AIDILFITRI sering dikaitkan dengan sifat bermaaf-maafan. Sifat pemaaf
merupakan salah satu daripada sifat-sifat luhur yang perlu ada pada
diri setiap individu Muslim. Terdapat beberapa ayat al-Quran dan hadis
yang telah menekankan tentang keutamaan bersifat sedemikian yang
disebutkan juga sebagai sufat orang-orang yang hampir di sisi Allah SWT.
Allah SWT telah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 134 yang
bermaksud: Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang
lain, Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebajikan.
Mereka yang bersifat pemaaf ini adalah golongan insan yang berjaya
menahan nafsu amarahnya terhadap orang lain tanpa dilampias dengan rasa
dendam dan rasa sakit hati. Perasaan insan pemaaf selalunya akan bebas
daripada perasaan berburuk sangka dan dendam kesumat dan digantikan pula
dengan sikap suka memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya.
Bersempena dengan bulan Syawal yang mulia ini, golongan insan yang
bersifat dan berhati mulia ini akan sentiasa mendapat ketenangan dan
kebahagiaan yang akan dilimpahi oleh Allah SWT kepadanya, lantaran telah
memartabatkan kemaafan bagi mengisi Aidilfitri yang begitu bermakna
ini.
Salah dan silap dalam sebarang tingkah laku yang berlaku sebelum ini
akan saling diberi kemaafan dengan melupakan apa jua kepahitan yang
terjadi dan menganggapnya sebagai salah satu daripada mehnah (ujian)
kehidupan di dunia.
Perlu difahami juga, bahawa walaupun setiap insan Muslim itu
digalakkan menyuburkan dalam diri dengan sifat pemaaf, namun perlu
diingatkan bahawa Allah SWT juga menegaskan bahawa seseorang yang
dizalimi diizinkan untuk membela diri dan membalas kezaliman tersebut.
Kejahatan perlu dibalas dengan kejahatan, tetapi setiap pembalasan itu
hendaklah terhindar daripada perasaan untuk membalas dendam. Ini kerana
kezaliman tidak wajib dibalas dengan perlakuan zalim juga.
Pada waktu dan saat beginilah, Allah SWT menuntut hamba-hamba-Nya
agar bersegera menyemai dalam diri dengan sifat pemaaf dan bertoleransi.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan bagi orang-orang yang dizalimi
mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan
yang serupa. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka
pahalanya adalah tanggungan Allah SWT. Sesungguhnya Dia tidak menyukai
orang-orang zalim. (as-Syuara: 39-40)
Setiap individu Muslim juga perlu menyedari bahawa kebaikan kita
kepada seseorang tidak seharusnya akan lenyap begitu sahaja, lantaran
kejahatan orang lain kepada kita sebagaimana sikap Saidina Abu Bakar
as-Siddiq sewaktu berlakunya peristiwa hadithul ifki (Berita dusta) yang
menimpa anaknya Aisyah r.a. yang juga isteri Rasulullah SAW.
Umum mengakui bahawa penyebaran fitnah dan pembohongan merupakan
suatu perbuatan yang amat keji yang boleh meruntuhkan kemakmuran dan
keharmonian hidup insan seluruhnya. Lantaran itulah, sewaktu berlaku
peristiwa tersebut, Saidina Abu Bakar begitu marah kepada orang yang
membuat fitnah tersebut.
Saidina Abu Bakar juga dengan drastiknya memberhentikan layanan baik
yang diberikan kepada sahabat handai dan rakan taulannya yang turut
terlibat dalam peristiwa penyebaran khabar dusta itu.
Tindakan Saidina Abu Bakar itu rupa-rupanya tidak disukai oleh Allah
SWT. Lalu Allah SWT telah menurunkan wahyu melalui Rasulullah SAW bagi
memberi teguran tegas-Nya sebagaimana mafhum ayat 22, surah an-Nur yang
bermaksud: Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan
kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi
pertolongan kepada kaum kerabatnya, orang-orang miskin dan orang-orang
yang berhijrah di jalan Allah. Hendaklah mereka sentiasa memaafkan
mereka dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?
Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi.
Demikianlah tegasnya Allah SWT dalam menyempurnakan kehidupan
hamba-Nya. Sesungguhnya putik-putik kejahatan yang tumbuh sebenarnya
hanya akan terus membangkitkan persengketaan yang berterusan untuk
tempoh masa yang lama. Sebaliknya, jika kejahatan itu dibalas dengan
kebaikan, nescaya akan padamlah api kemarahan dan terlerailah rasa
dendam yang terpendam dalam diri.
* PENULIS ialah Guru Pendidikan Islam di SK Sultan Ibrahim (4), Pasir Mas, Kelantan.
Home »
Bicara Islam
» Hiasi Aidilfitri dengan kemaafan
Hiasi Aidilfitri dengan kemaafan
Written By zabidi on Sunday, 3 August 2014 | 4:27 pm
Labels:
Bicara Islam


Post a Comment