Laksa merupakan antara hidangan yang sering disajikan semasa rumah
terbuka hari raya. Terdapat pelbagai jenis laksa di Malaysia. Bezanya mi
laksa yang digunakan, dan bahan yang dimasukkan dalam kuah yang
kebanyakannya berasaskan ikan. Ulam-ulaman seperti timun, bawang besar
dan limau kasturi digunakan dalam hampir semua jenis laksa, selain
ulam-ulaman tambahan
.
1. Laksa Johor
Istimewanya laksa Johor, terletak pada mi laksa yang digunakan iaitu
spaghetti. Kuah laksanya pula pekat, berempah dan beraroma. Kuah laksa
Johor asli mengandungi kerisik, ikan parang, udang segar, udang kering
dan ikan kurau kering.
Ulaman seperti tauge, kacang panjang dan
timun digunakan disertai sambal belacan. Laksa Johor antara hidangan
yang sering jadi pilihan sewaktu perayaan.
2. Asam Laksa (Laksa Penang)
Asam
laksa atau lebih dikenali sebagai laksa Penang amat popular bukan
sahaja di Pulau Pinang bahkan serata Malaysia. Menggunakan mi laksa
beras halus yang direbus dan dimakan bersama kuah yang pedas, masam dan
cair.
Ikan yang sering digunakan dalam asam laksa adalah ikan
sardin atau ikan selayang. Ulam-ulamannya pula terdiri daripada nenas,
daun pudina, hirisan bawang besar dan limau kasturi. Mudah disediakan
dan sering dijadikan hidangan rumah terbuka di sebelah utara.
3. Laksa Sarawak
Laksa
Sarawak nyata berbeza berbanding laksa di negeri lain. Kuahnya tidak
menggunakan ikan dan mi laksanya pula menggunakan bihun. Kekuatan laksa
Sarawak adalah pada kuahnya yang berempah dan bahan hiasan yang
digunakan.
Kuah laksa Sarawak menggunakan air rebusan ayam dan
udang segar. Pes laksa Sarawak boleh disediakan sendiri atau dibeli yang
telah siap dipek seperti pes perencah Hj Manan.
4. Laksa Kelantan
Mi
laksa yang digunakan sama seperti asam laksa. Manakala kuah ikannya
ditambah santan pekat. Jadi kuah laksa Kelantan kurang pedas dan berasa
lemak manis. Kuahnya juga disediakan pekat atau sedikit cair. Disertai
dengan ulaman dan sambal.
5. Laksam
Mi
laksa untuk laksam ini unik sedikit. Mi yang digunakan diperbuat
daripada adunan tepung yang dikukus lalu dipotong. Kuah, ulaman dan
sambal yang digunakan sama seperti laksa Kelantan.
6. Laksa Terengganu
Mi
laksa yang digunakan sama ada jenis tepung beras atau mi lidi. Kuahnya
pula berwarna putih disebabkan penggunaan santan. Jika inginkan rasa
lebih pedas, boleh masukkan cili kisar (laksa Terengganu kuah merah).
Ulaman dan sambal belacan turut digunakan untuk melengkapkan hidangan.
7. Laksa Kuala Kedah (Teluk Kechai)
Laksa
Kuala Kedah hampir sama dengan laksa Penang, tetapi kuahnya lebih cair.
Istimewanya laksa ini disertai sambal kelapa iaitu kelapa parut yang
digaul dengan cili dan kunyit. Jadi rasa laksa ni lemak manis dan pedas.
Ia boleh dimakan bersama telur rebus jika anda suka. Untuk
menikmati hidangan laksa ini, boleh ke kedai Zakaria Laksa Teluk Kechai
yang terletak di Kuala Kedah.
7 Jenis Pilihan Laksa Yang Sedap Untuk Jamu Tetamu Rumah Terbuka Anda
Written By zabidi on Tuesday, 19 July 2016 | 2:53 pm
Labels:
Resepi
Post a Comment