OLEH: A. RAHMAN C.M.
“Tadi kamu ingat apa? Masa kamu bedal Azmi, tak ingat Allah ke?” Bedul menyentuh dahinya. Dia
tidak tahu kali ke berapa dia menyentuh
dahinya itu. Ada rasa benjol. Terasa juga ngilunya. Dia memandang kosong
pada wajah Pak Long yang berada di hadapannya. Dia nampak wajah kering
Pak Long. Masih jelas raut wajah marah Pak Long di mata batinnya. Dia
tidak menyangka Pak Long akan marah begitu.
Dia melayah kemudian jatuh ke tanah setelah Pak Long menumbuk dahinya.
“Aku dah lama bersabar.” Dia ingat matanya putih pada wajah Pak Long.
“Ibu kamu, bini kamu dah banyak kali mengadu tentang perangai kamu. Rimas aku. Menyusahkan!”
Dia kaku dan kelu. Dalam duduk dia hanya
menelan kata-kata Pak Long. Dia sedar, kalau dia berdiri, tendangan Pak
Long pasti mengena pada badannya.
Malam sudah larut. Suasana malam sepi di
mana-mana. Bedul menilai patah kata Pak Long. Bedul menilai wajah Pak
Long. Kata-kata Pak Long pedas, hangat, pahit dan bisa tetapi ada
benarnya. Wajah Pak Long garang, bengkeng, bengis, marah tetapi dia
tidak nampak ada rasa kebencian pada wajah itu.
“Bedul, kamu kena ingat, Pak Long tu
ganti ayah kamu. Pak Longlah tempat kita berpaut selepas ayah kamu mati.
Kamu tak ingat ayah kamu. Ketika ayah kamu mati, umur kamu baru
setahun.” Kata-kata ibu menyedarkannya bahawa kehidupannya selama ini
dibiayai oleh Pak Long, iaitu ayah saudaranya, abang kepada ibunya. Dia
ingat memang Pak Long sayangkan dirinya. Pak Long kasihkan dirinya.
Sebab itu Pak Long mengambil tugas ayahnya. Ibunya tidak pernah
berkahwin selepas kematian ayahnya.
Salakan anjing sayup-sayup kedengaran.
Di luar gelita merata-rata. Bedul masih berdiri di muka jendela yang
terbuka. Peristiwa petang tadi yang membawa penumbuk Pak Long ke dahinya
datang satu demi satu.
Dia baru pulang dari pejabat. Kepalanya
masih bengang dengan kata-kata teman sekerja yang memerli, menyindir dan
menempelaknya. Tiba-tiba Azmi berkelahi dengan Azmah, anak perempuannya
di atas serambi rumah. Tanpa usul periksa, dia terus menampar Azmi.
Azmi lari turun ke tanah. Dia mengejar Azmi dengan manggar kelapa. Dia
membedal belakang tubuh Azmi entah berapa kali sehingga Azmi terjatuh di
hadapan Pak Long. Kebetulan ketika itu Pak Long lalu di hadapan
rumahnya kerana hendak ke masjid.
Azmi memeluk lutut Pak Long. Pak Long
menghantar Azmi ke rumah. Apabila Pak Long pasti Azmi tidak nampak
mereka, penumbuk Pak Long singgah di dahinya. Dia melayah ke belakang
lalu terjelapak.
“Allah!” Dia ingat, dia menyebut kalimah Allah SWT ketika itu.
“Tadi kamu ingat apa?” Dia nampak wajah Pak Long menyinga padanya.
“Masa kamu bedal Azmi, tak ingat Allah?” Bedul jadi batu.
“Kenapa kamu bedal Azmi?” Bedul jadi kayu.
“Iblis, syaitan, ego kamu sebagai ayah, begitu?” Bedul terus kaku.
“Siapa ajar kamu bedal anak dengan
manggar kelapa?” Pertanyaan Pak Long tidak dijawabnya. Dia hanya mampu
mendongak pada wajah Pak Long. Lama wajah Pak Long pada mata batinnya.
Salakan anjing sayup-sayup kedengaran.
Hawa malam kian dingin. Bayu malam yang dingin membelai dadanya yang
telanjang di tingkap bilik tidurnya yang terbuka.
Bedul tiba-tiba teringatkan Azmi anak
keduanya. Ingat sungguh-sungguh. Dia menutup tingkap, lalu dia ke bilik
anaknya. Dalam cahaya suram mentol 15V, dia duduk di tepi katil Azmi
lalu menyelak selimut yang menyelimuti badan Azmi. Kebetulan Azmi tidur
mengiring. Dia nampak jalur bekas manggar kelapa pada kulit belakang
anaknya itu. Dia terkedu di situ. Bedul kembali kepada dirinya. Dia
tidak pernah dipukul begitu oleh sesiapa pun. Tidak! Pak Long hanya
membulatkan matanya kalau marah terhadap kelakuannya yang nakal. Tangan
Pak Long tidak pernah singgah pada kulit tubuhnya. Hanya tadi, penumbuk
sulung Pak Long singgah di dahinya. Penumbuk itu amat terasa kesannya.
Hingga saat ini matanya masih kejang. Wajah Pak Long bertakhta di mata
batinnya. Perlahan-lahan Bedul merendahkan kepalanya lalu mencium pipi
Azmi. Kemudian cepat dia kembali ke biliknya.
Kejadian siang tadi memang salahnya. Dia
bertindak mengikut emosinya yang terganggu di pejabat. Kerjanya di
pejabat tidak selesai, lalu dia diperli. “Orang berjanggut ni sepatutnya
amanah. Kalau tak amanah lebih baik cukur saja janggut tu, buat malu
Nabi saja.” Bedul hampir bergaduh di pejabat tadi.
Dia selalu disindir kerana mengikut
ajaran yang kebenarannya diragukan. Dia terlibat mengikut jemaah Imam
Derauf di Bukit Merah. Baginya ajaran Imam Derauf baik. Imam Derauf
mengajar cara-cara beramal. Mengajar cara mendekatkan diri kepada Allah.
Mengajar cara berzikir serta cara bermunajat kepada Allah dan Rasul-
Nya. Dia juga terlibat dengan kumpulan yang mengikuti ceramah hujung minggu di surau Lebai Kulub.
“Ini cara guru kamu ajar didik anak?” Bedul jadi batu.
“Pagi Jumaat nanti jumpa Pak Long.” Dia
ingat kata-kata akhir Pak Long tadi. Sebelum sempat dia berdiri, Pak
Long berlalu ke masjid.
___
Cerpen ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.
Post a Comment