Oleh MOHD ARIF JUHANI
KEGEMBIRAAN umat Islam seluruh dunia menyambut bulan Ramadan terus
bertukar derita apabila tentera Zionis-Israel bertindak membedil wilayah
Gaza dengan serangan udara yang menatijahkan korban jiwa, kecederaan parah dan kemusnahan tempat tinggal penduduk Palestin.
Ketika ramai peminat seluruh dunia menangis apabila pasukan bola
sepak Brazil yang juga tuan rumah Piala Dunia 2014 dibelasah 7-1 oleh
Jerman, situasi yang lebih parah terpaksa dihadapi oleh penduduk Gaza
berdepan dengan kekejaman negara haram yang dilindungi Amerika Syarikat
dan beberapa negara Arab.
Pelantikan presiden haram Mesir, Jeneral Abdel Fatah Al-Sisi juga
dilihat seolah-olah menjadi ‘kunci’ kepada keberanian Zionis- Israel
untuk kembali melakukan serangan terhadap penduduk Gaza selepas
kepentingannya tergugat semasa Presiden Dr Mohamed Morsi memerintah
negara itu.
Ketika artikel ini ditulis, laporan menyebut bahawa sebanyak 780
serangan udara dilancarkan dan memusnahkan 112 kediaman, 64 syahid, 450
cedera parah dan kebanyakan mangsa terdiri daripada kalangan wanita dan
kanak-kanak.
Hakikat yang sukar untuk ditolak pula adalah dipercayai korban nyawa
dan kemusnahan infrastruktur di Gaza akan terus meningkat berdasarkan
kepada pendirian Perdana Menteri Zionis- Israel, Benjamin Netanyahu
bahawa lebih 40,000 tentera dalam mode bersedia untuk melancarkan
serangan melalui darat pula.
Menurut kenyataan Pengerusi Aqsa Syarif, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd
Noor, Operation Protective Edge yang dilancarkan oleh tentera
Zionis-Israel (IDF) dengan tujuan untuk menghapuskan gerakan Islam,
Hamas merupakan lanjutan kepada Operations Brother’s Keeper yang
bertujuan kononnya untuk mengesan tiga remaja Israel yang diculik di
Hebron.
Seperti yang mudah dijangka, kata Prof Hafidzi, secara spontan
Zionis-Israel menuduh Hamas kononnya merupakan dalang penculikan itu
walaupun pertubuhan Islam popular itu menafikan.
Strategi menuduh musuh melakukan jenayah yang tidak dilakukan
ternyata memang kaedah yang kerap diulang-guna oleh negara haram
Zionis-Israel itu bagi meneruskan tekanan terhadap musuhnya.
Tentunya kita masih ingat perang yang berlangsung di selatan Lubnan
pada 2006 apabila serangan ketenteraan yang diambil oleh Zionis-Israel
kononnya berdasarkan kepada motif untuk membebaskan dua orang tentera
yang ditawan.
Bagaimanapun selepas hampir sebulan perang berlangsung antara
Zionis-Israel dengan Hizbullah, negara haram itu terpaksa menanggung
malu yang besar kerana tewas sehingga terpaksa menerima Resolusi 1701.
Kita percaya resolusi yang dibentuk oleh Pertubuhan Bangsabangsa
Bersatu (PBB) tentunya bertujuan untuk melindungi kepentingan
Zionis-Israel dan mengelakkan negara serta tentera haram itu terus
menanggung kerugian yang lebih besar.
Mampu balas serangan Zionis Berdasarkan kepada tinjauan mudah
terhadap kekuatan kelengkapan tentera yang dimiliki oleh Briged Izzudin
Al-Qassam iaitu sayap tentera Hamas, dipercayai mereka mampu memberikan
serangan balas yang lebih dahsyat terhadap Zionis-Israel.
Walaupun mungkin boleh ditafsir sebagai propaganda, tetapi menurut
laporan dalam laman web Israel Defense Forces (IDF), mereka mendakwa
Briged berkenaan sememangnya berkemampuan untuk mengancam majoriti
rakyat negara haram itu meliputi kawasan Tel Aviv, Haifa, Jerusalem,
Be’er Sheva.
Hal ini kerana, pelancar roket tercanggih yang dimiliki oleh Briged
iaitu M-302 mampu menjangkau sehingga 160 km dengan berat kepala
peledaknya 144 kg. Dengan kekuatan itu, IDF mengakui bahawa roket ini
mampu memusnahkan sebahagian besar kawasan negara haram itu.
Meninjau kepada perkembangan terkini konflik itu, ternyata Hamas
sebenarnya tidaklah memerlukan campur tangan pihak luar khususnya
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Persidangan Islam
(OIC) untuk membantu menyelesaikan pergolakan itu kerana gerakan Islam
itu sudah cukup berupaya untuk menghadapi kezaliman Zionis-Israel.
Walaupun berada dalam kelompok yang ditindas, tetapi penduduk Gaza
jelas berbeza kekuatan mentalnya kerana sanggup berdepan serangan
Zionis-Israel berbanding penduduk negara haram itu yang bertempiaran
melarikan diri apabila siren amaran dibunyikan oleh pihak berkuasa.
Untuk jangka masa yang panjang, besar kemungkinan penduduk negara
haram itu akan berdepan dengan masalah psikologi kerana ketakutan serta
kebimbangan yang berterusan ketika berada di sana.
Boleh jadi juga,
negara haram itu akan musnah dari dalam apabila penduduknya yang tidak
tahan berdepan ketakutan setiap hari bertindak mendapatkan
kewarganegaraan di negara lain.
Apatah lagi, berdasarkan kepada apa yang berlaku sebelum ini,
ternyata juga bahawa kedua-dua pertubuhan sedunia itu memang lemah dalam
menyelesaikan masalah yang membabitkan umat Islam seperti di Myanmar,
Selatan Thailand dan seumpamanya.
Lebih memalukan adalah kelemahan OIC untuk bertindak walaupun asas
penubuhan pertubuhan itu pada 25 September 1969 adalah sebagai reaksi
terhadap kebiadapan puak Zionis yang menyerang Masjid Al-Aqsa.
Namun, segala solidariti yang dilakukan oleh penduduk dunia terhadap
perjuangan pembebasan Palestin terletak pada nilai kemanusiaan
sematamata apatah lagi Ramadan yang sedang disambut ketika ini wajar
dijadikan punca kepada semangat untuk membasmi kezaliman.
Seperti yang ditegaskan oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan
Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid supaya umat Islam
mengambil ruh perjuangan dan pengorbanan yang ditanam di bulan Ramadan
ini dengan tampil menyatakan bantahan keras dan menghulurkan bantuan
segera kepada rakyat Gaza.
Israel bakal berdepan kekalahan lebih dahsyat
Written By zabidi on Monday, 14 July 2014 | 9:49 am
Labels:
Global


Post a Comment