KUALA LUMPUR 6 Mei - Seorang lagi insan seni yang terkenal sebagai
pelawak veteran dan sering
menjadi sebutan antara tiga Bujang Lapok
karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pergi meninggalkan peminatnya awal
pagi ini.
Datuk Aziz Sattar atau nama sebenarnya, Abdol Azez Satta, 89,
meninggalkan khazanah seni tidak ternilai melalui aksi-aksi humornya
melalui filem-filem seperti Seniman Bujang Lapok dan Pendekar Bujang
Lapok.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam
Bandar Tun Hussien Onn, Cheras Perdana pada pukul 2.10 petang selepas
disempurnakan dan disolatkan di Surau Al-Amin, Cheras Perdana.
Suasana hiba dalam kalangan sanak saudara, rakan artis dan sahabat
handai dapat dilihat ketika mereka memberi penghormatan terakhir.
Rata-rata ahli keluarga dan sahabat terkejut dengan pemergiannya yang
disifatkan agak mengejut, selepas dikhabarkan berada dalam keadaan
stabil, sejak sehari dimasukkan ke hospital petang Ahad lalu.
Menurut anak bongsunya, Sandakiah, 46, keadaan bapanya yang sudah dua
tahun menetap dengannya di Bandar Tun Hussein Onn memang sudah tidak
stabil sejak awal tahun ini.
Keadaan ayah sekejap baik sekejap tidak sehingga menimbulkan rasa
risau kepada kami adik-beradik. Selepas sakit, ayah mula tidak mahu
makan dan seleranya hilang. Bagaimanapun dia tetap tabah melawan
penyakitnya.
Pada awal pagi hari Ahad lalu, ayah mengadu sakit dada dan saya mahu
membawanya ke hospital tetapi dia tidak mahu. Lewat petang hari yang
sama, baru dia mahu ke hospital," katanya ketika ditemui di surau
berkenaan.
Ahad lalu, Allahyarham dimasukkan ke Pusat Perubatan KPJ Kajang
akibat serangan jantung namun keadaannya dilaporkan stabil selepas
ditempatkan di Unit Rawatan Korinari (CCU) hospital tersebut.
Antara yang hadir pada majlis pengebumian itu ialah Penasihat
Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim;
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar;
pelakon Datuk Mustapa Maarof, Datuk Rosnani Jamil, Datuk Sarimah Ahmad,
Datuk Freddie Fernandez, Datuk M. Nasir, Datuk Rosyam Nor, Datuk Hattan
serta artis-artis veteran yang lain.
Turut kelihatan pelakon Hans Isaac, Melissa Saila, Fauziah Ahmad Daud, Fizo Omar, Aizat Amdan dan ramai lagi.
Tambah Sandakiah, bapanya juga tidak meninggalkan sebarang pesanan
terakhir malah turut menghalang ahli keluarga daripada datang melawatnya
di hospital sebelum ini.
Ayah memang tidak mahu menyusahkan mereka (ahli keluarga) untuk
datang dari Singapura semata-mata mahu melawatnya. Malah, dua bekas
isterinya iaitu Dayang Sofia dan Hashimah juga dilarang untuk datang
menziarahi kerana katanya dia sudah sihat waktu itu," katanya.
Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak, 20 cucu dan 10 cicit hasil
perkahwinan dengan Siti Rumina Ahmad dan Dayang Sofia. Selepas menduda
hampir belasan tahun, Aziz berkahwin dengan Hashimah Delan pada Disember
2006 tetapi bercerai pada Mac 2012.
Post a Comment