Headlines News :
Home » » Bantu anak bermotivasi ikuti pendidikan dalam talian

Bantu anak bermotivasi ikuti pendidikan dalam talian

Written By zabidi on Thursday 21 January 2021 | 10:54 am



PERANAN ibu bapa penting bantu dan sokong anak mengikuti pembelajaran dalam talian ketika mengharungi era pandemik.

Pada kebiasaannya, permulaan tahun adalah masa ibu bapa sibuk dengan persiapan anak ke sekolah dengan membeli perkakasan alat tulis, baju dan kasut sekolah baharu bagi menggantikan mana-mana yang sudah lusuh.

Tidak kurang juga ibu bapa yang mula menerangkan kepada si anak kecil mengenai kepentingan bersekolah sebagai persiapan mental mengharungi tahun baharu persekolahan. Guru pula bertungkus-lumus menyediakan prasarana dan alat bantu mengajar serta rancangan pengajaran tahunan bersesuaian, bagi menyambut kedatangan murid bagi tahun persekolahan baharu.

Namun, senario awal 2021 ternyata sangat berlainan. Tahun ini dimulai dengan perasaan bercampur-baur — ketidakpastian, kerunsingan dan kebimbangan — dikongsi bukan sahaja dalam kalangan ibu bapa, bahkan guru berdedikasi di seluruh negara.

Umum mengetahui, pendidikan ialah komponen pengalaman dan pengayaan terpenting dalam menjamin kehidupan lebih baik pada masa hadapan untuk anak khususnya generasi muda sekarang. Namun, komponen ini di ambang bencana, terancam oleh keadaan sekarang yang kian mencengkam.

 Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersama pengisytiharan darurat baru-baru ini memperlihatkan komitmen serius kerajaan dalam menangani masalah penularan COVID-19 yang kian meruncing di negara ini.

Berikutan pengumuman ini, sekolah diarah untuk ditutup, kecuali bagi calon peperiksaan penting bagi 2020. Segala proses pengajaran dan pembelajaran bagi murid lain, dijalankan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), sebagai alternatif pembelajaran norma baharu.

Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan garis panduan PdPR sejak tahun lalu, yang menggariskan tiga pendekatan, iaitu PdPR secara dalam talian bagi murid dan guru yang boleh mendapat capaian internet; PdPR secara luar talian bagi murid dan guru di luar kawasan liputan internet dan PdPR secara off-site yang dilakukan secara berpusat di pusat komuniti atau mana-mana premis yang diisytihar sebagai pusat pemindahan.

Langkah kementerian dan kerajaan membataskan kehadiran murid ke sekolah mendapat reaksi berbeza daripada masyarakat. Pelbagai keluhan ibu bapa mengenai pelaksanaan PdPR muncul di segenap skrin media sosial.

Tidak kurang juga yang mempersoalkan keikhlasan guru dalam melaksanakan tanggungjawab mereka mendidik, pendekatan digunakan guru dan kualiti pengajaran mereka. Naratif dengan nada sama juga dapat dilihat daripada kelompok guru.

Apa sahaja bentuk luahan itu, kedua-dua pihak sebenarnya mahukan perkara sama, iaitu mendidik anak bangsa.

Keprihatinan kedua-dua belah pihak terhadap permasalahan arahan yang timbul kerana kekangan terhasil daripada arahan kerajaan membataskan kehadiran murid ke sekolah mempunyai asas.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam siaran akhbar bertarikh 12 Januari lalu menyentuh kesan penutupan sekolah kepada kemenjadian murid.

Kemahiran membaca, menulis, dan mengira akan terkesan; kesihatan dan kesejahteraan mereka akan terganggu dan akses kepada pendidikan sangat bergantung kepada keberadaan dan prestasi capaian internet di seluruh negara. Bilangan murid yang tidak bersekolah (out-of-school) juga akan meningkat sebanyak 24 juta di seluruh dunia.

Dalam perkara ini, guru dilihat sangat terkesan dengan perubahan demi perubahan yang berlaku ketika era pandemik ini. Walaupun pihak kementerian mengeluarkan garis panduan jelas, pelbagai elemen lain perlu diambil kira guru, apabila merancang sesuatu pelan pengajaran pada masa ini.

Permasalahan seperti akses kepada internet dan peranti serta kualiti capaian internet memainkan peranan penting dalam merancang sebuah rancangan pengajaran. Pada masa sama, guru juga proaktif dalam mempelajari pelbagai jenis pelantar dan sistem serta aplikasi web yang boleh membantu mereka bentuk proses pembelajaran supaya murid dapat mencapai standard pembelajaran ditentukan.

Hakikatnya, mendidik bukan perkara mudah, lagi-lagi apabila perlu dilakukan dalam medium perantara yang tidak menyokong banyak jenis interaksi.

Kebanyakan aplikasi tidak direka khusus untuk kegunaan dalam bidang pendidikan. Sebagai contoh, Google Meet dan Zoom adalah medium direka khas untuk telesidang, tetapi ia sering digunakan guru untuk melaksanakan pembelajaran dalam talian.

Walaupun terdapat beberapa ciri boleh menyokong pembelajaran, ciri terbabit tidak akan dapat mengimbuh pengalaman pembelajaran murid persis pembelajaran bersemuka.

Guru yang sebelum ini tidak bergantung kepada alat elektronik, kini terpaksa belajar cara menggunakan pelbagai peranti dan pelantar, bagi menyediakan pelan pengajaran untuk murid. Bagi yang memilih untuk menjalankan pengajaran secara luar talian, mereka pula menghadapi masalah mereka bentuk bahan pengajaran dan pembelajaran yang lebih bersifat pembelajaran kendiri, yang membolehkan murid belajar dengan bimbingan minimum daripada guru.

Ibu bapa juga sebenarnya memainkan peranan penting dalam memastikan agenda pendidikan negara ketika pandemik ini dapat berlangsung secara teratur dan sistematik. Komitmen ibu bapa akan memastikan generasi muda kini tidak mengalami keciciran akademik.

Seperti semua sedia maklum, persekolahan sebelum era pandemik memperlihatkan majoriti masa murid adalah dalam pekarangan sekolah, tetapi keadaan sekarang menyebabkan durasi berkenaan bertukar.

Murid sekarang meluangkan masa sepenuhnya di rumah. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak mereka bersedia dan bermotivasi untuk mengikuti PdPR.

Mengikut kajian UNICEF di Bulgaria, bancian mendapati ada risiko murid akan tidak bermotivasi untuk belajar dan tidak akan mengikuti pembelajaran dalam talian. Hanya 20 peratus daripada ibu bapa dapat menyokong pembelajaran dalam talian, sedangkan lebih 50 peratus ibu bapa gagal berbuat demikian. Dalam kalangan 700,000 murid, 44 peratus didapati menghadapi masalah kesihatan mental makin meruncing jika dibanding dengan sebelum era pandemik.

Mampukah kita mengharungi pendidikan dalam talian di tengah-tengah kenaikan statistik penularan COVID-19, sekali lagi?

Jawapannya boleh didapati pada setiap warga Malaysia. Jika kita saling memahami, menghormati, bekerjasama dan bersungguh-sungguh bagi memastikan anak mendapat pendidikan sewajarnya, serta membantu guru yang sedang bertungkus-lumus saban hari dan waktu merancang dan menyediakan bahan pembelajaran kepada murid, nescaya generasi muda akan mempunyai masa depan yang lebih cerah dengan usaha kita jayakan ini. Malaysia Boleh!

Dr Mohd Hafiz Md Hanif

Pengarah Akademi Pendidikan/Sekolah Makmal, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)


Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER