Oleh DR. Azizan Baharuddin
TEKNOLOGI adalah apa sahaja yang boleh membantu, memperkuat dan memperkembangkan
deria manusia. Contohnya mikrofon menguatkan dan memanjangkan suara
manusia, cermin mata membantu penglihatan, roda dan kereta memudahkan
perjalanan dan lain-lain.
Teknologi boleh saja berbentuk alat atau
idea, satu sistem mahupun mekanisme melaksanakan atau memenuhi sesuatu
tugasan atau keperluan.
Pun begitu, mutakhir ini begitu kerap
kita mendapat berita tentang jenayah yang kalau diperhalusi dibantu
oleh teknologi yang canggih dan terkini.
Satu kes yang
boleh dijadikan contoh adalah yang melibatkan anak muda rakyat negara
ini yang luar biasa kelebihannya dalam bidang yang dianggap sukar
dikuasai iaitu Matematik. Atas sebab-sebab yang mungkin (menurut pakar
psikologi) melibatkan pengalaman penderaan seksual zaman kanak-kanaknya,
anak muda yang penuh potensi ini terdorong atau ketagih untuk
menggunakan teknologi ICT untuk menyimpan, mengumpul bahan-bahan lucah
(gambar dan video misalnya) dalam jumlah yang tidak kurang daripada
30,000 banyaknya.
Darjah kelucahan bahan-bahan ini menurut polis di
London di mana anak muda itu ditahan adalah yang amat teruk yang
dikategorikan sebagai ‘gred A’. Kemudian kita mendengar pula nasib
malang dua kanak-kanak perempuan (7 dan 3 tahun) yang telah kehilangan
ibu bapa dan adik perempuan mereka akibat dilanggar oleh kereta
(teknologi) berkuasa rendah (dan dengan itu ringan dan mudah tidak
stabil apabila dipandu laju) dengan kelajuan yang setara dengan kelajuan
perlumbaan di Litar F1 misalnya.
Kita juga baru-baru ini turut
membaca mengenai dua pelajar sekolah tingkatan 2 di sebuah sekolah yang
ternama di Melaka menggunakan teknologi telefon bimbit untuk merakamkan
aktiviti penggunaan tandas oleh beberapa orang guru (perempuan).
Satu pengajaran yang boleh kita simpulkan daripada contoh-contoh yang
diberi ini ialah memanfaatkan teknologi adalah nikmat Allah kepada
manusia dan satu perkara yang menuntut penggunanya mempunyai disiplin
dan ilmu. Ilmu melibatkan pemahaman tentang kesan penyalahgunaan
teknologi itu kepada manusia sementara disiplin memerlukan kita menahan
nafsu apabila menggunakan teknologi.
Semakin canggih teknologi,
semakin besar risiko atau bahayanya jika disalahgunakan. Kajian sains
tentang berbagai penyalahgunaan teknologi misalnya memberitahu ada kesan
buruk dan merosakkan apabila teknologi digunakan untuk memberi
“kepuasan” semata-mata kepada manusia.
Misalnya, teknologi
kereta, memandu laju ‘memberikan’ kepada ‘penggemar’ kelajuan, rasa
‘keterujaan’ dan ‘rangsangan’ yang tinggi. Hakikatnya dari segi fizikal
dan emosi perlakuan pemanduan laju itu sendiri adalah sesuatu yang
‘berbahaya’. ‘Bahaya’ mencetuskan hormon adrenalin dalam badan yang
meningkatkan aktiviti jantung, paru-paru dan otot. Ini bermakna fungsi
lain seperti pencernaan makanan, sistem reproduktif dan
aktiviti-aktiviti otak yang mengawal mood, motivasi dan ketakutan akan
terganggu.
Sekiranya kerap badan dirangsang secara tiruan begini
kesan buruknya termasuklah sakit jantung, kerosakan sistem memori dan
konsentrasi, masalah berat badan, kemurungan dan lain-lain masalah
serius. Sistem ‘flight or fight’ melibatkan hormon adrenalin ini adalah
satu mekanisme yang fitrah/tabii manusia mempertahankan diri yang
dijadikan oleh Allah dalam diri manusia apabila diancam bahaya.
Sekiranya disalahgunakan maka kerosakan akan berlaku. Inilah dosa yang
berasal daripada perkataan Sanskrit ‘dhosa’, yang bermaksud kezaliman,
kehancuran, kerosakan akibat manusia melanggar peraturan dan
undang-undang.
Ada yang mengatakan undang-undang jalan raya
(seperti mematuhi had laju) tidak ada dalam al-Quran. Benar tetapi
al-Quran dan Hadis membuahkan prinsip Maqasid Syariah iaitu syariah
(bersumberkan al-Quran dan Hadis) bertujuan memelihara iman, nyawa,
harta, keturunan dan akal. Dengan sengaja memandu laju khususnya di
jalan logik/akal yang juga telah dibekalkan Allah kepada manusia,
memberitahu kita bahawa hampir kesemua prinsip maqasid ini telah pun
kita langgar.
PENULIS ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).-U/M
Jangan biarkan teknologi hancurkan manusia
Written By zabidi on Sunday, 24 May 2015 | 3:01 pm
Labels:
Teknologi
Post a Comment