Oleh Dzulkfley Zanudin
BAHTERA Merdeka yang kita layari 62 tahun lalu, tepatnya 31 Ogos
1957, sebelum diperkukuhkan dengan semangat Persekutuan Malaysia pada 16
September 1963, jangan sekali-kali dikaramkan.
Sejarah panjang
menyaksikan bukan senang membentuk sebuah Persekutuan atas persetujuan
negeri-negeri Melayu sebelum dicantumkan dengan Sabah dan Sarawak serta
Singapura kerana kepelbagaian dan rencam geopolitik masing-masing.
Faktor keselamatan bersama daripada ancaman pengganas komunis antara
faktor pembentukan Persekutuan Malaysia ketika itu. Singapura akhirnya
keluar dan berpisah daripada Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965
kerana masalah dan pergeseran yang mungkin mengancam semangat
Persekutuan, terutama isu pentadbiran hak ekonomi negeri dan persoalan
sensitif, iaitu tuntutan kaum pendatang dan mempertahankan hak pribumi.
Bagi menyingkap keadaan geopolitik pada awal kemerdekaan, semua pihak
perlu celik sejarah alam Melayu atau Nusantara, termasuk kesan pemecahan
kerajaan dan empayar Melayu terdahulu, terutama di Tanah Melayu dan
Sumatera, termasuk Johor-Riau serta Singapura menerusi percaturan
penjajah Inggeris dan Belanda menggunakan Perjanjian London 1824.
Atas dasar mengaut dan menjarah hasil bumi, ekonomi dan kepentingan
dagangan serantau, London dan Amsterdam membawa masuk tenaga buruh asing
dari China dan India ke alam Melayu. Begitu juga permainan politik
Inggeris dengan Siam (Thailand) yang menyaksikan tawar menawar
negeri-negeri Melayu di Utara dan Pantai Timur, iaitu Kedah, Perlis,
Kelantan dan Terengganu menerusi Perjanjian Bangkok 1909, rentetan
Perjanjian Burney 1826.
Kesan perjanjian berat sebelah tanpa
persetujuan atau pengetahuan Raja-Raja negeri Melayu terbabit mengubah
landskap geopolitik, termasuk pertukaran wilayah yang ramai didiami
keturunan Melayu. Siam turut mencengkam penguasaannya ke atas
wilayah-wilayah Melayu lain seperti Pattani, Narathiwat (Menara), Yala
(Jala), Satun (Setul), Trang (Terang) dan Songkhla (Singgora).
Semua wilayah itu suatu ketika dahulu berada di bawah beberapa empayar
Melayu dan Nusantara, termasuk Kerajaan Kedah Tua, Srivijaya, Majapahit
dan Persekutuan Pattani Besar. Semua itu sudah menjadi lipatan sejarah,
tetapi sejarah biasanya berulang, cuma bagaikan rangkap pantun lama:
Pulau Pinang bandar baharu,Kapten Light menjadi raja, Kalau dikenang
masa dahulu, Rasa berlinang air mata.
Lantaran itu, menjelang
sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, setiap rakyat, malah sesiapa
sahaja yang menikmati kesejahteraan hidup di bumi bertuah ini wajar
mengambil iktibar untuk hidup saling harmoni dan bersangka baik antara
satu sama lain.
Ambillah nasihat dan titah Yang di-Pertuan Agong,
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena istiadat
pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16, agar semua
pihak jangan sekali-kali mencetuskan krisis dan api perselisihan dengan
membangkitkan perkara yang menggugat keharmonian.
Benarlah
peringatan Seri Paduka bahawa perpaduan dan keharmonian antara rakyat
menjadi tiang seri dan kekuatan negara kerana ‘bermain dengan api bukan
hanya membakar diri sendiri, malah turut membakar seluruh kampung.’
Era internet yang sepatutnya dimanfaatkan untuk kebaikan dan memudahkan
kehidupan rakyat turut menjadi pisau dua mata apabila ramai
menyalahgunakannya untuk menyemai kebencian menerusi komen rasis dan
provokatif dalam forum portal berita dan perang siber berkaitan banyak
isu, termasuk agama, bangsa, hak dimuktamadkan Perlembagaan Persekutuan,
pendidikan serta sosiopolitik yang boleh ditangani seandainya pihak
berkuasa lebih tegas bertindak.
Kalau dahulu, tentera dan polis
berjuang memerangi unsur suberversif mempertahankan semangat
kemerdekaan, kini tentera siber semakin berani bermain api membakar
emosi isu agama dan perkauman tanpa banyak tindakan pihak berkuasa.
Sepatutnya bagi setiap rakyat, kita perlu rasional dan mengutamakan
keharmonian demi mengekalkan kestabilan negara untuk meningkatkan lagi
daya ekonomi, sekali gus mampu mengukuhkan hidup masing-masing agar
keturunan kita hidup terjamin.
Kembalilah kepada lima Teras Rukun
Negara yang dirangka selepas detik sejarah hitam, iaitu Tragedi 13 Mei
1969. Tidak rugi setiap kita menghayati prinsip Rukun Negara, iaitu
Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran
Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan
untuk menjadi rakyat lebih setia dan patriotik.
Bahtera Merdeka
yang menjadi lindungan kita untuk mengharungi badai dan samudera ganas
perlulah dipertahankan bersama untuk selamat sampai ke destinasi idaman.
Sematkanlah pepatah keramat, ‘di mana bumi dipijak, di situlah langit
dijunjung’ demi membuktikan kesetiaan kita untuk terus berlindung bawah
naungan tanah air tercinta, Malaysia.
Penulis adalah Ketua Penyunting (Mingguan) Berita Harian
Usah dikaram Bahtera Merdeka
Written By zabidi on Thursday, 22 August 2019 | 8:05 pm
Labels:
Rencana
Post a Comment