Oleh AZIZ MUDA
“EH, USTAZ Ismail Kamus masih hidup ke? Kata dah
mati? Pelik pula. Itu memang dia yang nampak tadi. Dia hidup balik ke?”
Begitulah kata-kata yang terkeluar dari bibir orang ramai apabila
melihat Ustaz Dato’ Ismail Kamus.
Kata-kata seperti itu terhasil
ekoran beliau dikatakan telah meninggal dunia seperti yang tersebar
dengan meluas menerusi group-group WhatsApp sekitar 20 Januari lalu.
Ustaz Dato’ Ismail Kamus bukanlah satu nama asing kepada seluruh rakyat
Malaysia. Beliau bukan sekadar dikenali oleh ahli-ahli PAS, tetapi juga
oleh para penyokong parti-parti lain, malah termasuk juga di kalangan
mereka yang tidak berparti atau berada di atas pagar. Beliau juga pernah
menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia pada tahun 1999
sehingga 2004 lalu atas tiket PAS.
Sejajar dengan sumbangannya
yang besar dalam aktiviti dakwah dan kemasyarakatan, beliau terpilih
sebagai Tokoh Maal Hijrah 1433 Hijrah Negeri Selangor sempena sambutan
Maal Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam
pada 26 November 2011.
Beliau menerima wang tunai RM10,000
sumbangan Kerajaan Negeri Selangor dan Lembaga Zakat Selangor (LZS),
sijil penghargaan, midal Maal Hijrah, sepersalinan pakaian dan pakej
menunaikan umrah yang disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor,
Tengku Sulaiman Shah yang mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin
Idris Shah.
Masuk kali ini, pendakwah terkenal itu dikatakan
telah meninggal dunia sebanyak empat kali, berdasarkan fitnah yang
disebarkan oleh pihak-pihak tertentu di negara ini. Tahun 2011 lalu
ketika fitnah kematiannya buat kali ketiga sedang bertiup kencang di
tengah masyarakat, beliau sendiri mengakui turut mendengar khabar angin
itu tetapi hanya disambutnya dengan senyum.
Ketika ditemui di
pusat perubatannya di pejabat Persatuan Perubatan Islam Darussalam
Malaysia di Gombak, Selangor pada 7 Disember 2011 lalu, beliau
menjelaskan, kali pertama khabar angin seperti itu bertiup di tengah
masyarakat berlaku sekitar 12 tahun lalu (bererti 16 tahun lalu),
manakala yang kedua sekitar 5 tahun lalu (bererti 9 tahun lalu).
Sesudah itu, beliau menyangkakan fitnah seperti itu tidak akan berlaku
lagi ke atasnya, tetapi sangkaannya itu ternyata meleset apabila ia
kembali berulang untuk kali ketiga terutama ketika beliau berada di
Mekah untuk mengerjakan ibadat haji pada tahun 2010 lalu.
Ketika
itu, tokoh agama yang disegani itu mengakui beliau kurang sihat sejak 6
bulan lalu kerana mengalami sakit buah pinggang, darah tinggi dan
kencing manis. Ekoran masalah kesihatannya itu, aktiviti beliau dalam
kemasyarakatan dan agama turut terbatas sejak hampir setahun lalu,
tetapi mulai aktif kembali sekitar Disember 2011 setelah kesihatannya
bertambah baik.
Ekoran kesihatannya yang kurang baik, beliau
telah mengambil keputusan untuk tidak bergiat aktif dalam politik
bersama-sama para pemimpin PAS, melainkan memberikan sumbangan
sekadarnya untuk parti setakat yang terdaya.
Sebagai tokoh agama
dan aktivis masyarakat, beliau banyak menghabiskan masanya dengan
memberikan sumbangan kepada orang ramai di pusat perubatannya bersama
para pembantunya.
“Jika ada jemputan daripada orang ramai untuk
berubat di rumah mereka, khususnya bagi kes-kes kronik, saya dan
rakan-rakan yang juga pembantu saya akan turut pergi ke rumah mereka
bagi membantu sekadar terdaya,” katanya.
Beliau bagaimanapun
berharap agar pihak-pihak terbabit tidak lagi menyebarkan fitnah seperti
itu terhadap beliau selepas itu bagi mengelakkan salah faham di dalam
masyarakat, di samping mengelakkan dosa kerana menyebarkan fitnah.
Bagaimanapun 1 Januari lalu, seluruh negara menjadi gempar apabila
tersebar berita menerusi WhatsApp dengan katakata, “Assalamualaikum.
Ustaz Ismail Kamus kembali ke rahmatullah. Akan disolatkan di Masjid
Nurul Hidayah, Kampung Pandan selepas Zohor. Inna lillahi wa inna ilaihi
rojiun.” Pada hal, Ustaz Ismail Kamus sebenarnya masih hidup. Pihak
terbabit seolah-olah sengaja menyebarkan berita seperti itu untuk
menimbulkan kejutan dalam masyarakat. Justeru, tidak hairanlah jika
perbuatan mereka itu dikecam pelbagai pihak.
Jika berita palsu
seperti itu disebarkan oleh pihak berkenaan untuk tujuan bergurau, ia
tentunya gurauan yang melampau dan tidak langsung menghormati tokoh
agama.
Tentunya menjadi sesuatu yang amat mendukacitakan jika
berita seperti itu menjadi bahan gurauan penulis blog dan penulis
WhatsApp.
Namun, mengimbas kembali pertemuan dengannya 7 Disember
2011 lalu, pendakwah yang dilahirkan pada 2 Disember 1948 itu sendiri
tidak dapat membaca mesej di sebalik penyebaran berita palsu seperti itu
ke atasnya.
“Saya hairan macam mana mereka boleh sebarkan fitnah
seperti itu ke atas saya, sedangkan saya sebenarnya masih hidup. Saya
sebenarnya tak pun berasa sedih dengan fitnah itu. Lagipun kalau mereka
tak kata saya dah meninggal dunia pun, saya pasti akan mati juga apabila
tiba masanya nanti,” ujar beliau.
Ustaz Ismail Kamus sudah 4 kali mati
Written By zabidi on Sunday, 1 February 2015 | 10:21 pm
Related Posts :
Labels:
Artikel
Post a Comment