Oleh MOHAMAD DHIYAUDDIN
KESUSAHAN merupakan sebahagian daripada asam garam kehidupan. Semua
orang pernah merasai kesusahan kerana ia merupakan ujian daripada Allah
SWT kepada seluruh manusia. Ujian Allah hadir dalam pelbagai bentuk. Ada
yang diuji dengan kesusahan hidup, kekurangan pada diri, perbuatan
buruk orang lain kepadanya, hati yang tidak tenang dan sebagainya. Apa
jua perkara yang membuatkan manusia susah merupakan sebahagian daripada
ujian daripada Allah SWT. Tiada siapa yang terlepas daripada diuji
oleh-Nya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami akan
menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan kelaparan
dan kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan
berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah:155)
Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya menjelaskan bahawa Allah SWT
menguji hamba-hamba-Nya sebagaimana firman-Nya di dalam surah Muhammad
ayat ke-31 yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami akan mengujimu sehingga
Kami mengetahui orang-orang yang berjuang dan orang-orang yang sabar
(dalam menjalankan perintah Kami), dan hingga kami dapat memastikan
keadaan dirimu dengan sebenar-benarnya.
Kesemua contoh-contoh yang diberikan oleh Allah SWT itu antara
sebahagian daripada ujian Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Sesiapa yang
bersabar, maka Allah akan memberikan pahala kepadanya. Sesiapa yang
berputus asa disebabkan ujian itu, maka Allah SWT akan menyeksanya.
Kerana itulah Allah SWT berfirman di akhirnya yang bermaksud: Berilah
khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
Allah SWT juga berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya hanya orang
yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batasan. (az-Zumar:
10)
Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat ini dengan membawakan ucapan Imam
Al-Auzai: Mereka (orang-orang yang bersabar) diberikan pahala tanpa
dikira banyaknya, mereka diberikan pahala secara melimpah (tidak terkira
banyaknya)."
Sentiasa menguji
Ujian merupakan tanda bahawa seseorang itu dikehendaki baik oleh
Allah SWT. Bahkan, Allah sentiasa menguji hamba-hamba-Nya supaya ia
menjadi bukti siapa yang sebenar-benarnya beriman dan bertawakal kepada
Pencipta-Nya. Rasulullah SAW bersabad yang bermaksud: Sesiapa yang
dikehendaki baik oleh Allah, nescaya Allah akan memberinya cubaan.
(riwayat al-Bukhari)
Sabar daripada ujian Allah SWT merupakan tanda tingginya iman seorang
Muslim. Muslim bermaksud seorang yang beragama Islam sedangkan Mukmin
ertinya orang Islam yang bertakwa. Sabar terhadap ujian Allah SWT adalah
antara tanda seseorang itu Mukmin di sisi Allah SWT.
Rasulullah SAW memuji sikap sabar mereka sebagaimana sabdanya yang
bermaksud: Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin itu, kerana semua
urusannya bernilai baik baginya dan hal seperti itu tidak akan terjadi
melainkan pada diri seorang Mukmin. Jika dia mendapat kesenangan, dia
akan bersyukur. Maka hal itu lebih baik baginya. Dan jika dia mendapat
kesusahan lalu dia bersabar, maka hal itu juga lebih baik baginya.
(riwayat Muslim)
Bersabar bukanlah mudah kecuali bagi mereka yang bertakwa. Ia
memerlukan semangat dan kefahaman agama yang baik agar ketika ia datang
menimpa, seseorang itu dapat menahan dirinya daripada melakukan
perbuatan yang dimurkai Allah SWT seperti menyalahkan Allah, membunuh
diri dan sebagainya.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya besarnya balasan
(pahala) tergantung daripada besarnya ujian (yang dihadapi) dan apabila
Allah cinta kepada sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka. Sesiapa yang
reda maka baginya keredaan Allah. Namun, sesiapa yang murka (marah
dengan ujian Allah) maka baginya kemurkaan Allah." (riwayat al-Tirmizi)
Home »
Bicara Islam
» Bergembiralah orang yang sabar
Bergembiralah orang yang sabar
Written By zabidi on Sunday, 24 August 2014 | 4:25 pm
Labels:
Bicara Islam


Post a Comment