WANITA merupakan insan istimewa ciptaan Allah. Kehadiran mereka menjadi
pelengkap dan penyeri hidup seorang lelaki. Nikmat dikurniakan ibu yang
penyayang, isteri peneman hidup dan anak penghibur hati perlulah
disyukuri.
Sejajar dengan amanah yang perlu digalas sebagai ketua
keluarga, kewajipan tentang penjagaan aurat wanita perlu diterapkan
dengan berhikmah. Ini merupakan jaminan untuk mengecapi hidup sejahtera
di dunia hingga ke akhirat.
Firman Allah dalam Surah al-Tahrim, ayat 6 :
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan
keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan
batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat
yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah
dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap
melakukan segala yang diperintahkan.”
Namun harus diingatkan
juga bahawa kewajipan menutup aurat bagi lelaki juga telah ditetapkan
oleh syariat Islam. Sepertimana isteri dan anak-anak perempuan, jangan
pula diabaikan juga anak-anak dan saudara-saudara lelaki kita.
Sanggupkah kita melihat isteri dan anak-anak diseksa dan diazab kerana
tidak menutup aurat?
Marilah kita sama-sama menghayati bagaimana yang
dikatakan aurat dijaga, hidup sejahtera.
Moga-moga ia boleh bermanfaat
dan dikongsi bersama ahli keluarga.
TUTUP AURAT
PERINTAH ALLAH
Menutup aurat adalah perintah Allah, bukannya satu fesyen dan trend yang menjadi ikutan.
Secara jelas Allah menyatakan dalam Surah An-Nur, ayat 31, bermaksud :
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara
kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh
mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup
belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka,
atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau
anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi
saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara
mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba
mereka, atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan
tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum
mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan
kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan
mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang
yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Menutup aurat merupakan
salah satu manifestasi iman bagi perempuan dan lelaki. Mana mungkin kita
mengaku beriman dengan lidah, membenarkan dengan hati, tetapi kita
gagal menterjemahkan melalui perbuatan. Menutup aurat bukan kerana
cantik, untuk nampak baik atau untuk menutup kekurangan diri tetapi
menutup aurat biarlah berprinsip dan digarap dengan kefahaman tauhid
yang jelas.
Kesempurnaan dalam menutup aurat
Mari kita
fikirkan, apa akan terjadi pada hidangan tanpa ditutup? Sudah pasti
hidangan ini dihinggapi lalat, lantas menghilangkan selera kepada
penggemarnya. Islam secara jelas menggariskan ciri-ciri menutup aurat
melalui Surah al-Ahzab , ayat 59, maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah
isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang
beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya
(semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka
dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak
diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.”
Kesempurnaan aurat meliputi tudung yang tidak
jarang dan labuh menutup dada. Manakala pakaian pula, mestilah labuh,
kain yang tebal dan tidak ketat sehingga menampakkan susuk badan.
Realiti masyarakat hari ini, sebahagian menyangka dengan bertudung
mereka telah menutup aurat. Sedangkan, ciri-cirinya masih belum
ditepati.
Natijahnya, gambaran tentang bertudung sudah semakin
tercemar. Kita ghairah mengikut budaya masyarakat lain. Hasilnya
lahirlah busana Muslimah yang pada hakikatnya tidak menepati syariat.
Mari kita fikirkan sejenak, adakah isteri dan anak-anak kita telah
menutup aurat dengan sempurna. Atau sekadar mengikut orang yang mereka
suka? Perkara ini yang perlu dijelaskan sebagai tanda kasihkan mereka.
PENDIDIKAN SEJAK KECIL
Mulakan kefahaman ini dengan menekankan sifat malu sebagai amalan.
Perasaan malu adalah asas kepada akhlak yang mulia, termasuklah
keinginan menutup aurat. Jika tidak, masakan Rasulullah S.A.W secara
sinis menjelaskan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam
al-Bukhari daripada Uqbah bin Amru RA maksudnya: “Antara perkara yang
masih diamalkan umat manusia daripada ajaran Nabi terdahulu ialah ‘Jika
engkau tidak malu, buatlah apa saja yang kamu mahu.”
Justeru,
teraplah budaya pakaian yang menutup aurat sejak kecil. Berilah pujian
dan galakan dengan membeli pakaian yang cantik dan menepati syariat.
Bukannya membeli pakaian yang mendedahkan aurat dan mencolok mata.
Didiklah mengikut tahap dan peringkat. Semailah minat dan rasa cinta
hidup berpandukan syariat sejak awal, pasti kesannya akan berpanjangan.
Moga-moga tindakan hari ini menyelamatkan kita pada masa akan datang.
KESAN TIDAK
MENUTUP AURAT
Melihat masalah sosial hari ini, menimbulkan kegusaran di hati.
Apabila wanita gagal menutup aurat dengan sempurna, pintu maksiat akan
terbuka. Eksploitasi wanita semakin bermaharajalela.
Masih
ingatkah mengenai pengajaran tentang aurat dalam Peristiwa Israk Mikraj?
Bayangkan rambut yang menjadi kebanggaan, diikat dan digantung sehingga
menggelegak otaknya. Sanggupkah kita melihat anak dan isteri kita
diazab sedemikian rupa? Justeru, apa lagi? Buktikan kasih sayang pada
golongan wanita ini. Tarbiahlah mereka agar perintah Allah ditepati.
KESIMPULAN
Menutup aurat merupakan kewajipan setiap Muslim. Ia perlu dilaksanakan berteraskan ketakwaan kepada Allah.
Didiklah anak-anak dan isteri menutup aurat dengan sempurna selaras
tuntutan syariat untuk menutup ruang dan jalan maksiat dalam kalangan
masyarakat.
Pendidikan tentang kepentingan menutup aurat bagi
lelaki dan perempuan perlu bermula sejak kecil. Pengabaian terhadap
perkara penting ini akan memberi kesan buruk kepada gaya hidup
bersyariat orang yang kita sayang. - Sumber Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan
Home »
Bicara Islam
» Aurat dipelihara, hidup sejahtera
Aurat dipelihara, hidup sejahtera
Written By zabidi on Thursday, 17 September 2015 | 9:16 am
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment