Oleh NURSYAMIMI SAIDI
Bagi pengguna internet yang aktif melayari Google, doodle bukanlah
sesuatu yang baru dilihat
apabila ia sering hadir dengan logo
menggunakan doodle yang berwarna-warni.
Doodle adalah contengan spontan pada logo Google yang telah mencuri
perhatian pengguna internet setiap kali meraikan sesuatu perayaan,
peristiwa bersejarah, malah lakaran kehidupan pelukis atau ahli sains
terkemuka dunia.
Google Malaysia melangkah setapak lagi dengan mengumumkan
pertandingan Doodle 4 Google, dengan mempelawa pelajar-pelajar sekolah
menyertai dan berkongsi kreativiti mereka untuk mereka sebuah doodle
yang menarik.
Bertemakan 'Malaysia bagi saya adalah....' bersempena dengan Tahun
Melawat Malaysia 2014, pertandingan terbuka kepada para pelajar sekolah
rendah dan menengah dalam kategori umur 7 hingga 9 tahun, 10 hingga 12
tahun, 13 hingga 15 tahun, dan 16 hingga 17 tahun.
Walaupun pertandingan itu julung kali diadakan, ia bukan kali pertama
Google mencipta doodle yang bercirikan Malaysia kerana mereka pernah
menghasilkan doodle Hari Merdeka, Pilihan Raya 2013, dan doodle khas
buat Yasmin Ahmad.
Pengurus Negara Google Malaysia, Sajith Sivanandan berkata, doodle
mencerminkan personaliti Google dan sejak beberapa tahun yang lalu
lakaran itu menjadi sebahagian daripada ciri Google yang amat
ditunggu-tunggu oleh pengguna internet.
Katanya, pertandingan Doodle 4 Google memberi peluang kepada pelajar
sekolah mencipta doodle menggunakan apa sahaja platform seperti komputer
tablet, telefon pintar atau sekadar melakar menggunakan tangan.
"Lakaran tersebut boleh tentang apa sahaja sama ada mengenai budaya,
makanan, kepelbagaian masyarakat, mercu tanda atau gambaran unik yang
melambangkan Malaysia.
"Apa yang penting ia dihasilkan dengan penuh imaginasi dan
kreativiti," katanya dalam majlis pelancaran Doodle 4 Google di Kuala
Lumpur, baru-baru ini.
Hasil karya pemenang pertandingan ini bukan sahaja dapat menyertai
kumpulan elit ahli bukan Google, malah karyanya akan dipamerkan pada
Hari Malaysia, iaitu 16 September ini.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 Julai 2014.
Doodle 4 Google pertama di Malaysia
Written By zabidi on Tuesday, 6 May 2014 | 8:57 am
Labels:
Teknologi
Post a Comment