Baru-baru ini saya dijemput memberi syarahan berkaitan kecantikan al-Quran. Tajuknya ringkas tetapi mempunyai huraian yang mendalam berkaitan keistimewaan al-Quran dalam membawa manusia kepada kehidupan bertuhankan Allah dan bersyariat.
Kandungan al-Quran adalah menyeluruh dan sempurna. Di dalamnya terdapat kisah umat terdahulu yang memberi banyak pengajaran, catatan berita yang jelas tentang masa hadapan manusia dan hukum-hakam perundangan yang perlu dilakukan semasa di dunia ini.
Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang meninggalkan al-Quran kerana angkuh akan dibinasakan Allah. Sesiapa yang mencari petunjuk selain al-Quran menemui kesesatan. Al-Quran adalah tali Allah yang kukuh dengan maksud kandungannya menyediakan jalan menuju kepada Allah dan kebahagian yang didambakan manusia. Mengingatkan manusia tentang hukum hakam dan perundangan yang perlu dilakukan oleh manusia.” (al-Tirmizi)
Kecantikan al-Quran amat terserlah dari sudut penggunaan lafaz yang sesuai dan berkesan dalam susunan ayat. Makna kalimah yang kukuh dan tepat. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh seorang pemuda Quraisy yang kuat menentang dakwah Rasulullah SAW iaitu al-Walid Ibn al-Mughirah.
Selepas mendengar bacaan Nabi secara berhadapan, hatinya luruh dan jiwanya bergetar sambil berkata, “Cukup wahai Muhammad.”
Selepas itu, dia mengungkap kalimah menceritakan perihal al-Quran, “Demi Allah, sesungguhnya al-Quran sangat manis (menyentap jiwa dan akal) dihiasi dengan lafaz yang indah dan terpesona. Sesungguhnya ia ibarat pohon kayu yang besar. Dahannya dipenuhi dengan buah ranum dan akarnya terpasak kukuh di bumi.”
Di akhir sesi syarahan saya, satu soalan diajukan kenapa nabi terdahulu dan umat mereka tidak diberikan al-Quran tetapi al-Quran dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW dan umatnya?
Secara ringkas jawapan yang saya berikan adalah nabi-nabi terdahulu dikurniakan mukjizat dalam bentuk hissiyyah (boleh dilihat) bagi membuktikan kepada umat mereka bahawa mereka adalah Rasulullah. Mukjizat itu juga menjadi hujah yang kuat kepada kaum mereka dan mengikut kepakaran sesuatu umat.
Ahli Sihir
Sebagai contoh ramai ahli sihir pada zaman Nabi Musa AS. Oleh itu baginda dikurniakan tongkat yang boleh bertukar menjadi ular besar dan menelan semua ular yang disihirkan oleh ahli sihir Firaun.
Ahli sihir Firaun melihat perkara ini dan amat yakin ia adalah mukjizat kurniaan Allah. Lantas mereka beriman. Firman Allah, “Dan kemenangan Nabi Musa menjadikan Ahli Sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud sambil berkata: Kami beriman kepada Tuhan sekelian alam iaitu Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun.” (al-‘Araf: 120-122)
Semua mukjizat nabi terdahulu dirumuskan kepada dua perkara berikut:
1. Berbentuk hissiyyah dengan makna mampu dilihat seperti api menjadi sejuk dan sejahtera semasa Nabi Ibrahim dicampak ke dalam api. Menghidupkan orang mati dan menyembuhkan penyakit yang berlaku kepada Nabi Isa AS.
2. Terhad kepada zaman dan tempat tertentu sahaja. Ini kerana setiap nabi diutuskan hanya kepada umat mereka sahaja.
Namun begitu, berbeza dengan mukjizat yang Allah kurniakan kepada Nabi Muhammad SAW yang mempunyai dua kategori:
Pertama, mukjizat hissiyyah yang boleh dilihat seperti air keluar dari jari jemari Nabi SAW, bulan terbelah dan lain-lain.
Kedua, mukjizat maknawiyyah aqliyyah iaitu al-Quran al-Karim.
Keistimewaan al-Quran ialah Allah mengekalkan kiab suci itu untuk manusia beriman dan beramal dengannya sepanjang zaman. Ini bertepatan dengan pengutusan Nabi SAW kepada seluruh manusia.
Jika dilihat kepada bangsa Arab sebelum dan selepas al-Quran diturunkan, satu perbezaan yang amat besar. Pada asalnya mereka adalah kaum yang suka berperang, menyembah berhala, minum khamar, menanam anak perempuan, jahil dan fakir.
Ibn Abbas RA pernah menerangkan kejahilan bangsa arab, “Apabila kamu mahu melihat kejahilan bangsa arab maka kamu bacalah ayat 140 Surah al-An’am. Sesungguhnya rugilah orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan, lagi tidak berpengetahuan (sedangkan Allah lah yang memberi rezki kepada sekelian makhluknya) dan rugilah orang yang mengharamkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka dengan berdusta terhadap Allah.” (al-An’am: 140)
Berbeza dengan bab akidah
Allah SWT mensyariatkan hukum hakam setiap umat sesuai dengan keadaan dan situasi umat tersebut. Berbeza dengan bab akidah di mana semua nabi membawa usul iman yang satu iaitu tauhid kepada Allah SWT.
Tanggungjawab menjaga kitab Injil dan Taurat diberikan kepada ulama dalam kalangan Bani Israel. Mereka mengkhianati amanah tersebut dengan mengubah kandungan kitab Taurat dan Injil. Al-Quran diturunkan untuk menasakhkan seluruh kitab terdahulu. Kandungannya sesuai sepanjang zaman dan tempat. Allah sendiri yang menjaganya. Walaupun terdapat usaha untuk menyelewengkan lafaz dan makna al-Quran, namun semuanya gagal dan tidak berjaya. Al-Quran tetap terpelihara.
-Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad ialah Pensyarah di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia.


Post a Comment