NAMANYA tiba-tiba saja menjadi perhatian apabila ditahan dalam
serbuan pihak berkuasa beberapa bulan lalu. Bagaimanapun ketika itu,
Along Eyzendy gagal dihubungi pihak media untuk mengesahkan kejadian
tersebut. Hampir beberapa bulan berlalu, Hits berjaya menemui Along di
tayangan perdana filem terbarunya Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa.
Menjelaskan kejadian itu Along tidak menolak dia berada di tempat
kejadian, bagaimanapun kontroversi yang mengatakan dia terlibat dengan
dadah itu sama sekali tidak benar. Kepada wartawan Aida Rizmariza
Kamaruddin, dia memberitahu sehingga kini masih ralat apabila ada pihak
yang terus mengaitkan dia dengan benda haram tersebut.
Hits: Apa sebenarnya yang berlaku malam itu?
Along: Saya ke pusat hiburan itu dengan niat untuk menemani rakan
saya yang juga salah seorang pembantu produksi. Jadi tujuan kami ke sana
adalah untuk melihat kawasan tersebut yang akan dijadikan sebagai
lokasi untuk penggambaran. Tidak sampai lima minit saya berada di dalam
pusat hiburan tersebut, tiba-tiba sahaja pihak polis membuat serbuan.
Hits: Kemudian?
Along: Saya diminta untuk menjalani prosedur biasa, seperti ujian air
kencing. Tetapi terbukti saya memang tidak mengambil sebarang bahan
terlarang. Jadi malam itu juga saya dibebaskan. Oleh kerana ujian
kencing itu negatif, saya dibebaskan serta merta.
Hits: Masalahnya, kenapa Along mengambil masa yang lama cerita benda ini?
Along: Memang saya cuba diamkan diri sementara perkara ini sejuk,
tetapi pihak pengurusan (MIG) tahu apa yang sebenarnya yang berlaku. Apa
yang saya ralat apabila tulisan yang terus menghentam saya tanpa usul
periksa sehingga menimbulkan rasa tidak senang di kalangan ahli keluarga
saya sendiri. Saya akui memang saya berada di tempat kejadian, namun
saya tidak pernah menggunakan bahan terlarang tersebut.
Hits: Apa yang Along belajar dari kejadian tersebut?
Along: Saya belajar jangan mudah percayakan orang, mungkin melalui
kejadian ini juga sebenarnya membuka mata saya. Selain itu juga, apa
yang saya tahu kini sejak bergelar pelakon dari tahun 2000, adalah
cerita-cerita seperti ini senang mendapat tempat di media berbanding
kerjaya saya. Benda ini memang mendewasakan saya, buat saya lebih
berhati-hati.
Hits: Penurunan berat badan juga seperti menguatkan lagi, kisah bahan
terlarang ini. Sebab sehingga kini ada pihak yang tidak sudah-sudah
mempertikaikannya, apa solusi Along untuk keadaan ini?
Along: Orang akan terus bercakap, sebagai pelakon saya tahu ini
adalah normal. Memang berat badan saya sebelum ini 120 sekarang 75,
tetapi kalau mereka tidak puas hati mereka boleh memeriksa saya. Saya
tidak kisah, sebab saya tahu diri saya. Saya tidak pernah menggunakan
bahan terlarang tersebut.
Hits: Bagaimana kerjaya Along kini, adakah kesannya masih menghantui?
Along: Syukur pihak pengurusan saya tahu apa sebenarnya yang berlaku.
Soal kerjaya, masih lagi berjalan seperti biasa, malah saya kini juga
sedang sibuk menyiapkan sebuah skrip filem. Masa depan saya masih lagi
terlalu jauh, sebab itu saya sangat serius dalam soal ini.


Post a Comment