Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
UMAT Islam masih lagi berada di bulan Syawal dan masih banyak lagi
rumah-rumah terbuka yang akan diadakan sepanjang bulan ini. Tanpa kita
sedar juga kita telah memasuki bulan Ogos untuk tahun ini. Ogos adalah
bulan di mana negara merayakan ulang tahun kemerdekaan. Perisytiharan
kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, sesungguhnya telah membawa kepada
perubahan negara daripada dijajah kepada pentadbiran sendiri.
Namun setelah 57 tahun mencapai kemerdekaan adakah rakyat negara ini
telah mengisi kemerdekaan tersebut dengan sewajarnya? Dalam tempoh 57
tahun ini negara kita bebas daripada sebarang perbalahan besar antara
kaum melainkan satu insiden pada 13 Mei 1969. Rekod Malaysia yang amat
cemerlang ini merupakan manifestasi susun atur budaya dan kaum di
Malaysia berada di jaluran yang betul.
Namun, kebelakangan ini saya melihat rakyat Malaysia sudah terlalu
dibahagikan oleh segmen politik kepartian sehingga setiap kali isu
berbangkit neraca politik kepartianlah yang akan dicanai ke sana ke
mari. Parameter inilah sebenarnya yang telah memecahkan kesepakatan
rakyat Malaysia kini. Fenomena ini harus ditangani dengan segera agar ia
tidak menjadi barah yang sukar dikawal lagi nanti.
Kemerdekaan negara yang dikecapi melalui rundingan dengan pihak
British dan persefahaman antara tiga kaum utama di dalam negara mestilah
dihargai. Perjanjian yang disepakati tersebut janganlah dipecahkan.
Kelak ia akan memakan diri.
Jati diri negara seperti yang diacu Perlembagaan Persekutuan disulami
dengan prinsip-prinsip Rukun Negara juga perlu dipertahankan. Hanya
dengan cara ini sahaja kita boleh menggarap suatu negara yang maju,
berjaya dan mempunyai jati diri.
Walaupun negara ketika ini sedang diuji dengan pelbagai ujian seperti
tragedi MH370 dan MH17, kawalan sempadan di Sabah bolos dang banyak
lagi, inilah masanya rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mengenepikan
ideologi politik dan bersatu demi negara.
Jadikanlah tanggal 31 Ogos tahun ini sebagai tarikh untuk kita
sama-sama menganjak minda kita untuk berubah mencorak Malaysia yang
lebih maju dan saksama. Walaupun terdapat pelbagai usaha sesetengah
golongan yang tidak senang dengan kesepakatan rakyat dan susun atur yang
telah lama diamalkan ini, rakyat Malaysia arus perdana mestilah
mengambil usaha bagi menolak pandangan picisan ini yang akan membawa
kepada keruntuhan negara.
Sejarah negara telah terbukti menjadikan Malaysia sebuah negara
dihormati dan mendapat pelbagai pujian luar. Malaysia merupakan
satu-satunya negara Islam yang aman dan maju serta menjadi contoh kepada
umat Islam dari negara lain.
Piawaian tinggi Malaysia ini tidak akan dapat dikecapi tanpa formula
kesepakatan dan keamanan di dalam negara. Mungkin formula ini yang ingin
dirungkai oleh kalangan yang masih tidak berpuas hati dengan kejayaan
Malaysia ini.
Menghargai erti kemerdekaan
Written By zabidi on Wednesday, 13 August 2014 | 10:12 am
Labels:
Artikel


Post a Comment