MALAYSIA kini berdepan dengan situasi yang tidak pernah dialami dalam sejarah negara.
Berikutan
pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seluruh rakyat bersatu
hati dan berusaha membantu mencegah penyebaran Covid-19 dengan duduk di
rumah dan mengamalkan penjarakan sosial menurut garis panduan yang
ditetapkan oleh pihak berkuasa negara dan global.
PKP menyaksikan
syarikat perniagaan merombak cara kerja dan beralih kepada kerja dari
rumah, dengan melaksanakan rancangan kesinambungan demi meneruskan
operasi perniagaan untuk terus berkhidmat kepada pelanggan.
Kesannya
peningkatan penggunaan dan kebergantungan kepada teknologi sebagai alat
untuk berkomunikasi, menguruskan organisasi dan menjalankan perniagaan
secara umumnya. Teknologi dan daya hubungan yang disediakan tidak pernah
kita hargai seperti pada hari ini.
Kemudahan
ini membolehkan kita bukan saja untuk terus bekerja dan mencari nafkah,
tetapi juga cara yang penting untuk terus mendapatkan maklumat dan
berhubung dengan orang tersayang, memastikan fikiran kita waras dan
tenang dalam suasana yang amat mencabar ini.
Sesungguhnya usaha
mengekalkan kehidupan biasa dan kestabilan sangat penting pada ketika
ini – dan faktor penyokong utama ialah bekalan elektrik.
Kebanyakan kita dilahirkan dalam kehidupan yang tidak asing dengan peralatan elektrik yang dipacu oleh bekalan tenaga stabil.
Kita
sudah biasa dengan kewujudannya, sambil ia menerangi rumah dan jalan
raya, menghidupkan peralatan kita, daripada komputer meja dan riba yang
kita gunakan hari ini untuk bekerja dan belajar dari rumah kepada
telefon untuk kekal terhubung dengan orang tersayang.
Di samping
itu, terdapat pelbagai peranti lain (sistem keselamatan, penyaman udara
dan banyak lagi) yang memberi kita kemudahan dan keselesaan yang kita
perlukan untuk tidur nyenyak pada waktu malam.
Tenaga elektrik
sentiasa menemani kita dan akan terus memainkan peranan lebih penting
dan ketara sambil kita mengorak langkah ke hadapan selepas krisis untuk
menyokong dan memulihkan ekonomi.
Selain perkhidmatan pertahanan
dan profesional perubatan di barisan hadapan, jurutera dan juruteknik
juga bekerja keras untuk memastikan bekalan dan pengedaran elektrik
negara kekal stabil sepanjang tempoh PKP.
Tugas mereka penting untuk memastikan hospital terus mendapatkan bekalan elektrik supaya pesakit diberikan perhatian rapi.
Pihak
polis dan angkatan tentera mendapat bekalan elektrik untuk menerangi
lebih 120 pondok keselamatan sementara di serata negara bagi memastikan
wira-wira kita bekerja dengan selamat sambil melindungi keselamatan
negara dan rakyat.
Bekalan elektrik dan amanah yang digalas
penyedia perkhidmatan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah
Electricity (SESB) memastikan kita boleh hidup secara normal di rumah
kerana tanpa bekalan elektrik, tiada manfaat yang boleh diperoleh
daripada kemajuan teknologi yang dicapai selama ini.
Namun, penggunaan elektrik di rumah sudah meningkat dengan ketara akibat PKP.
Hakikat ini diperakui TNB dan kerajaan yang menawarkan diskaun bagi
meringankan beban orang ramai sambil mereka kekal duduk di rumah dengan
selamat.
Hakikatnya, orang ramai perlu diingatkan supaya peka
terhadap penggunaan tenaga kerana bekalan elektrik kita diedarkan di
seluruh negara menerusi rangkaian rumit dan tersusun rapi dikendalikan
TNB.
Penyenggaraan rangkaian tenaga ini penting untuk memastikan
gangguan bekalan tidak berlaku terutama di kawasan yang menempatkan
hospital dan perkhidmatan asas lain.
Kestabilan elektrik teramat penting, lebih-lebih lagi pada waktu krisis demi kemandirian ekonomi dan rakyatnya.
Selaku
pengguna, kita boleh membantu sektor tenaga menjamin kestabilan dengan
mempertimbangkan tahap penggunaan tenaga kita sendiri.
Untuk tujuan ini, rumah yang menggunakan teknologi smart meter (meter
pintar) mempunyai kelebihan memantau tahap penggunaan tenaga secara
harian kerana mereka dapat menjejak penggunaan menggunakan aplikasi
myTNB.
Pengguna yang tidak memiliki meter pintar juga boleh
menjejak penggunaan tenaga masing-masing menggunakan aplikasi, tetapi
hanya secara bulanan.
Selain menggalakkan pengguna meter pintar
menggunakan tenaga secara lebih cekap, aplikasi ini juga membantu
menjimatkan tenaga yang seterusnya boleh disalurkan kepada kumpulan yang
lebih memerlukan terutama dalam sektor penjagaan kesihatan yang
bergantung kepada tenaga elektrik untuk merawat pesakit.
Tambahan
lagi, mereka yang mempunyai meter pintar mendapat manfaat tambahan tidak
memerlukan pembaca meter datang mengambil bacaan meter.
Sebaliknya
meter boleh dibaca secara jarak jauh, bil diberikan tepat pada masanya
dan pengguna bukan saja boleh menyemak penggunaan harian, tetapi juga
membayar bil dalam talian untuk memudahkan hidup mereka.
Dengan kata lain, penjarakan sosial dapat diamalkan.
Walaupun
bekalan tenaga kita boleh ditampung pada hari ini, penggunaan bekalan
elektrik yang semakin meningkat memerlukan cara yang lebih cekap untuk
menguruskan penggunaannya. Dalam hal ini, kita sebagai pengguna bekalan
elektrik harian boleh memainkan peranan penting dalam pengurusan tenaga
kerana kita sebenarnya boleh mengawal permintaan tenaga.
Dengan menggunakan meter pintar, kita boleh mengatasi segala cabaran menguruskan penggunaan elektrik dengan lebih mudah.
Ia juga menjadi asas bagi penciptaan grid pintar yang akan menambah baik pengedaran bekalan elektrik di seluruh negara.
Dengan
memanfaatkan teknologi IoT, komunikasi antara kawasan yang memerlukan
bekalan elektrik dan kawasan yang tidak memerlukannya akan membolehkan
TNB menguruskan pengagihan elektrik dan mengurangkan pembaziran.
Tindak
balas lebih pantas boleh diberikan terhadap sebarang bentuk isu, lantas
menambah baik kehidupan dan merintis jalan bagi Kehidupan Pintar dan
Bandaraya Pintar.
Meter pintar adalah sebahagian daripada
perjalanan negara kita ke arah proses pendigitalan, satu konsep yang
sangat munasabah dan diterima pakai dalam dunia hari ini berbanding masa
lalu sambil kita bekerja dan berhubung dari rumah.
Kita perlu
ingat pendigitalan bukan saja berkaitan dengan peranti mahupun perisian
yang kita gunakan dalam peranti berkenaan, tetapi lebih daripada itu ia
meliputi manfaat teknologi yang mengubah cara hidup kita.
Tempoh
mencabar ini seharusnya dijadikan pengajaran dan peringatan berkaitan
betapa pentingnya tenaga elektrik dalam kehidupan kita dan mengapa perlu
menaik taraf alat yang kita gunakan untuk memantau penggunaan elektrik
dalam usaha meneroka segala kemungkinan untuk merangka masa depan yang
lebih cerah dan lebih baik.
Post a Comment