Headlines News :
Home » » Cabaran bikin filem era pandemik

Cabaran bikin filem era pandemik

Written By zabidi on Thursday 21 January 2021 | 10:46 am

 


KUALA LUMPUR: Menerapkan norma baharu dalam pembikinan filem, bukan sedikit cabaran dihadapi pengarah Azhari Zain dalam menyiapkan filem genre drama berat, Petaka.

Bakal menemui penonton di saluran Astro First, mulai 4 Februari ini, Petaka yang menjalani penggambaran ketika seluruh negara 'berperang' melawan COVID-19, disiapkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Azhari yang juga pensyarah di fakulti Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberitahu, produksi mengawal tiga komponen utama dalam SOP iaitu pengendalian penggambaran, makanan dan kebersihan atau 'hygiene' serta penjarakan sosial sepanjang berada di lokasi.

"Alhamdulillah, kami berjaya mempraktikkan SOP sepanjang penggambaran. Dalam pendekatan pertama, kami perlu mengawal pengendalian penggambaran membabitkan kru, pelakon dan orang awam.

"Kita memastikan kru memakai pelitup muka, mengawal perjalanan penggambaran daripada bertembung dengan orang awam dan pelakon tambahan yang terbabit dalam Petaka," katanya kepada BH Online.

Petaka yang membariskan pelakon lama dan baharu termasuk Azman Ahmad, Wan Maimunah, Nabila Huda, Jaja Iliyes, Coki dan PU Azman, berkisar isu kekeluargaan dan faktor hitam dari luar yang merosakkan keharmonian kemanusiaan.

Azhari berkata, pihaknya juga memastikan pengendalian makanan dan kebersihan membabitkan keperluan asas diselia berpandukan SOP yang menjadi prasyarat ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dalam meneruskan penggambaran ketika pandemik COVID-19.

"Kami ikut saranan MKN seperti menyediakan makanan dalam bungkusan. Secara tidak langsung, ini memudahkan pergerakan penggambaran yang membabitkan beberapa lokasi di Kedah," katanya.

Selain itu, Azhari berkata, elemen penjarakan sosial juga sentiasa dipatuhi sepanjang tempoh penggambaran.

"Soal penjarakan sosial bukan sahaja ke atas orang awam, malah antara pelakon dan kru sepanjang berada di lokasi. Kebersihan sangat diutamakan dan penggunaan cecair pembasmi kuman diwajibkan setiap masa.

"Ini bagi melancarkan penggambaran dan semoga kita terlindung daripada virus berbahaya itu," katanya.

Penerbit, Arie Zaharie, Azhari Zain dan kru produksi ketika penggambaran filem Petaka.
Penerbit, Arie Zaharie, Azhari Zain dan kru produksi ketika penggambaran filem Petaka.

Bercerita lanjut mengenai buah tangannya itu, Azhari yang pernah menghasilkan Jin Notti dan 7 Petala Cinta memberitahu, Petaka bermain dengan konflik bukan sahaja fizikal, malah dalaman atau emosi yang kuat.

"Genre drama berat menjadi kegemaran saya dan pasukan produksi. Petaka bukan sahaja mengenai perasaan pelakon dan karakter, malah membabitkan kolaborasi dengan pergerakan kamera dan pencahayaan untuk mencetuskan emosi.

"Ini lebih 'visible' dan dirasai penonton kelak. Saya berterima kasih kepada pasukan termasuk pasca produksi yang menghasilkan suntingan serta skor muzik yang menepati kehendak filem ini.

"Saya suka drama berat kerana yakin ia menjadi kegemaran majoriti rakyat Malaysia untuk melihat bagaimana kesengsaraan orang lain.

"Penonton juga mahu lihat bagaimana penyelesaian diambil, pengajaran dan hikmah yang dapat dipelajari daripada sesebuah karya," katanya.

Mengenai gandingan pelakon lama dan baharu dalam Petaka, Azhari mencipta keserasian atau 'bonding' sebelum penggambaran bermula.

"Wan Maimunah misalnya, kami 'terbangkan' ke Kuala Terengganu sehari untuk bersama pelakon lain, keluar minum, berkongsi cerita dan mendengar kisah menarik beliau.

"Ini secara tidak langsung mencipta ikatan dan 'bonding' antara mereka makin terserlah. Hubungan rapat Wan Maimunah dengan Azman dan Jaja yang menjadi anak beranak dalam Petaka agak ketara.

"Alhamdulillah ini dapat mencernakan sebuah aliran emosi yang kuat antara ketiga-tiga mereka," katanya.

Selain itu, Azhari menganjurkan kelas latihan menggunakan teknik emosi dan pengukuhan karakter agar pelakon dapat menghayati watak.

"Kami isikan nilai karakter yang menekankan formula 3P iaitu personaliti, profesion dan 'private' kepada pelakon baharu seperti PU Azman dan Coki. Semua ini dilakukan agar mereka dapat menguasai watak dan situasi," katanya.

Sebelum ini, Azhari banyak mengarahkan filem terbitan Metrowealth Pictures. Pernah menjadi penulis untuk filem Soulmate Hingga Jannah, Duyung dan Nana Tanjung 2.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER