MINUM air buah semasa bersahur adalah antara tindakan yang baik dalam memastikan umat Islam sentiasa bertenaga dan sihat sepanjang hari pada bulan Ramadan ini, menurut pakar dietetik.
Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL), Ridzoni
Sulaiman berkata dengan meminum air buah-buahan segar, ia dapat
mencegah tubuh daripada mengalami dehidrasi pada bulan puasa ini.
Air
buah-buahan ini mengandungi pelbagai jenis nutrien seperti vitamin,
potasium dan glukosa, dan berperanan sebagai bekalan tenaga di dalam
badan, katanya kepada Bernama baru-baru ini.
"Sebenarnya rasa
letih, penat dan mengantuk bukannya disebabkan kekurangan makanan
tetapi ia adalah disebabkan kuantiti air di dalam badan berada pada
tahap rendah.
"Bila berlakunya dehidrasi, tubuh kita
kehilangan air serta garam galian seperti sodium, potasium, kalsium,
fosfat dan sebagainya, sebab itu air memainkan peranan penting di
dalam tubuh kita," tambahnya.
Memandangkan bulan Ramadan kali
ini jatuh pada musim Monsun Barat Daya dengan cuaca yang panas dan
kering, serta diburuk dengan jerebu yang tidak menentu dan ramalan
fenomena El Nino akan melanda Malaysia pada pertengahan tahun ini, maka
adalah perlu bagi umat Islam memastikan bekalan air dalam badan
sentiasa dijaga.
Ridzoni berkata selain meminum air
buah-buahan, orang ramai perlu mengelak daripada meminum kopi ataupun
teh pada bulan puasa kerana minuman itu mempunyai kesan deuratik.
Minuman tersebut akan merangsang pengeluaran air kencing, dan
akibatnya, badan akan mengalami dehidrasi dan tekak menjadi sangat haus,
katanya.
Sementara itu, Pegawai Dietetik Pusat Pengajian
Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Hairil Nizam
Abdul Hamid turut bersependapat pengambilan air yang mencukupi amat
penting dalam menghadapi musim panas ketika berpuasa.
Katanya, kekurangan air ini boleh menyebabkan tubuh menghadapi masalah
kerana 70 peratus daripada komposisi tubuh terdiri daripada air.
"Tubuh badan memerlukan sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari bagi memastikan sel-sel tubuh dapat berfungsi dengan baik.
"Apabila tubuh mengalami dehidrasi masalah utama adalah buah pinggang
kerana bila tubuh kekurangan air, buah pinggang akan kecut yang boleh
menyebabkan kerosakan buah pinggang, malah antara perkara lain yang
boleh berlaku adalah pening dan pitam," katanya.
Tambah
beliau, walaupun pengambilan air yang mencukupi dititikberatkan namun
orang ramai turut dinasihat memakan makanan seimbang. - Bernama
Minum air buah ketika sahur untuk kekal cergas
Written By zabidi on Wednesday, 2 July 2014 | 3:43 pm
Labels:
Kesihatan


Post a Comment