RAMADAN muncul
lagi. Bulan penuh keberkatan ini hanya muncul setahun sekali. Pastinya
bulan
ini amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam.
Di dalam bulan Ramadan, seluruh umat Islam diwajibkan berpuasa. Ini
diterangkan dengan jelas dalam ayat 183, surah Al-Baqarah yang
bermaksud; Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa
sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu,
supaya kamu bertakwa."
Perkara utama yang dituntut bagi seluruh umat Islam yang berpuasa
hendaklah meninggalkan makan dan minum serta tidak melakukan
perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar
sehinggalah terbenam matahari.
Dalam bulan ini umat Islam juga dituntut untuk memperbanyakkan amal
ibadah dan bertaubat di atas dosa-dosa yang dilakukan dengan mengisi
ruang-ruang yang ada bagi meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.
Ini kerana Ramadan adalah satu-satunya bulan yang memberi peluang
keemasan untuk setiap umat Islam meningkatkan ketakwaan diri,
menambahkan kesyukuran atas nikmat yang diberikan dan bulan untuk
mendapat keampunan dari segala dosa yang dilakukan. Oleh itu, sebagai
umat Islam kita perlu memuliakan dan menghayati Ramadan untuk mendapat
keberkatannya.
Apatah lagi, setiap saat adalah peluang-peluang yang paling utama
untuk menyucikan diri dan mendapat pahala daripada Allah SWT.
Sebagaimana di dalam satu hadis Nabi SAW. telah bersabda yang bermaksud:
Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan
Ramadan, sudah tentu mereka bercita-cita supaya bulan Ramadan
berpanjangan selama setahun". (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi )
Oleh itu, dengan kesempatan hadirnya Ramadan yang mulia ini
sama-samalah kita memberi tumpuan kepada tawaran Allah SWT pada bulan
ini bukannya terpengaruh dengan promosi-promosi produk atau
barang-barangan tertentu yang dikaitkan dengan Ramadan, walaupun hari
ini jika kita pergi mana-mana pasar raya memang sudah ada promosi jualan
untuk perayaan hari raya termasuklah jualan murah baju raya, biskut
raya dan sebagainya. Bahkan di pasar raya hari ini juga telah
berkumandang lagu-lagu raya Apakah ini caranya untuk kita menyambut
bulan Ramadan al-Mubarak?
Sepatutnya setiap individu Muslim menyambut ketibaan Ramadan dengan
penuh kesyukuran kerana kita berkesempatan menemui bulan kerahmatan,
keberkatan dan kemuliaan ini sekali lagi. Pada bulan ini Allah
menawarkan gandaan pahala bagi setiap kebajikan yang dilakukan oleh
sesiapa yang berpuasa dengan sempurna. Justeru, ambillah kesempatan di
bulan yang mulia ini untuk menambah pahala yang dijamin oleh Allah SWT.
Antaranya, berazamlah untuk menjadikan bulan Ramadan kali ini satu
bulan yang terbaik untuk diri kita. Misalnya, kita berazam menjalani
ibadah puasa yang tinggi kualitinya. Di samping memperbanyakkan lagi
kuantiti kita dengan amalan-amalan sunat seperti solat sunat Terawih,
menggandakan lagi tadarus al-Quran, qiamulai, bersedekah, beriktikaf dan
sebagainya. Cubalah untuk tekadkan dalam diri merebut semua peluang
kebaikan yang ditawarkan dalam bulan Ramadan ini.
Sesungguhnya Ramadan ini juga adalah bulan untuk melatih diri menjadi
lebih cermat di dalam setiap perbuatan. Bulan yang menahan lidah dari
perkataan yang sia-sia dan merosakkan. Bulan yang memelihara mata dari
pemandangan yang jelik dan menjijikkan. Bulan yang menahan telinga dari
halwa yang menghayalkan. Dan bulan yang menahan hati dari niat yang
serong. Maka peliharalah jasmani dan rohani kita, kerana itu adalah
sebaik-baik pelaburan di bulan ini.
Begitu juga untuk kesempurnaan ibadat kita di bulan yang mulia ini
dari segi kesihatan perlulah dijaga. Kesihatan tubuh badan yang sempurna
sudah tentu menjamin kesempurnaan ibadah puasa kita. Apabila tubuh
badan kita sihat ini memudahkan kita melaksanakan segala amalan yang
wajib dan yang disunatkan dalam bulan Ramadan ini.
Bagi golongan yang bergantung kepada ubat-ubatan tertentu untuk
merawat penyakit, barangkali berpuasa ini mungkin akan menganggu masa
pengambilan ubat-ubatan. Golongan sebegini perlulah mendapatkan nasihat
doktor masing-masing. Kemungkinan besar beberapa pengubahsuaian waktu
pengambilan ubat-ubatan itu boleh dilakukan. Sama ada mengambilnya pada
waktu sahur atau selepas berbuka.
Seterusnya, faktor kewangan juga perlu diambil kira. Persediaan dari
segi kewangan juga perlu dilakukan. Pada bulan Ramadan ini, kita
selalunya akan menyediakan pelbagai juadah untuk berbuka.
Oleh itu,
perbelanjaan untuk perkara ini juga perlu diteliti dan dikawal agar
tidak melampaui batas. Segala bentuk pembaziran perlulah dielakkan agar
keberkatan bulan Ramadan tidak disia-siakan.
Walaupun bazar Ramadan tumbuh bagaikan cendawan kita tidak boleh
menjadikan Ramadan sebagai pesta berbelanja sehingga makanan yang dibeli
dibuang begitu sahaja. Begitu juga dengan tawaran bufet Ramadan di
hotel-hotel juga seharusnya kita berhati-hati agar tidak terdorong untuk
berbuka puasa dengan promosi yang dikatakan murah tetapi mahal dan
membazir.
Walau bagaimanapun, bagi yang berhasrat untuk berbuka di mana-mana
hotel atau premis perniagaan yang menawarkan bufet Ramadan ini, cubalah
selidik dahulu sama ada premis perniagaan tersebut mempunyai sijil
perakuan dan penandaan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(Jakim) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Alangkah ruginya puasa
kita seharian apabila kita tidak mengambil berat soal halal dan haram
ketika berbuka puasa nanti.
Begitu juga dengan peranan media massa sepatutnya terus-menerus
menyebut berkaitan kelebihan dan kemuliaan bulan Ramadan. Ini penting
untuk memberi rangsangan dan semangat kepada umat Islam di bulan ini. Di
pihak media misalnya, sentiasalah menguar-uarkan ganjaran pahala dan
memperbanyakkan bercerita tentang keberkatan bulan yang mulia ini.
Sesungguhnya, alangkah bahagia dan gembiranya bagi umat Islam yang
dapat menemui bulan Ramadan untuk kali ini. Di samping berpeluang lagi
untuk menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan.
Maka keistimewaan yang
ada dalam bulan ini janganlah disia-siakan. Buatlah persediaan
sewajarnya untuk menyambut bulan mulia ini. Bermula sejak dari hari
pertama kita berpuasa sehinggalah di hari terakhir bulan Ramadan.
Moga-moga di akhir Ramadan nanti, kita akan menjadi seorang Muslim yang lebih mulia di sisi Allah SWT.
* PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Malaysia (IKIM)
Home »
Bicara Islam
» Hayati pengertian Ramadan dan persediaannya
Hayati pengertian Ramadan dan persediaannya
Written By zabidi on Monday, 30 June 2014 | 1:15 pm
Labels:
Bicara Islam


Post a Comment