Oleh Dr Hafidzi Mohd Noor
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk sekian kalinya
terus menzahirkan kegilaannya dalam isu berkaitan penduduk Palestin. Apa
diumumkan sebagai Deal of the Century, akhir Januari lepas diperincikan butirannya di dalam dokumen setebal 81 halaman.
Tawaran itu diberikan motto muluk, iaitu Peace to Prosperity
atau Keamanan Menuju Kemakmuran bertujuan untuk memadamkan tuntutan
rakyat Palestin dan melenyapkan negara Palestin dari peta dunia.
Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu seperti cuba
merasuah penduduk Palestin untuk meninggalkan perjuangan membebaskan
tanah air mereka dan melupakan cita-cita untuk mendirikan negara
Palestin berdaulat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.
Mereka menjanjikan kemakmuran kononnya dengan menawarkan suntikan dana
bagi membangunkan infrastruktur, mewujudkan rangkaian perdagangan bebas
dengan Gaza sebagai pelabuhan antarabangsa di bawah kedaulatan Israel
atau lebih tepat di bawah penindasan sistem aparteid Israel.
Di
bawah tawaran itu, AS dan Israel secara sepihak mengisytiharkan
Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel; sementara rakyat Palestin
ditawarkan satu tempat tidak jelas kedudukannya di luar Baitulmaqdis
sebagai ibu negara Palestin.
Tawaran pertama ini sudah cukup
menjadi provokasi bertujuan mengundang kemarahan dan bantahan rakyat
Palestin. Melenyapkan tuntutan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin
sudah cukup menjadi penghinaan dan pencabulan maruah penduduk Palestin
dan umat Islam di seluruh dunia.
Seiringan itu, ia meletakkan
semua kawasan penduduk Palestin di Tebing Barat di bawah pentadbiran dan
kawalan tentera Israel. Ia membatalkan semua status pentadbiran pihak
berkuasa Palestin di beberapa tempat seperti Ramallah dan Ariha
(Jericho) yang diperuntukkan di bawah perjanjian Oslo.
Meskipun perjanjian Oslo ialah inisiatif gagal untuk dilaksanakan sepenuhnya pada 1998 dan dengan itu tidak lagi relevan, Deal of the Century memadamkan terus kuasa pentadbiran pihak berkuasa Palestin di Tebing Barat.
Seterusnya pelarian Palestin yang hidup di khemah pelarian di negara
Arab berjiran seperti Jordan dan Lubnan akan diserahkan kepada negara
hos sebagai sebahagian proses normalisasi dengan negara Arab. Tanpa
sebarang perincian bagaimana proses naturalisasi ini akan dilaksanakan,
nasib pelarian Palestin akan terus terumbang-ambing tanpa sebarang
penyelesaian.
Apa yang penting bagi Trump dan Israel, hak
pelarian Palestin untuk pulang ke negara mereka akan dihapuskan buat
selama-lamanya, meskipun jaminan itu di bawah resolusi PBB 194 (III)
diluluskan pada 1949.
Melihat kepada pemetaan ‘negara’ Palestin
tanpa kedaulatan ini, jelas wilayah Palestin yang terpisah-pisah di
Tebing Barat dan Gaza dihubungkan dengan jalan darat yang dikuasai
sepenuhnya Israel.
Perhubungan dagang dengan AS akan diwujudkan dan
pelabuhan Gaza kononnya akan mengalami transformasi seperti Singapura
bagi Asia Tenggara.
Semua kemajuan pesat ini akan ‘menjadi
kenyataan’ melalui dana sebanyak AS$50 bilion (RM205 bilion) yang akan
disuntik dalam tempoh 10 tahun. Sumber dana itu datang dari negara Arab
dan Teluk yang memberikan komitmen yang akan menjayakan Deal of the Century.
Pada dasarnya Deal of the Century tidak banyak berbeza daripada beberapa pelan damai diketengahkan AS sama ada Oslo Accord (1993); Declaration of Principle (2003) dan Pelan Damai (2005). Semuanya menjanjikan kemakmuran ekonomi tanpa sebarang hak mendirikan negara Palestin berdaulat.
Apakah dengan menjanjikan kemakmuran bersifat fatamorgana itu boleh
mengumpan penduduk Palestin menggadaikan tuntutan mereka membebaskan
tanah air daripada penjajahan zionis Israel.
Tidak ada sebuah negara
sepanjang sejarah kewujudan tamadun kemanusiaan yang bersedia
menggadaikan tanah air dengan imbuhan ekonomi kecuali mereka menjadi
budak suruhan penjajah mengkhianati bangsa sendiri.
Jika semua perjanjian itu tidak berjaya mempengaruhi rakyat Palestin, bagaimana mungkin Deal of the Century
akan disambut sedangkan ia secara terang-terangan bertujuan memadamkan
negara Palestin daripada ingatan dan peta dunia? Apatah lagi Deal of the Century ini dirangka tanpa dirunding sama sekali dengan rakyat Palestin?
Deal of the Century
ialah legasi tinggalan kolonial yang melakar sempadan dan masa depan
sesebuah wilayah tanpa sebarang rundingan serta merujuk kepada penduduk
pribumi itu sendiri.
Apakah Trump dan Israel berasa mereka boleh
memperkotak-katik penduduk Palestin dengan tawaran murahan ini? Apakah
negara Arab yang menjadi ‘tawanan’ ekonomi AS beranggapan mereka boleh
memadamkan perjuangan pembebasan bumi Palestin yang tidak pernah
terpadam sepanjang sejarah konflik Palestin-Zionis sejak awal kurun ke
20?
Sesungguhnya regim Arab sendiri meyakini rakyat Palestin sama
sekali tidak akan meninggalkan perjuangan murni membebaskan bumi
Palestin dan Baitulmaqdis yang berdirinya Masjid al-Aqsa. Namun, mereka
tidak berdaya menolak keuntungan diumpan AS yang menyebabkan mereka
sanggup bersekongkol dengan rejim Zionis yang terus menindas penduduk
Palestin.
Deal of the Century ialah skema untuk
mengekalkan pendudukan ke atas bumi Palestin. Ia wajib ditolak seluruh
warga antarabangsa kerana ia tindakan amat biadap bukan sahaja ke atas
rakyat Palestin, bahkan kemanusiaan seutuhnya.
Kegagalan masyarakat antarabangsa secara sepadu menentang Deal of the Century akan menjerumuskan Asia Barat ke dalam konflik berterusan lebih parah.
Penulis adalah Pengerusi MyCARE
Pelan damai Trump cubaan hapus Palestin
Written By zabidi on Wednesday, 5 February 2020 | 8:24 am
Labels:
Global
Post a Comment