NEW DELHI - Malaysia hadir di New Delhi bersama pasukan yang dianggap
paling lemah, namun
pemain-pemain negara membuktikan semangat juang
tinggi berjaya mengatasi segala keraguan dengan melangkah ke final
Piala Thomas buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun selepas menundukkan
juara 13 kali, Indonesia 3-0 malam tadi.
Malah, beberapa jam sebelum perlawanan, keyakinan bahawa peluang
untuk merampas kejuaraan Piala Thomas buat kali pertama selepas 22 tahun
cukup cerah setelah melihat Jepun mengejutkan gergasi dunia, China 3-0
turut menjadi motivasi tambahan buat pasukan negara.
Datuk Lee Chong Wei, Tan Boon Heong-Hoon Thien How dan Chong Wei
Feng, semuanya memberi aksi terpuji biarpun terpaksa mengharungi
perlawanan mendebarkan sebelum melakar kemenangan.
Chong Wei dipaksa berhempas pulas di set pertama sebelum menjinakkan
Tommy Sugiartro 21-19, 21-13 untuk menghadiahkan mata semangat buat
pasukan negara.
Selepas gagal menghadiahkan mata dalam pertemuan menentang Denmark di
suku akhir, gandingan senior, Boon Heong-Thien How kembali menunjukkan
taring dengan mengejutkan juara dunia dan pasangan No. 1 dunia,
Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 8-21, 23-21.
Daripada sekadar pemain simpanan pada penampilan sulung Piala Thomas
di Wuhan, dua tahun lalu, Wei Feng sekali lagi menjadi wira dengan
menghadiahkan mata kemenangan Malaysia selepas menumpaskan Dionysius
Rumbaka 21-10, 21-17.
Bagi Chong Wei dan Wei Feng, mereka adalah tonggak penting yang
membawa kepada kejayaan Malaysia ke perlawanan akhir apabila memenangi
semua lima perlawanan setakat ini.
"Memang amat teruja apabila berjaya melangkah ke final sekali lagi.
Saya tidak merasai pengalaman perlawanan akhir terakhir Malaysia dan
gembira melihat pemain-pemain muda ini berjaya menunjukkan semangat
juang yang tinggi.
"Selepas tiba di sini, ramai yang memandang rendah kemampuan
Malaysia, apatah lagi kami dikatakan hadir sebagai pasukan paling lemah,
namun hari ini kami membuktikan mereka silap dengan berjaya melangkah
ke final.
"Saya tidak pernah anggap peluang Malaysia untuk merampas kejuaraan
adalah cerah selepas Jepun menewaskan China dalam separuh akhir pada
sebelah petang, pada saya berdepan Jepun juga bukan mudah dan mereka
adalah lawan yang kental.
"Yang paling penting buat semua pasukan adalah fokus kepada permainan
sendiri. Kami sudah menyahut cabaran persatuan yang mahu pasukan
melangkah ke final, sekarang terpulang kepada kami untuk mencari
keputusan lebih baik," kata Chong Wei.
Jika rekod pertemuan Malaysia dan Jepun menjadi ukuran, pasukan
negara memegang kelebihan 3-1 ke atas negara Matahari Terbit itu.
Namun Jepun, yang menunjukkan peningkatan sangat ketara di bawah
bimbingan Park Joo Bong mengejutkan pasukan negara pada pertemuan
terakhir kedua-dua pasukan di Kuala Lumpur pada 2010.
Kali terakhir Malaysia layak ke perlawanan akhir adalah di Guangzhou
2002, di mana kita tewas 2-3 kepada Indonesia manakala kejohanan 1992 di
Kuala Lumpur adalah kali terakhir pasukan negara muncul juara. - UTUSAN
Post a Comment