Headlines News :
Home » » Macam-macam ada di Pantai Balok

Macam-macam ada di Pantai Balok

Written By zabidi on Monday, 15 July 2019 | 8:06 am

KUANTAN, Pahang memiliki kelebihan tersendiri berbanding 10 daerah lain. Berikutan kedudukannya yang berhampiran Laut China Selatan menjadikan daerah ini lebih istimewa apabila terdapat pantai yang indah sebagai daya tarikan pelancongan.

Bagi yang pertama kali bercuti ke Kuantan, pasti disogokkan cadangan mengenai pantai yang menarik dan menjadi tumpuan orang ramai seperti Teluk Cempedak dan Cherating. Sebenarnya banyak lagi destinasi pantai di daerah itu yang boleh diterokai untuk percutian bersama keluarga.

Antara destinasi pantai lain yang ideal untuk dikunjungi ialah Pantai Balok, kira-kira 15 hingga 20 minit memandu dari pusat bandar Kuantan. Pantai Balok memiliki pemandangan indah yang pasti menimbulkan rasa teruja dalam kalangan pengunjung.

Bagi penduduk tempatan, Pantai Balok adalah lokasi bersantai pada hujung minggu kerana keadaan pantainya yang nyaman, redup dan diteduhi pepohon ru. Malah lokasi ini juga sering dijadikan tempat rekreasi pada sebelah petang seperti berjoging kerana keadaan pantainya yang luas memanjang.

Selain itu, kemudahan asas di kawasan ini yang disediakan pihak berkuasa tempatan juga lengkap seperti bilik air, bilik persalinan, surau dan tandas awam.

Dalam pada itu, sekitar kawasan Pantai Balok banyak terdapat gerai makanan yang diusahakan penduduk kampung dengan pelbagai juadah menyelerakan seperti ikan bakar, keropok lekor dan masakan ala Thai.

Pengunjung turut berpeluang mendapatkan hasil tangkapan laut segar yang dijual di beberapa perkampungan nelayan berhampiran.

Antara lokasi terkenal dalam kalangan penduduk setempat mencari hasil laut segar adalah Pasar Nelayan Balok yang juga jeti pendaratan ikan untuk nelayan tradisional dan nelayan pantai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Selain lokasi tumpuan untuk beriadah, Pantai Balok juga menjadi pilihan penggemar aktiviti lasak luncur angin, luncur layar dan perahu layar.

Pertandingan luncur angin, luncur layar dan perahu layar membabitkan penyertaan antarabangsa sering diadakan di pantai ini disebabkan faktor angin dan arus pantai yang sangat sesuai untuk sukan air berkenaan.

LUNCUR angin antara aktiviti sukan air di Pantai Balok.
 
Bongkah batu yang mengunjur jauh ke tengah pantai menambahkan keindahan panorama. Sekiranya air surut, pengunjung boleh berjalan dan ‘berteleku’ di atas batu sambil menghirup bayu laut segar dari Laut China Selatan yang terbentang luas saujana mata memandang.

Di pantai ini turut terdapat pusat rekreasi yang menyediakan kemudahan berkhemah kepada orang ramai dan amat sesuai untuk kegiatan luar atau aktiviti kem bina semangat sama ada untuk pelajar, badan beruniform, agensi kerajaan mahupun swasta.

Antara pilihan destinasi perkhemahan santai bersama keluarga adalah Kem Nemo yang memberi peluang kepada pengunjung memanfaatkan masa berkualiti bersama-sama. Tapak perkhemahan yang diuruskan De Rhu Beach Resort itu bukan sahaja luas dan selesa, malah dilengkapi kemudahan asas yang selesa.

Tarikan lain berhampiran pantai adalah Natural Batik Village yang pasti memberi kegembiraan kepada pengunjung yang kali pertama merasai pengalaman mencanting batik. Di sini juga terdapat banyak kedai yang menjual cenderahati berasaskan lukisan corak batik untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.

Pusat batik ini sering menjadi lokasi tumpuan ramai pengunjung kerana suasana kedainya yang mesra pelanggan dan produk dihasilkan amat berkualiti.

Pengunjung yang melawat ke lokasi ini akan ditunjukkan penghasilan batik daripada awal sehingga terhasilnya sehelai batik, menjadikannya satu pengalaman yang berharga.

Alang-alang berada di Pantai Balok, boleh singgah menikmati suasana perkampungan nelayan yang masih menjalani sisa-sisa kehidupan tradisional. Rumah kayu, lambaian dedaun kelapa, pukat yang dijemur, bot menangkap ikan di pesisir pantai antara pemandangan menggambarkan penempatan nelayan.

Bagi peminat fotografi, banyak gambar menarik boleh dirakam di sini. Tunggu menjelang senja, suasana matahari terbenam dengan kanak-kanak bermain di tepi pantai dan bot nelayan pulang antara detik yang tidak boleh dilepaskan.

FAKTOR angin kuat membolehkan pengunjung bermain luncur layar.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER