Headlines News :
Home » » Berguru dengan alam dan orang bodoh?

Berguru dengan alam dan orang bodoh?

Written By zabidi on Monday, 2 February 2026 | 4:00 pm


Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ

“Manusia punya ramai guru. Bukan hanya manusia bijak, alam semesta pun sudah lama menjadi guru manusia. Bahkan, orang bodoh pun patut dijadikan guru agar kebodohannya mengajar kita menjadi lebih cerdik.”

Guru kerja mulia. Allah adalah ‘Mahaguru’ pertama manusia dalam kata perbuatan ‘ajar’ yang menjadi ayat pertama diturunkan kepada Nabi SAW yang bermaksud: Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang ‘mengajar’ manusia melalui pena dan tulisan, Dia ‘mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya (al-‘Alaq 96:1-5).

Allah juga sangat baik kerana memberikan sukatan pelajaran kehidupan terbaik dengan penurunan al-Quran (al-Rahman 55:1-3).

Nabi Ibrahim AS selepas pembinaan kaabah berdoa agar seorang guru penyelamat lahir di Mekah untuk membimbing manusia. Berikutan itu, lahirlah nabi SAW.

Maksudnya: (Selepas selesai membina kaabah, Nabi Ibrahim berdoa) “Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dalam kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat (Firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi kandungan kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (daripada syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (al-Baqarah 2:129).

Nabi SAW sendiri sangat bangga dengan peranannya sebagai guru. Maksudnya: Pada suatu hari Nabi masuk ke masjid dan Baginda dapati ada dua kumpulan manusia. Satu kumpulan sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah, manakala kumpulan kedua sedang belajar dan mengajar (sesuatu kepada manusia). Baginda bersabda: “Keduanya berada dalam kebaikan, mereka ini sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah. Jika Dia mahu Dia boleh kurniakan kepada mereka permohonan mereka atau menghalangnya, manakala yang ini pula sedang mempelajari sesuatu. Sesungguhnya aku diutus sebagai guru!” Baginda pun duduk bersama mereka (Sunan Ibn Majah, 225).

Penciptaan alam semesta yang kaya dengan pelbagai makhluk turut menjadi guru kepada manusia. Lihat sahaja banyak pepatah Melayu yang diinspirasi daripada pemerhatian kepada alam. Kita dengar orang tua-tua berkata, ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk untuk mengajar sifat rendah diri. Bagai aur dengan tebing mengajar manusia sifat kerjasama.

Manusia juga berguru dengan haiwan, antaranya anak Nabi Adam AS yang membunuh saudaranya.

Maksudnya: Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya. Oleh itu jadilah dia dari golongan orang yang rugi. Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: “Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?”. Kerana itu jadilah dia dari golongan orang yang menyesal (al-Ma’idah 5:30-31).

Juruterbang tentera udara juga belajar daripada kawanan angsa yang terbang dalam formasi V. Pesawat pejuang yang terbang berkumpulan dalam formasi V mampu meluaskan cakupan skop radar pesawat untuk menjaga jarak serangan musuh secara lebih berkesan.

Guru pula biasanya diangkat dalam kalangan cerdik pandai kerana biasanya untuk memandaikan anak bangsa dan ummah, yang mendidik perlu bijak. Ini sebabnya kelayakan untuk menjadi guru dinilai secara ketat oleh pihak berwajib seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pun begitu, ramai tidak sedar rupanya manusia bodoh pun boleh menjadi ‘guru’ berguna kepada mereka. Bagaimana? Tidak mengulangi kesilapan serta kebodohan itu.

Biasanya manusia bodoh boleh menjadi mangsa akibat kebodohan mereka atau memangsakan orang lain. Lihat kisah pengikut Nabi Musa AS yang hampir memangsakan baginda sendiri.

Firman Allah yang bermaksud: Dan Nabi Musa memilih 70 lelaki daripada kaumnya (untuk di bawa bersama ke Gunung Tursina) pada waktu yang telah kami tentukan. Maka ketika mereka digegar oleh gempa (kerana syarat biadab mereka hanya akan beriman setelah melihat Allah) , Nabi Musa merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersamaku sebelum ini. Adakah engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang yang bodoh di antara kami? (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaan-Mu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana

Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun (al-A’raf 7:155).

Allah SWT juga menyentuh tentang golongan yang memperbesar isu peralihan kiblat:

Firman Allah SWT yang bermaksud: Orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Timur dan barat adalah kepunyaan Allah – (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhi-Nya); Allah yang memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus” (al-Baqarah 2:142).

Dalam ayat 177 surah al-Baqarah, Allah SWT menjelaskan kepada semua Muslimin agar tidak melayan isu remeh bawaan mereka tentang kiblat. Kiblat bukan isu pokok Islam.

Islam bukan hanya ditegakkan kerana arah kiblat, sebaliknya binaan kukuh yang merangkumi penghayatan kepada akidah, syariat dan akhlak. Lalu, apa yang boleh kita pelajari daripada mereka dalam kes ini? Kita perlu bijak membawa isu dan tidak perlu memperbesar isu remeh sehingga menutup isu yang lebih besar.

Sama juga Allah menyifatkan orang munafik sebagai bodoh kerana sanggup mengorbankan nasib akhirat dengan sedikit habuan dunia (al-Baqarah 2:13-14). Lalu, demi menjadi insan yang bijak kita perlu menjauhi semua sifat munafik yang disebut al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Guru manusia sangat banyak di alam ciptaan Allah SWT yang terbentang luas. Gunakan kebijaksanaan kita untuk berguru dengannya semoga ia mampu meningkatkan ilmu, iman serta pengalaman kita.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER