Saya selalu mimpikan Anugerah. Semenjak saya mula menjejakkan kaki ke
Lembah Tandus ini,
mimpi-mimpi di malam hari, menjelmakan Anugerah.
Anugerah yang saya petiakan sedalam-dalamnya, Anugerah yang saya pegang
kejap dengan kedua tangan saya ini, Anugerah yang saya lekapkan ke
tubuh, mendekatkan Anugerah dengan hati saya, Anugerah yang saya kucup
dengan dua ulas bibir saya ini.
Namun semua itu di dalam mimpi dan tatkala saya terjaga daripada
lena, saya tidak lagi menemukan Anugerah. Kadang-kala saya termenung
sendirian mengapa saya belum lagi menerima Anugerah sedangkan ramai
teman seangkatan saya yang sudah mendapat Anugerah. Kadang kala saya
merasakan Tuhan itu tidak adil dan melebihkan teman-teman saya yang saya
rasakan tidak setanding usaha dan jerih payah yang mereka lalui
dibandingkan saya.
Acap kali saya melihat teman-teman saya memegang Anugerah, saya jadi
sakit hati. Saya jadi cemburu dengan mereka. Saya makan hati saya
sendiri serta kadang kala menyalahkan takdir, kadang kala Tuhan kerana
merasakan saya yang lebih layak menerima Anugerah tetapi permintaan saya
tidak pernah dikabulkan.
Setiap kali Anugerah dikecapi oleh orang lain, ramai yang bertanya
kepada saya, mengapa saya belum lagi menerima Anugerah. Kadang kala saya
mengesan ada nada menyindir dalam pertanyaan tersebut. Kadang kala saya
beranggapan mereka hanya ingin menyakitkan hati saya yang kecil dan
mudah terguris ini kerana belum lagi dikurniakan Anugerah. Kebiasaannya
saya pekakkan telinga sahaja sambil mata saya ibarat ingin mengalirkan
air mata darah melihat Anugerah jatuh ke tangan teman saya yang lain.
Jika perasaan kecamuk saya diapi-apikan lagi oleh bicara tajam
tersebut, ada juga kalanya saya naik berang dan jengilkan mata tanda
marah kepada mereka. Selebihnya adalah keping-keping hati yang berkecai
jatuh ke lantai perasaan angkara tidak mendapat Anugerah.
Sebetulnya, semua orang beranggapan bahawa saya sepatutnya menerima
Anugerah. Melihat bagaimana kepayahan yang saya lalui dalam perjuangan
saya ini, semua orang selalu menjangkakan tangan saya yang akan
menyambut huluran Anugerah daripada Penyampai di atas prosenium. Saya
selalunya cuba bersikap biasa dengan tidak terlalu termakan dek pujian
dan jangkaan belum tentu orang ramai meskipun bunga-bunga rasa bangga
selalu sahaja mercup mekar dalam hati saya sehingga senyuman saya
panjang sampai ke telinga.
Saya biasa-biasa sahaja dan sebenarnya tatkala bukan nama saya yang
disebut oleh Penyampai untuk menerima Anugerah pun, saya juga buat
biasa-biasa sahaja bertepuk tangan, tersenyum yang kurang sedikit sampai
ke telinga serta ketawa-ketawa kecil yang sengaja dibuat-buat
menyedapkan hati sendiri serta melindungi gelora emosi. Jauh di sudut
hati saya menangis !
Selepas realiti itu, saya selalunya memutuskan untuk tidak lagi
bercakap dengan penerima Anugerah yang lain. Yang saya sifatkan merampas
Anugerah daripada saya. Saya teruskan kehidupan dan perjalanan
perjuangan saya seperti biasa serta menyingkirkan nama-nama mereka jauh
daripada kamus peribadi saya agar saya tidak lagi beranggapan bahawa
percaturan saya mendapatkan Anugerah akan mendapat halangan.
Saya berusaha lebih bersungguh-sungguh daripada biasa, saya tambahkan
ramuan kegigihan serta perbanyakkan jalur-jalur ikhtiar dalam mencipta
pelangi kemenangan. Saya selalu katakan pada diri sendiri bahawa
Kemenangan esok bukan ditentukan oleh kegagalan semalam. Maka hasrat
saya untuk mendapatkan kemenangan semakin membara dan berkobar-kobar.
Impian saya untuk menggenggam Anugerah semakin bercahaya.
Namun ketika itu juga, semua penerima-penerima selalu sahaja ingin
berhubung dengan saya. Bertanya saya itu dan ini, menawarkan bantuan
kepada saya, cuba menolong saya menjalani perjuangan yang saya lalui
tanpa mereka mengetahui bahawa saya cuba meluputkan mereka daripada
ingatan saya. Saya tidak tergamak mengatakan kepada mereka Jauhkan diri
daripada saya kerana saya tahu mereka tiada salah kepada saya. Cuma
saya sahaja yang cuba membina benteng jurang antara kami lantaran
takutnya saya pada diri sendiri.
Kera sumbang
Takut pada kegagalan untuk sekian kalinya. Takut Anugerah terlepas
lagi untuk kali ini. Maka saya memutuskan untuk membutakan mata daripada
melihat mereka, membisukan kata daripada berbual dengan mereka serta
memekakkan telinga daripada mendengar setiap patah perkataan yang
terucap dari lidah mereka. Biarlah orang kata saya kera sumbang, hidung
tinggi dan sebagainya. Misi saya hanya satu, untuk mendapatkan Anugerah!
Tetapi malam itu, saya mendapat mimpi lagi. Kali ini bukan mimpi yang
serupa dengan mimpi-mimpi sebelum ini yang melenakan langsung
memanjangkan pembaringan di atas katil di rumah saya. Mimpi itu seperti
igauan ngeri yang mengacau tidur saya sehingga saya terjaga di
tengah-tengah kepekatan malam yang saya rasakan ada semilir angin
dingin-panas bertiupan. Peluh renik memercik membasahi belakang baju
tidur saya malam itu. Saya jadi tidak keruan, duduk salah berdiri tidak
kena.
Hendak baring dan menyambung tidur kembali, saya takut terigaukan
mimpi itu sekali lagi. Akhirnya saya melangkah ke kamar mandi,
membasahkan anggota wuduk dengan siraman air dari kegelapan waktu pagi
yang menyejukkan tetapi tidak begitu mengamankan sebanyak tiga kali
untuk setiap anggota. Lantas menapak ke tikar sembahyang menunaikan
solat tahajud. Semakin saya cuba mencari kekhusyukan dalam ibadah,
semakin terngiang-ngiang igauan mimpi saya di tengah solat tersebut.
Dalam mimpi itu, saya tidak menjadi penerima Anugerah. Kali ini
Anugerah hidup seperti seorang manusia seperti saya. Boleh bercakap dan
berjalan. Boleh memandang dan bersentuhan. Saya di dalam mimpi itu
kegamaman melihat Anugerah melangkah laju menghampiri saya memegang
kejap tubuh saya sebagaimana kejapnya saya memegang Anugerah dalam
mimpi-mimpi saya yang lain. Tetapi saya tidak nampak wajahnya kerana
wajahnya tetap sama seperti Anugerah yang bukan manusia. Suara yang
didengungkannya saya tidak tahu keluar dari celah kerongkong mana dan
baru saya tahu betapa kasar dan kerasnya suara milik Anugerah.
Katanya saya tidak akan pernah berjaya mendapatkan anugerah kali ini
kerana kelayakan yang saya rasakan sendiri itu tidak ubah seperti seekor
tikus yang membaiki labu. Bukan memperbaiki tetapi makin menjahanamkan.
Kata Anugerah saya selamanya takkan menerima anugerah melainkan setelah
saya berhenti menipu diri sendiri. Saya kehairanan namun keanehan itu
lantas bertukar menjadi ketakutan apabila Anugerah menjadi besar dan
lebih banyak tangan yang muncul keluar daripada tubuhnya dan
tangan-tangan itu menarik tangan, lengan, bahu, tubuh, paha, lutut dan
kaki saya ke arah tubuhnya yang besar dan agam itu.
Saya menjerit-jerit ketakutan tetapi dibalas oleh hilaian tawa
Anugerah yang menggerunkan. Pelukan menjadi semakin kejap dan kemas
sehingga saya sendiri terdorong menempel ke tubuh Anugerah dan tatkala
pandangan mata saya dipenuhi ruangan hitam, barulah saya tersedar dalam
keadaan tercungap-cungap.
Angkara mimpi yang tidak pernah saya ceritakan kepada sesiapa,
perjuangan yang saya lalui, saya rasakan semakin sukar dan susah. Saya
rasakan jalan yang ditempuhi semakin berliku dan saya rasakan jalan saya
sahaja yang berhalangan. Jalan teman-teman saya yang lain seperti
dihampar permaidani merah. Kecemburuan saya semakin menjadi-jadi.
Semenjak itu saya rasakan hidup saya tidak pernah tenang tetapi tetap
mengimpikan Anugerah.
Kegelisahan seperti mengekori saya ke mana-mana bagaikan
bayang-bayang sendiri. Semua teman saya menyedari perubahan itu. Ada
yang bertanya tanda menghulurkan simpati yang pada saya tidak lain
adalah pura-pura sahaja kerana mereka tidak mahu saya merangkul
Anugerah. Mereka mahu sindir saya lagi kali ini jika saya gagal
menggenggam Anugerah. Saya tidak mahu mengalah. Saya tambah bertan-tan
lagi ramuan kegigihan dan jalurkan berlapis-lapis lingkaran ikhtiar.
Saya mahu pelangi kemenangan saya yang paling bersinar kelak.
Namun akhirnya, saya tetap bukan penerima Anugerah. Kali ini saya
gagal lagi mendapatkan Anugerah. Saya sifatkan Penerima tersebut
merampas Anugerah yang sudah lama saya idam-idamkan itu daripada saya.
Sewaktu Penerima menaiki prosenium menerima Anugerah daripada Penyampai,
saya melihat dengan api di dalam mata saya. Kali ini tidak ada senyuman
sampai ke telinga. Tidak ada ketawa kecil yang sengaja dibuat-buat.
Tidak ada tepuk-tepuk tangan seperti biasa. Saya cuma berdiri (itupun
kerana semua orang berdiri ) sambil mata saya mencerlung tajam pada
Penerima yang tersengih-sengih mengangkat tinggi Anugerah yang
dicapainya itu.
Hati saya sangat sebal sehinggakan saya rasa wajah saya panas dan air
mata saya bagai ingin merembes laju. Tatkala wajah Penerima mencium
pandangan mata saya, saya perasan ada senyuman mengejek yang dihantarnya
kepada saya. Saat itu juga saya langsung angkat kaki meninggalkan
arena. Igauan mimpi itu muncul secara tiba-tiba. Benarkah, nasib saya
sudah tertulis malang oleh rasian yang asalnya mainan syaitan?
Semenjak pada itu, saya merasakan saya mengalami transisi dalaman
yang teramat dahsyat. Bermula dengan pengurungan diri di kamar seusai
waktu Isyak sehingga hening fajar menjelang, saya masih lagi mengunci
diri sendiri. Saya tidak pasti apakah saya sedang berteleku mencari
ketenangan ataupun mengumpul bekalan bernama kekuatan.
Yang pasti, di luar kamar semua orang sedang sibuk mengucapkan
tahniah kepada Penerima di atas penyampaian Anugerah tersebut. Hati saya
bertambah sakit apabila Penerima mencari-cari saya kononnya hendak
meraikan kejayaan tersebut bersama-sama saya. Saya senyapkan diri di
dalam bilik. Kini senarai teman untuk diputuskan hubungan menjadi
bertambah dengan kehadiran Penerima. Saya akhirnya keluar meneruskan
perjalanan perjuangan namun yang pasti, saya sudah tidak lagi membawa
diri saya di dalam jiwa sendiri.
Barangkali saya sudah terlalu laparkan Anugerah. Minda dan hati saya
sudah dibutakan oleh keinginan yang melampau untuk mendapatkan Anugerah.
Saya tidak lagi meletakkan ramuan kegigihan dan jaluran ikhtiar dalam
usaha saya tetapi saya mula dirasuk menggulati teknik-teknik yang
mencemarkan pendirian. Saya mula meniru, menipu dan berbohong untuk
mendapatkan natijah yang lebih baik daripada yang lain. Saya mula
membuat onar dengan mendatangkan masalah kepada teman-teman saya. Saya
rosakkan pakaian mereka, saya sembunyikan peralatan perjuangan mereka,
saya sebarkan cerita bahawa Penerima sebenarnya merasuah Penyampai agar
menjadikannya penerima Anugerah.
Lancar
Semua orang mempercayai saya kerana rekod bersih yang saya pegang
selama ini serta kehidupan semua orang yang saya aniayakan menjadi
berantakan. Saat itu saya rasakan sayalah orang yang paling beruntung
antara semua kerana jalan yang saya lalui kini lancar tanpa masalah
sedang wasilah mereka ditabur dengan duri-duri yang saya tabur sendiri.
Tambahan pula tiada sesiapa yang mengetahui taktik kotor saya. Saya
menjadi semakin bersemangat menggandakan penganiayaan dan
memperbanyakkan taktik kotor yang saya fikir boleh melabakan diri
sendiri. Saya sudah tidak kisah dosa dan pahala kerana di depan mata
saya hanya ada Anugerah.
Dan akhirnya saat yang saya tunggu-tunggu menjelang jua. Saya
akhirnya dinobatkan sebagai penerima Anugerah. Saya tidak dapat
gambarkan betapa gembira dan bangganya perasaan saya di saat saya
menaiki anak tangga prosenium di mana saya sengaja menghentak-hentakkan
kaki tanda kemenangan yang sudah lama saya nantikan. Dan tatkala tangan
Penyampai menyerahkan Anugerah kepada saya, senyuman saya sudah melebar
selebar pentas yang terbuka, tangan saya menggenggam kejap Anugerah
hinggakan macam mahu kemek.
Saya dekatkan Anugerah ke dada saya ibarat mahu meletakkan ia
sebahagian daripada organ dalaman dan saya julang Anugerah lebih tinggi
daripada Penerima yang saya perhatikan berada dalam kalangan hadirin
yang hadir yang saya wajibkan berdiri, tersenyum dan bertepuk tangan
sekuat mungkin. Di kala itu saya berasa teramat puas hati!
Selepas itu, saya didatangi beberapa orang Pewaris yang saya tidak
tahu kebiasaannya diletakkan di bawah semua penerima Anugerah untuk
dididik dan diperturunkan ilmu pengetahuan bagi menghadapi perjuangan
sekali gus berusaha untuk menjadi penerima Anugerah seterusnya. Saya
jadi terpempan kerana saya sendiri tidak tahu bagaimana sebenarnya cara
untuk menjadi seorang penghadap perjuangan apatah lagi penerima Anugerah
melainkan dengan taktik kotor yang saya lazimi sewaktu saya kemaruk
inginkan Anugerah.
Saya sudah lupa perihal ramuan kegigihan dan jaluran ikhtiar. Saya
tidak mungkin menceritakan bahawa saya meniru, menipu dan menganiaya
apatah lagi mengajarkan mereka teknik-teknik hitam tersebut melainkan
saya akan membuka pekung di dada sendiri. Peluh debaran saya
memercik-mercik apabila mereka seakan-akan mendesak saya menumpahkan
tunjuk ajar.
Saya cuba meminta bantuan teman-teman lain khususnya Penerima namun
mereka semua menjauhkan diri daripada saya kerana mereka beranggapan
sudah tidak layak berkawan dengan saya kerana saya seorang penerima
Anugerah. Tambahan pula mereka mendakwa saya yang memulaukan mereka
terlebih dahulu. Saya bagaikan ingin menangis dan merayu agar mereka
mendekati dan membantu saya tetapi mereka semua menjauh, memasuki kamar
masing-masing dan mula mengunci wijil meninggalkan saya keseorangan
memegang Anugerah bersama beberapa Pewaris yang mula merengek dan
menarik-narik lengan baju saya. Sekali lagi saya didatangi bayangan
mimpi saya malam itu yang menjadi titik tolak perubahan drastik saya.
Saya akhirnya faham di hadapan Pewaris akan makna berhenti
membohongi diri yang diucapkan oleh Anugerah dengan bengisnya malam itu
bahawa anugerah yang sebenar adalah kurnia milik semua orang yang
berusaha mendapatkan sesuatu dengan jujur setulus mungkin tanpa ada
palitan kenistaan mahupun pengkhianatan dalam apa jua bentuk sekalipun.
Dengan berbohong seseorang mampu mendapatkan pangkat namun sifar berkat.
Dengan berdusta semua orang mampu memperoleh harta namun tiada cahaya,
dengan khianat semua mampu meraih kejayaan tanpa ada sekelumit
kebenaran.
Saya akhirnya sedar namun kini sudah terlambat kerana saya merenung
aksara Anugerah yang tertulis megah di badannya tanpa apa-apa makna di
dalamnya kerana saat itu saya bukannya seorang pemenang tetapi seorang
pesalah yang sifar kelulusan, hilang teman seperjuangan, kosong maruah
dan harga diri dan yang lebih walang, iman di dalam hati yang entah ke
mana pergi. Air mata saya mengalir laju mengenangkan semua ini hanya
kerana Anugerah!

Post a Comment