Oleh Oleh Prof Mohd Talib Latif
JEREBU adalah fenomena pengurangan jarak penglihatan akibat
peningkatan kepekatan jumlah zarah terampai halus di atmosfera. Jumlah
zarah terampai halus ini akan menyebabkan cahaya pantulan daripada
sesuatu objek dan cahaya daripada matahari diserakkan menyebabkan jarak
penglihatan berkurangan.
Fenomena jerebu dikhaskan kepada proses
pengurangan jarak penglihatan akibat peningkatan jumlah zarah terampai
halus yang tinggi dan humiditi relatif yang rendah. Fenomena ini sering
terjadi disebabkan peningkatan suhu permukaan bumi dan pengurangan
jumlah hujan serta wap air di udara.
Fenomena jerebu berlaku
saban tahun di rantau Asia Tenggara akibat peningkatan jumlah zarah yang
dibebaskan oleh proses pembakaran bahan biojisim daripada pembakaran
sisa pertanian, pembakaran hutan dan pembakaran dari kawasan tanah
gambut yang sukar dipadamkan.
Proses pembakaran ini biasanya
berlaku mengikut kitaran pembuangan sisa pertanian dan juga akibat
daripada merebaknya sesuatu pembakaran disebabkan cuaca panas. Keadaan
panas yang melampau akibat pengurangan hujan pada waktu El-Nino yang
berlaku dalam kitar empat atau lima sekali akan menyebabkan proses
pembakaran ini merebak dengan cepat.
Dua fenomena El-Nino kuat yang berlaku pada 1997 dan 2015 adalah contoh di mana jerebu boleh berlaku dalam masa yang panjang.
Proses pembakaran biojisim akan menyebabkan pembebasan zarah terampai
dan pelbagai gas inorganik seperti gas karbon monoksida (CO), sulfur
dioksida (SO2), nitrogen dioksia (NO2) dan juga gas-gas organik yang
akan bertukar dengan cepat membentuk aerosol sekunder akibat proses
pengoksidaan di atmosfera.
Zarah halus yang ringan dan stabil
akan menyebabkan ia berupaya untuk dibawa oleh angin dominan ke kawasan
lebih jauh. Gas yang terhasil daripada proses pembakaran ini akan cepat
bertukar ke bentuk yang lebih stabil seperti pertukaran gas karbon
monoksida kepada gas karbon dioksida atau akan berasosiasi dengan zarah
untuk membentuk bahagian daripada partikel seperti pertukaran gas
sulphur dioksida kepada sulfat dan nitrogen dioksida kepada nitrit dan
nitrat.
Oleh sebab itu zarah terampai halus yang biasanya disebut
sebagai zarah yang mempunyai diameter aerodinamik lebih kecil daripada
2.5 mikrometer atau PM2.5 adalah parameter yang sering menjadi bahan
ukur semasa jerebu berlaku.
Sejak 2017 Jabatan Alam Sekitar
memulakan proses pengawasan PM2.5 di stesen pengawasan kualiti udara
berterusan di seluruh negara. Kepekatan PM2.5 ini adalah salah satu
daripada enam parameter bahan pencemar udara utama yang digunakan bagi
pengiraan Indeks Pencemar Udara (IPU) Malaysia (http://apims.doe.gov.my/public_v2/home.html).
Tahap kepekatan PM2.5 biasanya akan menjadi parameter tertinggi bagi
pengiraan IPU yang diasosiasikan dengan kesan kepada kesihatan manusia.
Saiz zarahan PM2.5 yang halus menyebabkan ia mudah disedut ke dalam
sistem pernafasan dan mendatangkan masalah kepada kesihatan manusia.
Beberapa kajian sebelum ini mengaitkan kehadiran zarah halus dengan
beberapa penyakit seperti asma, bronkhitis, radang paru-paru, jantung
dan alahan. Zarah terampai halus biasanya akan mempunyai komposi bahan
organik dan inorganik yang tinggi.
Bahan organik seperti
levoglukosan dan logam kalium seta bahan ion seperti sulfat dan ammonium
dalam PM2.5 sering menjadi penunjuk utama kehadiran pembakaran daripada
bahan biojisim. Antara bahan organik dan inorganik toksik yang sering
didapati dalam zarah terampai halus adalah seperti sebatian hidrokarbon
poli-aromatik dan logam surih seperti plumbum, kromium, kadmium, zink
dan ferum.
Bahan ini berpotensi untuk mendatangkan kesan akut dan
karsinogenik bagi pendedahan masa yang panjang. Kanak-kanak yang
mempunyai sistem paru-paru yang sedang membesar, menyedut lebih banyak
udara seunit berat badan daripada orang dewasa di samping sering berada
dalam keadaan aktif adalah golongan yang sering menerima kesan akut
akibat peningkatan zarah halus ini.
Kehadiran jerebu disebabkan
peningkatan jumlah peningkatan pembakaran terbuka di rantau ini
memerlukan kita bersiap sedia untuk menghadapi situasi ini. Asap yang
mengandungi zarah halus terhasil daripada pembakaran di negara jiran
akan dibawa oleh angin dominan monsun barat daya ke negara.
Asap
ini mengandungi zarah terampai halus yang tinggi yang diterjemahkan
dalam bentuk IPU oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia. Kita di negara ini
dinasihatkan untuk mengurangkan pembakaran terbuka di samping mengawal
emisi lain termasuk daripada kenderaan bermotor dan industri.
Keadaan udara yang stabil pada masa jerebu menyebabkan pencemar dari
sumber tempatan terperangkap dalam udara ambien. Kita seharusnya
memastikan langkah penjagaan kesihatan dituruti. Kanak-kanak adalah
mangsa utama kejadian pencemaran udara seperti jerebu.
Oleh itu
pengawalan dengan mengehadkan aktiviti luaran sedikit sebanyak dapat
mengurangkan pendedahan mereka kepada zarah halus ini.
Penulis adalah Timbalan Dekan (Siswazah) Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
Had aktiviti luar kurangkan ancaman jerebu
Written By zabidi on Monday, 12 August 2019 | 11:30 am
Labels:
Artikel
Post a Comment