Perjalanan
dari rumah lelaki ini ke tempat kerjanya di Universiti Malaya hanya
mengambil masa 15
minit sahaja, akan tetapi ia kebiasaannya lebih
daripada itu.
Tinggal di Kerinchi, kawasan yang berhampiran dengan beberapa tanda
tempat ibu kota dan pusat perubatan, kesesakan dan kesibukan kenderaan
bertali arus ketika waktu puncak sememangnya tidak dapat dielakkan.
Boleh mengundang tekanan dan kemarahan kepada sesiapa sahaja, tetapi
tidak bagi lelaki ini kerana beliau mempunyai cara tersendiri untuk
menenangkan jiwa pada waktu itu.
Memilih lagu sebagai terapi minda seperti mana warga kota lain,
menariknya lagu-lagu yang mengisi halwa telinganya bukanlah berentak
terkini tetapi dendangan suara Seniman Agung Negara Allahyarham Tan Sri
P. Ramlee.
“Saya ada dua CD (cakera padat) yang menghimpunkan lagu-lagu P. Ramlee
dan isterinya Saloma. Boleh dikatakan saya mendengarnya setiap kali
pergi dan pulang dari kerja. Suaranya begitu merdu dan sebab itulah saya
meminatinya.
“Beliau merupakan permata yang amat berharga dan semestinya Malaysia
sangat bertuah kerana pernah memiliki insan seni yang sungguh hebat
ini,” katanya
Kata-kata penghargaan dan minat terhadap legenda negara ini adalah
biasa dalam kalangan kita, tetapi bagaimana pula dengan lelaki ini yang
sebenarnya anak kelahiran Rusia.
Tidak jemu
Beliau adalah Profesor Madya Dr Victor A. Pogadaev yang begitu
mengagumi bakat insan istimewa ini. Beliau yang merupakan pensyarah
bahasa dan budaya Rusia di UM sempat berkongsi keterujaannya dengan
menyanyikan beberapa bait kata lagu ‘Tiada Kata Secantik Bahasa’ semasa
ditemuramah baru-baru ini.
Pogadaev, 68, yang fasih berbahasa Melayu mengakui tidak pernah jemu
mendengar kemerduan suara legenda Malaysia itu. Turut tergantung di
dinding biliknya adalah potret P. Ramlee.
“Tidak kira mana-mana, lagu-lagu P. Ramlee sentiasa menjadi pilihan
termasuklah semasa percutian saya ke Tanjung Bidara, Malacca. Saya
mendengarnya bersama isteri sepanjang perjalanan pergi dan balik.
“Walaupun tidak tahu semua lirik lagu, tetapi apabila mendengar
berulang kali, ia sedikit-sebanyak membolehkan saya menghafalnya,” ujar
bapa kepada tiga orang anak ini.
Gabungan pelbagai irama tradisional sambil berselang-seli kerancakan muzik moden, lagu-lagu Allahyarham amat mengasyikkan.
Maka, tidak menghairankanlah seniman berbakat besar dalam industri seni
sebagai komposer, penyanyi dan penulis lirik ini sukar ditandingi
artis lain malah sehingga ke generasi hari ini mengenali beliau, kata
Pogadaev.
Sebutir bintang
Siapa tidak kenal bintang legenda ini? Tanyalah sesiapa sahaja,
pastinya generasi muda hari ini juga mengenalinya walaupun sudah hampir
lima dekad pemergian Allahyarham pada 1973.
P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh,
merupakan anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang yang mempunyai bakat
begitu besar dalam industri hiburan.
Kreativitinya sungguh hebat dan tidak dapat disangkalkan dalam
penghasilan karya indah dan bermutu meliputi pelbagai cabang seni,
ciptaan lagu, pemuzik, penyanyi, pelakon mahupun juga dalam pengarahan
filem.
Malah, filem arahan dan lakonannya tidak pernah jemu ditonton biarpun berulang kali kerana jalan ceritanya yang amat menarik.
Hang Tuah, antara filem Allahyarham yang kerap kali disiarkan di kaca televisyen yang begitu menggamit perhatian Pogadaev.
Baginya, biarpun pemilik suara emas itu tidak meninggalkan pusaka emas
mahupun wang berjuta. Tetapi, khazanah seninya dalam menyuntik arena
perkembangan Baru industri hiburan adalah peninggalan amat berharga bagi
generasi akan datang.
Semua gara-gara ‘woh’
Menceritakan detik awal minatnya terhadap seniman ikon Malaysia ini,
Pogadaev berkata semuanya bermula pada 1970 semasa terpilih mengikuti
programme pertukaran pelajar antara Malaysia dengan Rusia di UM selama
setahun.
Bertujuan mengukuhkan bahasa Melayu yang dipelajarinya di Moscow State
University ketika itu, pertemuannya dengan P. Ramlee di Dewan Tunku
Canselor (DTC), UM, membuatkan jiwanya terus terpaut.
“Waktu itu, DTC adalah dewan paling besar di Kuala Lumpur. Segala
pertunjukan, konsert diadakan di sini. Kebetulan P. Ramlee ada datang
mengadakan konsert ketika saya berada di UM bagi programme pertukaran
pelajar.
“Sebaik mendengar suaranya, saya terus terpegun kerana beliau menyanyi
seolah-olah bukan dengan suara tetapi dengan ‘jiwa’. Saya masih ingat
lagi, ketika hendak mengambil gambarnya dari dekat, beliau mengangkat
tangan dan melaung ‘Woh’ kepada saya sambil tersenyum,” ceritanya sambil
ketawa.
Merasakan insan seni itu seorang yang peramah dan begitu dekat dengan
peminat, akui Pogadaev yang beliau mula mencari maklumat mengenai
Allahyarham selepas daripada konsert itu.
Pada masa sama, beliau yang turut meminati Saloma telah membeli
beberapa piring hitam dan kaset kedua-dua insan hebat ini untuk dibawa
balik ke Moscow.
Koleksi
Minatnya terhadap P. Ramlee tidak pernah pudar biarpun setelah kembali
ke negara asalnya setahun selepas itu. Malah, dikongsi pula dengan tiga
orang anak perempuan, isteri dan pelajarnya ketika menjadi pensyarah di
universiti negara berkenaan.
“Bahasa yang digunakan P. Ramlee dalam karya-karyanya sangat
mempersona, sempurna dan sesuai untuk dijadikan bahan pengajaran kepada
pelajar.
“Bagaimanapun, ketika itu hanya lagu-lagunya sahaja dapat
diperdengarkan kerana belum ada lagi teknologi DVD untuk filem-filem P.
Ramlee,” katanya.
Sudah dinamakan rezeki, beliau kembali ke negara ini apabila ditawarkan
berkhidmat di UM.
Peluang itu tidak disia-siakan, malah beliau yang
turut meminati penyair hebat dan Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Dr
Usman Awang ini tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan DVD
filem-filem P. Ramlee.
Selain dijadikan koleksi peribadi, beliau juga menghadiahkan DVD
berkenaan kepada rakannya yang mengajar bahasa Melayu di Moscow State
University.
“Sampai sekarang, karya-karya P. Ramlee masih digunakan di universiti
sana sebagai rujukan. Sambutan diberikan pelajar pun amat menggalakkan
dan mereka menyukainya,” katanya yang mempunyai lebih 10 DVD filem P.
Ramlee dalam koleksi peribadinya.
Relevan
Karyanya yang jujur dan kepintarannya dalam menghasilkan filem yang
mempunyai nilai pengajaran dalam kehidupan masyarakat merentasi zaman
dan sempadan, menjadikannya relevan sehingga hari ini.
Selain itu, ia kaya dengan identiti budaya Melayu untuk dipelajari kalangan mahasiswa Rusia, kata Pogadaev.
“P. Ramlee berjuang hak masyarakat melalui karyanya. Beliau pandai
mengolah cerita untuk menampakkan manusia sama sahaja tanpa mengira
darjat. Baginya, setiap orang ada kepentingan masing-masing.
“Misalnya, filem Penarek Becha beliau menggarap cerita supaya orang
faham bahawa peranan penarik beca juga penting dalam masyarakat,”
katanya.
Bagi membuatkan mereka lebih faham, Pogadaev ada menghasilkan beberapa
artikel mengenai P. Ramlee selain ensiklopedia mengenai Malaysia dalam
bahasa Rusia.
“Kerana terlalu minat juga, saya ada menziarahi kuburnya di Ampang
sebagai tanda penghormatan. Beliau, sebenarnya adalah seorang insan seni
hebat yang mana bakatnya tidak ada galang gantinya,” katanya.— Bernama
Seni P. Ramlee getarkan jiwa pensyarah Rusia
Written By zabidi on Wednesday, 20 January 2016 | 10:04 am
Labels:
Rencana
Post a Comment