Oleh SHARIF PUTERA
INI kali ketiga Usu Dolah panjat bangunan 18 tingkat itu dalam tempoh
dua minggu. Ini hajat yang tidak boleh disekat. Menyekat hajat bermakna
mengakui gagal. Gagal bukan prinsip hidup Uda Dolah, sasterawan kerdil
dari Kampung Hujung Pasir.
Tetapi dalam usia yang hampir melangkah 66 tahun ini, prinsip itu
mungkin berakhir. Dia tidak akan memanjatnya untuk kali keempat,
takdirnya hajat itu tidak juga kesampaian. Sebaik-baik sahaja dia tiba
di permukaan lif iaitu pukul sepuluh suku pagi, hajat itu akan
dikuburkan.
Memang sahlah cerita orang, suara halus itu melintas deras ke dalam
hatinya, Datuk Makhluk tidak berminat dengan cerita daripada orang luar.
Memang benarlah juga, siang malam dia dalam kipasan rakan taulan yang
menunggu buah sampai ke tangannya. Barangkali hukumnya, orang seperti
Usu Dolah yang serba selekeh tidak begitu dilayan, sungutnya sendiri.
Ketika lif paling kanan terbuka dan memuntahkan lima orang lelaki
yang kesemuanya memakai tali leher, Uda Dolah menapak ke dalamnya. Di
belakangnya dan bersama masuk dua pekerja perempuan berpakaian serba
putih dengan masing-masing memegang sebuah baldi dan sebatang penyapu.
" Pak Cik nak ke tingkat berapa?" Tanya pekerja perempuan itu sambil tangannya pada papan tunjuk tingkat lif.
" Enam belas!"
" Nak jumpa Datuk ke?"
" Hajatnya tu."
" Rasanya hari ni Datuk tak masuk pejabat."
" Mana kamu tahu? Kamu kerja dalam pejabat Datuk ke?"
" Saya tukang sapu pejabat dia," balas pekerja perempuan itu.
" Saya datang kali ketiga ni."
" Sikit tu Pak Cik. Kelmarin saya jumpa seorang tu datang kali ke-10.
Tak jumpa-jumpa juga. Dia sumpah saya. Tak pasal-pasal saya kena
marah."
Usu Dolah menyapu dagu yang memiliki sejemput janggut. Tidak berusaha
menjawab cerita dan aduan pekerja wanita itu. Mungkin nasibnya berbeza.
Dia datang itu pun selepas diberi tarikh oleh seorang pegawai dalam
sebuah bilik .
"Saya cadangkan Pak Usu datang semula hari Selasa depan. Insya-Allah Datuk ada. Datuk tak ada jadual hari itu."
Lega Usu Dolah mendengar pegawai itu menuturkan janji walaupun pedihnya selepas menunggu lebih sejam di luar biliknya.
Kalau saya datang kali ketiga Selasa ini, akan jadi macam ini juga? Kali pertama pun janji yang sama? Macam hafal saja.
Pegawai itu seperti tersintak. Merah padam mukanya macam udang kena
bakar. Usu Dolah merasakan pegawai itu terkena tempias sindiran. Mungkin
pertama kali dilaluinya. Orang lama seni janganlah dipermainkan,
katanya dalam hati. Pegawai itu meraba sebuah diari di hujung sikunya.
Cuba membuka tetapi menutupnya kembali. Gelisah amat. Tiba-tiba matanya
terarah kepada sebuah sampul surat di tangan kanan Usu Dolah.
"Kalau ada apa-apa surat untuk disampaikan, apa salahnya Pak Usu tinggalkan untuk saya serahkan kepada Datuk."
"Yang penting saya nak berjumpa mata dengan ketua saya. Saya
pengundi kawasan dia. Saya tak akan puas kalau saya tidak dapat
menerangkan lebih lanjut apa yang saya tulis dalam surat pendek ini. "
Dan Usu Dolah meninggalkan muka separuh kecewa di meja pegawai khas Datuk Makhluk.
