Oleh Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ
“PERBARISAN khas menuju neraka yang diketuai Firaun akan disertai ramai pemimpin zalim dunia zaman berzaman termasuk para presiden Amerika Syarikat (AS)”
Perarakan Firaun ke neraka tidak berlaku seorang diri, sebaliknya akan disertai kaum atau para pengikutnya dari berbagai zaman.
Firman Allah yang bermaksud:
Firaun akan mengetuai kaumnya pada hari kiamat kemudian tetaplah dia akan membawa mereka masuk ke neraka. Dan seburuk-buruk tempat yang dimasuki ialah neraka. Dan mereka diiringi oleh laknat yang tidak putus-putus di dunia ini, dan pada hari kiamat. (Sebenarnya) laknat itu adalah seburuk-buruk pemberian yang diberikan (Hud 11:98-99).
Para pengikut dan pewaris Firaun akan terus muncul silih berganti dari satu zaman ke satu zaman, sehingga ke hari kiamat.
Hal ini kerana Allah merekodkan kisah kejahatan Firaun sebagai peringatan dan pedoman abadi buat seluruh pemimpin dunia, agar berhemah dan berakhlak ketika diamanahkan kuasa.
Sesungguhnya, manusia tidak akan mampu menongkat langit selama-lamanya dengan secebis kuasa yang dipinjamkan.
Firaun pada zaman Nabi Musa telah mati ditenggelamkan di laut, namun genetik keangkuhan dan ‘ilmu puaka’ warisannya terus dibawa oleh Iblis merentas zaman, lalu diwarisi dan diamalkan oleh ramai diktator dunia.
Pendek kata saya boleh katakan Firaun ialah mahaguru semua pemerintah yang zalim termasuk para presiden AS seperti Donald Trump dan George W. Bush.
Tahun baharu 2026 yang seharusnya menjanjikan harapan global bermula dengan episod gelap apabila AS menculik Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, berlandaskan alasan yang samar dan sukar diterima akal.
Jika diteliti rekod dasar luar para pemimpin tertinggi AS, budaya berdusta demi merosakkan pihak lain seakan-akan menjadi rukun yang tidak pernah ditinggalkan.
Sehingga wajar untuk dikatakan setiap dakwaan AS harus dianggap dusta, kecuali setelah dibuktikan kebenarannya dengan fakta yang telus dan bebas.
Sejarah menjadi saksi (berdasarkan apa yang berlaku di Iraq, Libya, Afghanistan) membuktikan betapa kebohongan dijadikan alat menghalalkan campur tangan dan kehancuran.
Tindakan jahat mereka menceroboh negara orang biasanya dijustifikasi dengan naratif palsu demi untuk membenarkan jenayah mereka.
Ini memang ‘mazhab Firaun’.
Perhatikan ulasan al-Quran mengenai isu ini:
Firaun berkata (kepada semua ahli sihirnya yang baru tewas kepada Nabi Musa): “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku izinkan kamu? Sesungguhnya dialah (Musa) ketua kamu yang mengajar kamu ilmu sihir; oleh itu kamu akan mengetahui kelak (akibatnya). Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semuanya” (al-Syu’ara’ 26:49).
Firaun mengucapkan naratif ini setelah para ahli sihirnya tewas kepada Nabi Musa dalam sayembara sihir perdana.
Risau rakyatnya yang menyaksikan kemenangan Musa terpengaruh mengikut Nabi Musa, Firaun bangkit membawa naratif palsu;
“Musa sebenarnya guru besar yang mengajar semua tukang sihir itu segala ilmu sihir.
“Oleh itu tidak hairanlah jika guru besar lebih handal dari muridnya.”
Naratif ini jelas palsu kerana Musa tidak pernah bertemu dengan semua tukang sihir yang datang dari segenap pelosok empayar Firaun.
Pun begitu, naratif itu diwujudkan bagi mengekalkan kuasanya di Mesir.
Tidak cukup dengan itu, Firaun memainkan naratif ‘patriotisme palsu’ dengan rakyat Mesir yang dungu fanatik kepadanya.
