Oleh ZAKARIA MUSA
Catatan
pendek ini bukan berdasarkan penelitian turun padang di Tanjung Piai.
Ia hanya nota ringkas bersumber pembacaan terhad dan pandangan
teman-teman yang berkunjung ke lokasi paling selatan daratan benua Asia
itu.
Memang tidak mudah PRK ini buat Pakatan Harapan (PH). Mungkin sahaja
ia mengulangi tragedi di Semenyih yang menyaksikan PH kehilangan kerusi
Dun yang baru dimenangi pada Mei 2018.
Tanjung Piai juga konstituensi
tradisi milik BN sebelum PH menang tipis sekitar 500 undi dalam PRI2008
ketika gelombang menolak kleptokrasi begitu hebat.
Berdasarkan komposisi pengundi di Tanjung Piai — masyarakat Tionghua
lebih 40 peratus — kerusi parlimen ini boleh dikategorikan antara
kawasan selamat buat PH. Namun disebabkan ia terletak di luar bandar dan
di negeri Johor pula, yakni lokasi yang dianggap dekat dengan Umno,
cabaran buat PH mempertahankan kemenangan memang cukup sengit.
Ditambah pula pengundi Cina juga berdepan isu-isu besar yang mungkin
mengubah persepsi mereka terhadap kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad.
Perang persepsi pasca-PRU14 dilihat tidak memihak kepada PH. Pelbagai
halangan muncul, termasuk dalam konteks menunaikan janji manifesto
pilihan raya.
Ragam pengundi di bawah kerajaan baharu tidak semudah dahulu. Mereka
kini lebih kritis menilai prestasi pemerintah. Memang jika dibandingkan
dengan zaman Umno-BN, PH jauh ke depan, meninggalkan amalan korupsi dan
salahguna kuasa. Namun, rakyat mahu lebih daripada itu. Mereka mengakui
kerajaan hari ini jauh lebih baik, tetapi masih banyak masalah yang
melingkari hidup belum dapat diselesaikan. Perubahan dituntut untuk
dilaksanakan dengan lebih cepat.
Di kala pengundi Cina dianggap deposit tetap buat PH pada PRU14, kini
mungkin tidak lagi. Calon MCA daripada satu segi boleh dianggap satu
kelebihan buat BN, tapi masa sama, jika diberikan penerangan menyeluruh
dan gerak kerja lebih tangkas, wakil PH mampu melonjak ke depan.
Ramai pemerhati menjangkakan sokongan pengundi Cina kepada PH sudah
sampai ke siling. Ia diramal berkurangan dalam PRK ini sementara ramai
daripada mereka mungkin tidak balik mengundi. Sentimen masyarakat
Tionghua pula agak negatif, disumbang beberapa isu, antaranya masalah
perkauman ekoran Kongres Maruah Melayu, simpati kepada MCA, pembelajaran
jawi atau khat, pergeseran Bersatu dan DAP.
Sementara dukungan masyarakat Tionghua mungkin menurun, apakah
kelompok teramai pengundi Melayu kepada PH mampu meningkat? Bolehkah
faktor personaliti calon Bersatu, seorang imam berlatarbelakang
profesional, dapat melonjakkan sokongan masyarakat kampung sehingga 35
peratus? 17 bulan lalu hanya sekitar 25 peratus pengundi Melayu
menyokong calon PH di sini.
Presiden Pas mengakui PRK ini mempunyai impak besar khususnya dalam
konteks menjelang PRU15 yang lebih kritikal itu. Ia turut dianggap satu
referendum rakyat menilai prestasi PH yang ditohmahkan mengetepikan
Melayu dan mengabaikan Islam. Keputusannya nanti juga boleh mengesahkan
atau menafikan kebimbangan bahawa PH hanya kerajaan sepenggal. Tema
kerajaan sepenggal ini mesti dikuburkan terus sekali gus menamatkan
angan-angan Umno-BN untuk kembali berkuasa.
PRK ini juga menjadi medan terbuka apakah penyokong Pas akan
mengalihkan undi mereka kepada BN susulan muafakat nasional ataupun
mereka lebih condong untuk menolak BN dan memangkah PH? Atau mampukah
AMANAH sebagai parti Islam yang progresif menangkis hujah Pas yang
menganggap MCA sebagai “calon kita”? Hampir tiga ribu undi Pas pada
PRU14 dahulu dilihat cukup signifikan mempengaruhi siapa pemenang PRK
Tanjung Piai.
Pemimpin AMANAH, khususnya timbalan presiden Salahuddin Ayub, anak
jati Tanjung Piai bekerja keras berkempen seolah-olah parti berkenaan
bertanding.
Tempoh berkempen masih terbuka, bergantung perancangan gerak kerja
untuk menyantuni setiap pengundi. Enam hari berbaki mempunyai impak
besar. Kesilapan kecil, seperti klip video Menteri Besar Perak, boleh
merencatkan usaha PH. Sementara kerjasama dalam BN diperkukuhkan,
kesepaduan komponen PH tidak boleh dipandang ringan. PH harus mempunyai
imej muafakat yang benar-benar mantap dan solid.
Penglibatan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dilihat harus lebih proaktif
berkampung di sini. Mungkin sosok bakal PM ke-8 ini mempunyai aura
tersendiri, khususnya dalam kalangan pengundi Cina.
Beliau juga ada
tarikan tersendiri, mengimbangi kerisauan terhadap gelagat pemimpin
tertentu Bersatu.
Keserasian dalam kalangan pemimpin Bersatu dan DAP teruji dalam
kempen PRK ini. Mereka harus lebih bijaksana dan cermat menguruskan
perbedaan terutama berdepan sentimen berbeda khalayak masing-masing.
Status sebagai parti pemerintah sepatutnya mendewasakan setiap komponen
PH.
PRK menguji keserasian kempen Bersatu-DAP dan Anwar digesa lebih proaktif
Written By zabidi on Monday, 11 November 2019 | 9:31 pm
Labels:
Artikel
Post a Comment