Ketika turun dari lif Usu Dolah teringat kata-kata anak saudaranya
Majid, yang datang ketika dia berehat di bengkel ukirnya selepas waktu
solat Zuhur sehari selepas dia gagal menemui Datuk Makhluk pada kali
pertama itu.
"Pergi ke rumah dia saja," anjurnya.
Usu Dolah mendongak muka bulat anak saudaranya. Melihat hidungnya
yang lebar dan kepalanya yang separuh gondola. Dia meletakkan pahat
kecil di sisi lutut.
"Apabila jadi orang besar umpama kuih nikbat di atas meja. Letak
sekejap saja akan penuhlah semut. Datuk Makhluk macam tulah. Berjujut
orang di rumahnya. Rata-ratanya orang senang dan nak senang lagi. Nak
minta projek. Selasarnya penuh. Sampai diturunkan kerusi ke bawah pokok
pauh. Ayah Su ni tukang ukir. Orang seni, bukan kontrakor. Ayah Su
sekadar nak jumpa, nak cakaplah sikit."
"Biar saya cakap kepadanya yang Pak Usu nak jumpa."
"Tak payah. Tak boleh jumpa di rumah, Pak Usu ke pejabat."
"Lagi susah Pak Usu."
"Lelah Pak Usu tak kena mengena dengan orang."
Sampai sekarang Majid tidak lagi menjengok rumahnya. Usu Dolah tidak
ambil kisah sama ada anak saudaranya itu merasa kecil hati terhadap
layanannya atau ada hal lain. Marahnya pun tidak jadi kudis gatal
kepadanya. Sudah acap kali dia kena marah kerana tidak sempat siapkan
ukiran cemagan pintu tempahan orang.
Lagi pun bukan penat mana berjalan dari tempat letak kereta ke
bangunan utama pejabat Datuk Makhluk itu. Hajat yang hendak disampaikan
itu bukan hajat peribadinya. Dia akan bercakap mewakili ramai karyawan
biarpun mereka tidak memintanya diwakili.
Sudah hampir sedekad, orang seni sepertinya tidak diberi perhatian
walaupun ukirannya sudah terpapar di beberapa bangunan kedutaan Malaysia
di luar negara. Lukisan cat minyak karya rakan pelukisnya seperti Zek
dan Jali juga sudah berada di bilik-bilik hotel mewah di ibu kota dan
khabarnya tergantung di pejabat perdagangan negara di beberapa kota
perdagangan di Eropah. Tak ada sesiapa ambil peduli .
Novelis Salehuddin sudah banyak karyanya diterbit. Sudah ada
diterjemah ke beberapa bahasa dunia, dibaca ribuan orang. Pun tidak ada
yang ambil hirau. Usu Dolah rasa kecewa dan marah apabila seorang ahli
sukan yang menang di peringkat global disambut, disanjung begitu rupa
dengan pelbagai hadiah yang lumayan: dapat duit puluhan ribu, dapat
tanah lagi. Hanya sekali itulah sahaja. Hanya sekali.
Tetapi pengukir sepertinya, pelukis seperti Zek dan Jali, Salehuddin
dan ramai lagi yang sudah tersohor dan sudah kerap kali namanya
disanjung dalam halaman seni seperti pengemis. Sudah berdekad mencipta
nama.
Dia mahu orang besar itu dapat mendengar luahan hatinya. Mendengarnya
sahaja sudah memadai. Hendak menerima atau tidak bukan urusannya lagi.
Kalau separuh daripada hujah yang disampaikan itu meresap ke dalam hati
pembesar itu memadai. Lenalah dia tidur, amanlah jasadnya ditakdirkan
dia pergi.
Usu Dolah sudah masuk ke dalam pejabat Datuk Makhluk. Diminta duduk
oleh penyambut tamu seorang perempuan muda yang separuh cantik.
"Pakcik nak jumpa Datuk ke?" soal perempuan muda dari meja kaunter.
Hanya wajah separuh comelnya yang kelihatan. Usu Dolah angguk.
"Datuk belum masuk," sambung perempuan itu, selamba.
"Saya ni orang pertama sampai agaknya," kata Usu Dolah.
"Tak semestinya orang pertama dapat jumpa awal," tingkah perempuan di kaunter itu.
"Kenapa jadi begitu?"
"Sekejap lagi orang besar dari KL nak datang. Dua hari lepas mereka buat janji."
"Pakcik dah tiga minggu."
"Nasib orang kecik pakcik," suara simpati daripada perempuan kaunter.
"Kalau pak cik jadi orang besar mungkin tak jadi begini ya?"
"Pakcik nak minta balak ke?"
"Pakcik bukan ada kilang papan," balas Usu Dolah, jujur.
"Tapi saya dapat tahu yang minta balak tu bukan ada kilang pun.
Mereka nak kaya segera, nak beli kereta besar, lepas tu cari bini dua
tiga."
Usu Dolah senyum. Menurunkan cermin mata berbingkai hitam yang
dipakainya ke atas pahanya. Dia yakin dengan apa yang diperkatakan
pegawai perempuan kaunter itu. Sebahagian pejuang bangsa hari ini
merosakkan pertubuhan yang diwakilinya.
"Pak nak jumpa Datuk, nak minta Datuk bina sebuah kompleks budaya
macam di Solo. Semua orang seni berkumpul di situ. Yang pandai ukir buat
kerja ukir di sana. Yang pandai lukis, melukis di sana. Yang pandai
main drama berlatih dan bermain di sana. Yang nak tulis cerita ,tulis di
sana. Bukan untuk pakcik tapi untuk generasi baru yang sudah hanyut."
"Bagus idea pakcik tu," puji perempuan kaunter.
Usu Dolah merasa sedikit lega. Ada manusia yang memuji ideanya itu.
Tetapi bukan sasaran perempuan itu untuk didengar. Dia mahu Datuk
mendengar. Biar Datuk Makhluk mendengar sendiri cadangan dan
rintihannya.
Ketika Usu Dolah hendak menyambung pandangannya, tiba-tiba perempuan
separuh cantik di kaunter itu bangkit dan berjalan tergesa-gesa ke pintu
besar. Pegawai Datuk yang pernah ditemui Usu Dolah menerpa sama. "Orang
dari KL datang pak," ujar wanita itu, menarik daun pintu. Daun pintu
terkuak lebar. Masuk beberapa orang korporat berpakaian seragam kelabu.
Ketua kumpulan tiba-tiba terhenti, berpaling kepada Usu Dolah.
"Ehhh Usu Dolah pun ada," sapa tokoh korporat, bergerak ke arah Usu
Dolah. Pegawai Datuk Makhluk tercengang ketika tokoh korporat itu
memeluk Usu Dolah.
"Pak Usu masih sihat nampaknya?"
"Alhamdulillah," balas Usu Dolah.
"Masih mengukir? Masih menulis?"
"Belum berhenti. Periuk nasi Datuk," kata Usu Dolah.
"Kawan lama, " ujar Datuk berbadan gempal kepada rakan-rakannya itu.
Beberapa orang rakan yang dipanggil Datuk oleh Usu Dolah ikut menjabat tangan pengukir dan penulis itu.
Ketika mempersilakan rombongan dari Kuala Lumpur itu memasuki ruang tamu kedua, Pegawai Datuk Makhluk mendekati Usu Dolah.
"Mereka dari Kuala Lumpur nak jumpa Datuk. Lambat sikit. Selepas inilah.
" Encik , siapa yang lebih dahulu membuat temu janji? Saya atau
mereka? Siapa yang lebih dahulu sampai di sini? Saya atau mereka?"
Pegawai itu tersengih dan cepat-cepat melangkah. Perempuan kaunter
yang dari tadi memegang tombol pintu dengan selamba ke kaunter,
menampakkan separuh badannya dan dari jauh seperti kepala anak patung.
Usu Dolah kembali bersandar di sofa. Menerawang ke zaman mudanya,
menjadi penggerak utama permainan-permainan tradisi seperti gasing,
lumba perahu dan gayung ota-ota. Kini setelah orang sepertinya seorang
demi seorang pupus, permainan-permainan itu tinggal dalam sebutan
sahaja.
Usu Dolah juga teringat bagaimana susah payahnya dia mengaktifkan
gerakan penulisan sehingga melahirkan ramai barisan penulis novel,
cerpen dan puisi. Ingatannya bergerak daripada seorang demi seorang ,
kemudian seorang demi seorang meninggalkan dia buat selama-lamanya.
Dan dalam masa yang sama, dia berjinak-jinak dengan batang-batang
kayu lama. Membeli beberapa bilah pahat besar dan kecil. Menghabiskan
masa petangnya dengan mengukir batang-batang itu.
Kemudian minat itu
semakin lebar sehingga mendorongnya membuka bengkel ukir untuk anak-anak
muda menjadi pengukir muda. Indahnya bermain seni. Kepuasan datang
bertunda-tunda walaupun harga yang dibayar tidak seberapa.
Hari ini, anak-anak muda hampir kehilangan arah. Tidak ada pembimbing
yang mampu mengarahkan mereka menjadi manusia seni bangsanya. Ramai
yang menjadi pembimbing kepada kemusnahan dan keganasan. Inilah tekad
Usu Dolah untuk menemui Datuk Makhluk. Binalah sebuah komplek seni dan
budaya.
Usu Dolah merasa kagum dengan bala tentera orang muda Solo, Jogja
yang memenuhi pusat latihan seni di kompleks yang dibangunkan. Alangkah
hebatnya kalau kompleks itu dapat dibangunkan di hujung tanjung yang
saujana tanahnya.
Usu Dolah sudah terlena di sofa.
Dia memasuki bilik Datuk Makhluk. Datuk Menteri segera meluru
menjabat tangan dan mendakapnya. Terasa mesra dan terhibur dengan
sambutan luar biasa itu.
"Jarang Pak Usu datang jumpa saya ni," ujar Datuk Makhluk.
"Ada hajat sikit. Kalau nak kata kecil, rasanya besar. Terkandung
dalam surat ini." Usu Dolah mengunjukkan surat di dalam sampul putih
berukiran 4''x 8 ". Datuk Makhluk menarik surat itu dan membacanya.
"Saya sedang kaji perkara ini. Memang tidak adil."
"Perkara kedua tu?" Usu Dolah ikut meletakkan jari telunjuk kepada perkara dua- Komplek Seni/Budaya.
"Kosnya besar ni," ujar Datuk Makhluk, memandang tepat wajah Usu Dolah.
"Tapi tak sebanyak membina stadium," tingkah Usu Dolah.
"Beri peluang saya kaji," balas Datuk Makhluk.
Usu Dolah menjabat salam Datuk Menteri itu dengan eratnya.
"Terima kasih, Datuk... terima kasih!"
Perempuan di kaunter terbangkit apabila mendengar suara itu. Lantas
ke tempat duduk Usu Dolah. Kemudian kembali semula apabila telefon
berdering di belakangnya.
"Ya saya. Ya saya." Dia meletakkan kembali gagang dan bergerak ke
tempat Usu Dolah semula. Usu Dolah membuka mata. Melihat jam. Sudah dua
belas setengah.
"Pak...pegawai Datuk cakap, pak tak sempat nak jumpa Datuk hari ini. Dia minta pak datang minggu depan."
"Pak dah agak. Pak orang kecil kan?"
Usu Dolah menyapu matanya. Bangkit dari sofa.
"Siksanya menungggu orang besar ya?" Dia melepaskan kata-katanya ke
daun pintu, membuka dan menutupnya dengan keras. Perempuan kaunter
terangkat muka, tersentak. Menggeleng-geleng kepala.


Post a Comment