KUALA LUMPUR- Petronas Gas Bhd memperuntukkan RM6 bilion bagi
perbelanjaan modal untuk lima tahun akan datang. Daripada jumlah itu,
60 peratus akan dibelanjakan untuk 'projek
pertumbuhan' seperti terminal
regasifikasi di Pengerang.
"Selebihnya untuk projek sedang dilaksana untuk membantu operasi
loji, peremajaan dan proses penyelenggaraan," kata Pengarah Urusan dan
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yusa' Hassan kepada pemberita selepas
mesyuarat agung tahunan syarikat itu, di sini hari ini.
Turut hadir di mesyuarat itu ialah Pengerusi Petronas Gas, Datuk Anuar Ahmad.
Yusa' berkata, tahun ini sahaja, Petronas Gas akan membelanjakan RM800 juta untuk peremajaan loji dan proses penyelenggaraan.
Sementara itu, Anuar berkata, syarikat menjangka terminal
regasifikasi gas asli cecair (RGT) di Sungai Udang, Melaka akan
menyumbang sehingga 10 peratus kepada keuntungan syarikat dalam tahun
pertama operasi penuhnya tahun ini.
RGT yang memulakan operasi dalam suku kedua tahun lalu itu
menyumbangkan kira-kira lima peratus atau RM163.5 juta kepada keuntungan
Petronas Gas dalam tahun kewangan 2013.
Yusa' berkata, stesen janakuasa yang 60 peratus dimilikinya di
Kimanis, Sabah dijangka mula beroperasi dalam suku kedua atau ketiga
tahun ini. - BERNAMA
Petronas Gas peruntuk RM6 bilion perbelanjaan modal
Written By zabidi on Tuesday, 6 May 2014 | 12:36 pm
Labels:
Bisnes
Post a Comment