahkan kerana jika berasa tewas, dia mungkin berdendam dan semakin melawan.

Kaedah itu mengangkat imej diri pendakwah sebagai penasihat yang amanah, santun dan hikmah.
 Kaedah itu juga membuatkan golongan sasaran dengan senang hati dapat menerima nasihat dan bimbingan sehingga merelakan dirinya bersama-sama di atas jalan kebenaran dengan konsisten.
Dalam erti kata lain, al-Mujadalah al-Husna hendaklah memenuhi kriteria berikut:
l
Dominasikan lemah-lembut dalam berhujah.

Elakkan kata-kata menyakitkan hati, kasar, keras, menghina, memaki dan menghalau. Secara tersirat, Allah SWT tidak menyukai sikap kasar dan pemarah melalui firmanNya yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila Engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

Hujah bernas, logik, ilmiah serta tidak berbelit dan panjang lebar.

Biarlah hujah itu mudah difahami. Mudahkan bahasa, gaya dan pendekatan.

Lihat sasaran dengan rasa hormat dan penuh kasih sayang.

Ungkapkan doa semoga kita dan mereka beroleh manfaat dan taufik hidayah hasil mujadalah berkenaan.

Menjernihkan niat dan menjelaskan matlamat untuk menegakkan kebenaran dan menundukkan kebatilan demi manfaat semua pihak, bukannya menang sorak sahaja.

Adab al-Mujadalah bil Husna

Tidak menghina pihak yang diajak berbincang, apatah lagi merendahkan, mengejek dan mentertawakan harga dirinya.Biar dia berasa yakin dan selamat bahawa tujuan perbahasan bukan untuk mencari kemenangan dalam berhujah, sebaliknya mencari kebenaran yang wajar difahami demi maslahah ramai.

Matlamat perbincangan bukan menaikkan nama seseorang individu dan menjatuhkan nama yang lain.
Sebaliknya, menyerlahkan kebenaran yang sudah sedia menjadi fitrah manusia. Kebenaran itu tetap disanjung meskipun terbit daripada mulut lawan.

Menunjukkan penghargaan kepada pihak yang diajak berbincang kerana harga diri adalah sesuatu yang amat bernilai dalam hidup seseorang.

Dalam perbahasan (mujadalah) tidak perlu menimbulkan rasa kalah atau menang antara semua pihak yang terbabit. Sepatutnya, ia menimbulkan rasa manfaat yang tidak ternilai hasil perbincangan itu.

Menjaga hati pihak lawan serta tidak mengejek pandangan mereka.


Saling bermaafan dan berdamai sehingga pihak lawan tidak berasa tercabar.

Memasang niat untuk mengakhiri perbahasan tanpa pergaduhan dan perbalahan. Kita cuma mata-mata rantai yang sedang meneruskan perjuangan Rasulullah SAW dengan kaedah yang diajar al-Quran.Penulis adalah pendakwah
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER