HONG KONG: Alibaba Group Holding Ltd merintis penggunaan hos
penstriman secara langsung untuk menjual segala-galanya daripada telefon
pintar hinggalah gincu di China.
Kini, gergasi e-dagang terbabit
mahu mengulangi kejayaan itu di seluruh dunia dengan bantuan sejuta
pempengaruh atau 'influencer' daripada platform TikTok hinggalah
Instagram.
AliExpress,
pasaran dalam talian syarikat bagi pembeli di luar China, sedang
mencari personaliti media sosial untuk mempromosikan gedung dalam talian
di seluruh dunia.
Ia mahu menarik lebih 100,000 pembina isi
kandungan tahun ini ke dalam AliExpress Connect, sebelum meningkat
kepada sejuta orang dalam masa tiga tahun.
Platform itu menawarkan
perkhidmatan pemadanan, membantu memadankan pempengaruh sosial media
dengan jenama serta perniagaan yang mahu memasarkan produk mereka.
Tumpuan awal adalah Eropah, di mana Russia, Perancis, Sepanyol dan Poland merangkumi majoriti penggunanya.
Alibaba
berharap dapat mengulangi kejayaan yang dinikmatinya melalui 'peneraju
pandangan utama' (KOL), yang meningkatkan jualannya dalam pasaran
Taobao.
"Bagi Taobao dan AliExpress, isi kandungan sosial adalah
kaedah untuk mempelbagaikan penawaran, namun bukan untuk menjana
pendapatan," kata Ketua Operasi AliExpress, Yuan Yuan kepada Bloomberg
News.
Pempengaruh akan membantu pengguna kekal dengan platform berbanding hanya membuat pembelian sekali saja.
"Sasarannya adalah untuk mengumpulkan pengguna, mengekalkannya dan menggalakkan mereka untuk kekal aktif."
Gergasi media sosial global seperti Facebook Inc juga sudah menambah ciri-ciri baharu yang menyokong pembelian dalam talian.
Di
Amerika Syarikat (AS), lebih 75 juta pengguna rangkaian sosial berusia
14 tahun ke atas dijangka membuat sekurang-kurangnya satu pembelian
dalam talian tahun ini, meningkat lebih 17 peratus berbanding 2019,
menurut firma penyelidikan eMarketer.
Pempengaruh dan pembina isi
kandungan boleh mendaftar ke dalam Connect menggunakan TikTok,
Instagram, Facebook dan akaun media sosial lain.
Yuan berkata,
AliExpress menyasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 100 daripada
sejuta pempengaruh meraih pendapatan lebih AS$1 juta setahun dalam masa
tiga tahun.
"Hanya jika boleh menjana wang sebanyak itu mereka
akan bermotivasi membina isi kandungan yang bagus untuk platform kami,"
katanya.
-Bloomberg
Alibaba mula misi cari sejuta 'influencer'
Written By zabidi on Tuesday, 2 June 2020 | 9:03 am
Labels:
Teknologi
Post a Comment