Allah berfirman:
Firaun berkata (kepada semua ahli sihirnya yang tewas dan beriman kepada Nabi Musa): “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu (wahai Musa dan ahli sihir) lakukan dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya dari padanya. Oleh itu, kamu akan mengetahui (akibatya) (al-A’raf 7:123).
Firaun seolah-olah berkata “Beta tahu! Hasil maklumat risikan beta, Musa dan semua tukang sihir ini sudah lama berpakat untuk merampas kuasa.
“Mereka ini ancaman besar kepada semua penduduk Mesir. Pertandingan sihir ini sudah lama disediakan skrip menang kalahnya oleh Musa dan semua ahli sihir ini. Mengapa? Tidak lain kerana mereka mahu merampas kuasa dan mengusir kita dari negara kita yang tercinta ini.”
Perkara sama turut disebut Allah dalam surah (al-Syu’ara’ 26:34-35).
Perhatikan alasan yang digunakan AS dalam tindakan jahat mereka menceroboh banyak negara.
“Iraq sedang membina senjata pemusnah yang bakal membahayakan rakyat AS. Afghanistan melalui Taliban memberikan perlindungan kepada ketua al-Qaeda Osama bin Laden. Maduro pula sebenarnya raja dadah Venezuela yang banyak menghantar dadah ke AS untuk merosakkan rakyat kita”.
Selain itu, kekuasaan AS turut disokong tiga tonggak utama iaitu; penasihat yang licik jahat (Haman), sokongan kewangan yang kukuh (Qarun) dan bala tentera yang patuh melaksanakan apa sahaja arahannya.
Ini sebabnya ketika membawa kisah Firaun, Allah selalu menggandingkan elemen tersebut, antaranya:
Firaun dan tenteranya berlaku sombong takbur di negeri itu dengan tiada alasan yang benar dan mereka menyangka mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami (al-Qasas 28:39).
Juga Firman Allah berkenaan tonggak politik dan kewangan:
Dan demi sesungguhnya! Kami mengutuskan Nabi Musa membawa ayat-ayat Kami dan bukti (mukjizat) yang jelas nyata. Kepada Firaun, Haman (simbol penasihat) serta Qarun (simbol kekuatan ekonomi); maka mereka (menuduhnya dengan) berkata: “Dia seorang ahli sihir, lagi pendusta!” (Ghafir 40:23-24).
Dunia ini terus berputar, berulang dengan putaran yang sama seperti yang telah berlaku sejak zaman purba, dan ia akan terus berputar sehingga tibanya hari kiamat.
Kisah-kisah lampau yang kita kenali dan pelajari sebagai sejarah bukan sekadar catatan masa lalu semata-mata; hakikat dan coraknya tetap sama, mencerminkan pola manusia dan masyarakat yang sering mengulangi kesilapan serupa.
Yang berubah hanyalah masa, tempat, dan watak-watak yang memainkan peranan di dalamnya.
Yang berubah hanyalah masa yang mengalir, lokasi di mana peristiwa itu berlaku dan watak-watak yang memainkan peranan di dalam sejarah, namun prinsip dan pengajaran daripada kisah-kisah itu tetap kekal relevan.
Yang paling penting, kita wajib sentiasa berhati-hati dan berwaspada agar tidak mewarisi atau mempraktikkan ilmu puaka Firau iaitu keangkuhan yang melampau, kesombongan yang membutakan hati, serta kezaliman yang merosakkan masyarakat.
Tindakan para pemimpn dunia termasuk Perdana Menteri Malaysia yang mengecam langkah gila Trump ini wajar disokong walaupun ia seperti bunyi dengungan sayap nyamuk pada telinga Trump.
Tidak mustahil untuk Allah tukar dengungan sayap nyamuk itu menjadi gendang kuat memecahkan gegendang telinga manusia gila seperti pemimpin AS itu, lalu dia segera berhenti menggila.
Saya berdoa Trump dikurniakan hidayah dan kesedaran, atau jika tidak, agar Allah meleraikan segala bentuk kuasa serta pengaruhnya supaya kerosakan terhadap dunia tidak terus merebak.
Penulis adalahTimbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


Post a Comment