Oleh Mutazar Abd Ghani
KECUALI penurunan harga runcit petrol dan
diesel pada tanggal 1 Januari lalu, tahun baharu 2016
tidak banyak
membawa sinar ceria untuk negara amnya dan rakyat khasnya, dalam
mengharungi tempoh 12 bulan akan datang.
Penyusutan berterusan
harga minyak mentah global yang menyaksikan harga minyak mentah Brent
menjunam ke paras terendah dalam tempoh lebih sedekad pada AS$32.16
setong pada Khamis minggu lalu, telah menjejaskan dengan ketara
pendapatan negara pengeksport komoditi itu, termasuk Malaysia.
Difahamkan, kejatuhan setiap AS$1 setong dalam harga minyak dunia akan
menyebabkan negara mengalami penyusutan dalam pendapatan hasil komoditi
itu sebanyak RM300 juta.
Bayangkan berapa jumlah penyusutan hasil
pendapatan kerajaan daripada hasil minyak selepas harga minyak mentah
Brent menjunam daripada AS$98.94 setong pada 2014, kepada sekitar AS$33
setong pada masa ini.
Bagi rakyat pula, kesan Cukai Barang dan
Perkhidmatan (GST), kenaikan tambang pengangkutan awam dan tol serta
penurunan nilai ringgit yang menyumbangkan kepada kenaikan harga
barangan dan perkhidmatan, terus menghimpit poket orang ramai.
Dengan jangkaan prestasi ekonomi negara dan sektor perniagaan berterusan
lembab, sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan akan datang,
pastinya ia memberi kesan kepada orang ramai terutama pekerja sektor
swasta dari segi pemberian bonus, kenaikan gaji, kenaikan pangkat, hatta
pemberhentian tenaga kerja, terutama bagi sektor minyak dan gas.
Ini bersandarkan keputusan kewangan syarikat tersenarai yang kurang
memberangsangkan setakat suku kewangan berakhir 30 September 2015, yang
menyaksikan tidak banyak syarikat yang mencatatkan peningkatan
keuntungan, malah tidak kurang pula yang melaporkan kerugian.
Selain itu, prestasi kurang memberangsangkan Bursa Malaysia yang
menyaksikan Indeks FBM KLCI menyusut lebih 100 mata daripada 1,761 mata
ketika penutup 31 Disember 2015 kepada 1,657.61 pada penutup Jumaat
lalu, turut dijangka menjejaskan kadar pemberian bonus/dividen oleh
syarikat pengurus dana saham amanah.
Jika mengambil kira
pemberian dividen dan bonus bagi dua saham amanah utama negara iaitu
Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) hujung
bulan lalu, yang masing-masing berkurangan berbanding tahun sebelumnya,
tentu agak sukar untuk kita mengharapkan pemberian bonus dan dividen
yang lebih tinggi tahun ini daripada KWSP, Tabung Haji dan sebagainya.
Bersandarkan senario peningkatan kos sara hidup susulan kenaikan
harga barangan dan perkhidmatan serta jangkaan pertambahan pendapatan
yang tidak `semewah' seperti tahun sebelum ini, ia bermakna pendapatan
boleh guna atau kuasa beli orang ramai juga dijangka semakin mengecil
tahun ini.
Justeru, keadaan ini memerlukan orang ramai membuat
perancangan bajet yang benar-benar teliti untuk setiap sen wang yang
bakal dibelanjakan tahun ini agar bajet tidak `bocor' atau lebih parah
menjadi defisit bajet yang besar, dengan peningkatan jumlah hutang. Ini
juga sejajar pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak
Pengubahsuaian
bajet itu yang akan dibentangkan tidak lama lagi, antara lain akan
membabitkan langkah mengoptimumkan perbelanjaan, mengambil kira peranan
syarikat berkaitan kerajaan dan memastikan kerajaan terus menjaga
kesejahteraan rakyat.
Di peringkat orang ramai, pengubahsuaian
bajet individu misalnya boleh dilaksanakan dengan menangguh atau
membatalkan perbelanjaan tidak perlu atau mendesak. Ini termasuk
pembelian kereta baharu, jika kereta lama masih boleh digunakan;
pembelian kelengkapan rumah baharu; pengubahsuaian rumah; dan melancong
ke luar negara, kecuali untuk menunaikan umrah atau haji.
Bagi
pembelian keperluan harian, orang ramai juga boleh membeli secara pukal
melalui koperasi di tempat mereka bekerja atau di Kedai Rakyat
1Malaysia, yang menawarkan harga berpatutan; berkongsi kenderaan ke
tempat kerja; kurang makan di luar; meminimumkan percutian; berjimat
dalam penggunaan utiliti dan telefon mudah alih.
Namun, bagi
golongan berkemampuan dan tidak terjejas dengan suasana kelembapan
ekonomi semasa, mereka boleh meneruskan corak perbelanjaan yang sesuai
dengan kemampuan masing-masing. Cuma, sekiranya mereka turut dapat
menyumbang terhadap langkah penjimatan kerajaan seperti kurang melancong
ke luar negara atau kurang membeli barang import, ia sekurang-kurangnya
dapat mengelak pengaliran atau ketirisan ringgit ke luar negara.
Salah satu cara untuk meningkatkan kesan pengganda di dalam ekonomi
adalah dengan mengurangkan ketirisan proses kitaran ekonomi negara.
Jika berlaku ketirisan, kesan pengganda berlaku di negara asing,
iaitu setiap ringgit yang dibelanjakan akan menjana pertumbuhan ekonomi
negara berkenaan.
Akhir kalam, dalam persekitaran ekonomi mencabar dan
tidak menentu sekarang, orang ramai perlu menghadapi realiti serta
berusaha untuk hidup dalam kemampuan masing-masing.
Ini bagi membolehkan
kita lebih bersedia, sekiranya senario lebih buruk berlaku pada masa
hadapan.
Kuasa beli semakin kecil tahun ini
Written By zabidi on Tuesday, 19 January 2016 | 12:37 pm
Labels:
Artikel
Post a Comment