“Aku pergi malam ini. Kau?” Soal Husin pada Manap yang sama-sama sedang menonton DVD Ustaz Tarbus di gerai Pak Akob.

Siapa saja yang lintas gerai Pak Akob pasti berhenti sejenak untuk menonton DVD Ustaz Tarbus. Dia bukan saja pakar dalam bidang agama tapi pandai berlawak jenaka hingga penonton tak kering gusi mendengarnya.
“Tak pergi rugi” tambah Husin untuk meyakinkan Manap.

“Pergi. Aku tak cakap pun tak mau pergi. Anak aku si Aiman tu peminat Ustaz Tarbus.” Sungguh yakin jawapan yang keluar daripada mulut Manap menjawab soalan Husin.

II.
Aiman, remaja berusia 14 tahun, anak bongsu Manap sejak dari minggu sudah asyik mengingatkan ayahnya dan Saodah agar tidak lupa tarikh keramat kedatangan Ustaz Tarbus di tempat mereka.

“Oda pun nak ikut malam ini,” celah Saodah pada suaminya.

“Cepat. Kalau lambat susah nak dapat parking kereta. Orang mesti ramai,” balas Manap.
Saodah juga peminat Ustaz Tarbus. Selalunya Soadahlah yang lebih-lebih ketawa bila Ustaz Tarbus buat kelakar dalam ceramahnya ditonton melalui DVD. Sehingga ini, sudah ada tidak kurang daripada 20 keping DVD Ustaz Tarbus dalam koleksi keluarga mereka.

Aiman tunjuk baju Melayu dan songkok baru yang akan dipakai pada malam nanti. Manap dan Saodah tersenyum melihat Aiman kacak bergaya. Harap-harap Aiman jadi seperti Ustaz Tarbus bila besar nanti fikir Saodah dalam hati.

“Jom. Nanti lewat. Susah dapat parking,” arah Manap bila terasa semuanya sudah bersiap untuk pergi ke masjid atas bukit.

III.
“Assalamualaikum,” laung Husin apabila nampak kelibat Manap di pekarangan parking lot masjid. Husin muncul dengan jubah dan serban. Manap bersalaman. Aiman juga bersalam dengan rakan ayahnya itu.
“Ini ke peminat nombor satu Ustaz Tarbus? Pakcik pun minat dia juga...”

Aiman tersengih. Pertanyaan itu sememangnya dituju khas untuk Aiman. Saodah bangga anaknya dipuji.
“Ramainya orang datang. Baguslah macam ni. Akhirnya Islam juga yang buat kita bersatu tak kira apa pun fahaman politik. Yang kita sujud tetap satu. Allah.” Manap cuba buat andaian.
“Aik, cakap pun dah macam Ustaz Tarbus aja,” perli Husin.

“Dah jelaskan? Tengok tu. Bendera hijau ada, bendera biru mata putih pun ada. Bendera cap keris pun ramai datang. Syukur Alhamdulillah,” jawab Manap.

Mereka berdua ketawa terbahak-bahak apabila menyentuh hal politk. Walaupun Manap daripada bendera hijau dan Husin pula sebelah bendera cap keris, mereka tetap berkawan tanpa ada prejudis terhadap fahaman politik masing-masing.

Mereka pun melangkah ke arah masjid walaupun jam baru pukul 6 petang. Yang lain berpusu-pusu masuk walaupun ada juga yang berkeliaran di tempat jualan makan minum dan pakaian muslimah. Tempat jualan tak ubah seperti pesta karnival. Terlalu padat dengan gerai. Pak Akob sendiri buka sebuah gerai menjual kitab dan DVD ceramah agama termasuklah DVD Ustaz Tarbus yang dia sudah menjangka pastinya laris.

IV.
Masuk sahaja dalam masjid, Manap dan Husin terus sembahyang sunat Tahiyatul Masjid. Selesai solat sunat mereka duduk menanti jam 7 malam iaitu tiga puluh minit lagi sebelum masuk waktu Maghrib.

Ruang dalam masjid sudah penuh sesak hingga terpaksa berhimpit-himpit. Walaupun tidak selesa, muka kena juga senyum pada jemaah lain. Ini rumah Allah. Bukan tempat mencari sengketa.

Manap mencari-cari di mana Saodah duduk. Akhirnya dia nampak isterinya. Manap nak pastikan isterinya selesa. Sempat Saodah melambai-lambai pada Manap. Kecintaan mereka bertambah setakar lagi apabila berada dalam masjid atas bukit ini.

“Kenapa Ustaz Tarbus tak pernah muncul kat tv abah?” soal si Aiman tiba-tiba.

“Mana tau. Nanti Aiman tanya sendiri pada Ustaz,” Manap ketawa merasakan soalan Aiman dan jawapannya itu satu lelucon. “Tetapi Ustaz Tarbus buat DVD dan jual. Dia dah kaya.” Sambung Manap secara sembrono. Mengharap Aiman puas dengan penjelasan itu.
Aiman melopong. Di usia awal remaja sepertinya, dia masih tidak faham. Aiman melambai tangan pada beberapa rakannya yang duduk jauh dari tempatnya.

“Jangan pergi sana. Di sini dapat tengok wajah Ustaz dengan jelas,” arah Manap sebelum Aiman buat keputusan berkumpul di tempat kawan-kawan sekolahnya.
“Kenapa orang gelar dia Ustaz Tarbus?” tanya Aiman lagi.

“Nama sebenar dia Tuan Haji Yahya bin Haji Lambong,” jawab Manap. Masjid yang berstatus hawa dingin itu jadi panas dengan soalan Aiman yang tak dijangka.

“Nama tu tak glamor Aiman. Perasan tak? kat DVD dia, setiap kali dia berceramah, dia akan tukar-tukar tarbusnya. Semua tarbus dia beli dari negara Turki.” Husin potong cakap.

“Tapi banyak tarbus takpe, jangan banyak isteri” Manap ketawa berdekah. Aiman senyum pun tidak. Baginya itu lawak orang dewasa. Tunggulah nanti. Lawak Ustaz Tarbus lebih lawak lagi.
V.
Beberapa saat lagi azan Maghrib akan berkumandang. Kelibat Ustaz Tarbus tak kelihatan. Ada juga kedengaran makmum membebel. Mereka mengharap Ustaz Tarbus menjadi imam sebab itulah mereka datang awal. Menjadi makmum pada seorang ulama tentu ganjaran pahalanya banyak.

“Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Ustaz tak dapat dihubungi. Telefonnya seperti offline. Insya-Allah dia akan sampai juga sebelum Maghrib” Tok Bilal masjid membuat pengumuman.
“Senang sangat alasan mereka. Angin la aku,” bentak Husin.

“Sabar. Inilah dugaan namanya. Tentu Ustaz ada hal yang kita tak tahu,” pujuk Manap.
“Entah-entah dia lambat sebab nak pilih tarbus mana yang sesuai dipakai.”

Beberapa jemaah berdekatan turut tersenyum tapi tak berani sampai ketawa lebih-lebih kerana semua orang di pekan ini kenal siapa Husin, sorang yang perengus dan bekas samseng. Di kepalanya ada tiga pusar. Dia digelar Husin go-go. Ada cerita kononnya gelaran itu diberi kerana dia pandai menari rentak a-go-go di zaman pop yeh-yeh. Ada pula cerita lain, gelaran itu diberi kerana dia kaki gaduh. Setiap kali ada pergaduhan, dia akan ke hadapan berlawan. Rakan-rakan sebayanya akan memberi semangat dengan menjerit “Go Husin go. Go go Husin go” Husin pun lupa diri tentang keselamatannya. Husin memang berani. Dia tidak peduli sama ada lawannya melebihi sepuluh orang. Lawan tetap lawan.

Malang buat Husin go-go apabila dia berhadapan dengan Nordin, seorang yang tak kurang handalnya tapi bukan samseng. Atas nama jurus Silat Ku Sesiku, Nordin menumpaskan Husin dengan pukulan siku demi siku. Kata orang, pukulan Nordin itu pukulan siku empat belas. Dua minggu Husin terlantar di hospital. Itu cerita lama. Tak tahulah sama ada Husin mahupun Nordin sudah lupa kisah zaman muda mereka. Nordin sendiri selepas berkahwin, berpindah ke Taman Haruan, Kulim.

VI.
Azan pun berkumandang. Maghrib tidak dapat menunggu Ustaz Tarbus. Sampai masa umat Islam wajib menunaikan solat. Sudah tentu Ustaz Tarbus bersolat di bilik hotelnya sahaja.

Selesai doa, makmum bersalam-salaman tanpa halangan atas apa jua pendapat dan perjuangan daripada sisi politik mereka. Semua yang hadir dengan bilangan yang bertambah menunggu kedatangan Ustaz Tarbus.

Resah. Keresahan. Meresahkan. Dalam masjid yang berhawa dingin itu tiba-tiba menjadi haba, berkuap dan akhirnya panas. Lagi setengah jam masuk waktu Isya’ pula. Bayang Ustaz Tarbus tak kelihatan. AJK masjid pula tak menerima apa-apa panggilan daripada Ustaz, apakah halangan sebenar yang melewatkan kedatangan beliau.

Sana sini kedengaran orang ramai bercakap sesama sendiri. Manap sendiri gelisah. Aiman menguap beberapa kali. Menekan perut kelaparan. Muka Husin merah padam. Marahnya di simpan di benak hati. Manaplah yang paling risau kalau Husin bakal mencetus konflik.

“Maaf Tok Imam. Maaf Tok Bilal. Maaf AJK Masjid” Tiba-tiba Husin bangun. Berdiri tegap seperti orang nak bergaduh.

Semua orang mengalih pandangan kepadanya. Kecut perut mereka dan percaya keadaan akan jadi kecoh bila Husin bertindak sesuatu. Semua orang tahu yang Husin daripada puak bendera biru. Tentunya dia akan menuduh kelemahan Ustaz Tarbus kerana tidak menghormati majlis. Ini masanya Ustaz Tarbus dikecam mentang-mentang dia daripada lambang keris.

“Kita datang sini kerana nak dengar ceramah Ustaz. Bukan mencari alasan negatif hanya kerana saya dari bendera lain, awak dari bendera lain dan awak dari bendera yang lain warna.” Itu ayat pertama daripada Husin. Suaranya tegas dan berani.

Ada kumpulan daripada bendera lain bangun. Keadaan jadi tegang.

“Ini rumah Allah. Kita datang ke sini kerana Allah. Kelewatan Ustaz ke sini juga dengan kehendak Allah. Jangan lupa Allah.” Jeritnya teramat kuat hingga bergema seluruh masjid tanpa guna pembesar suara. Aiman ketakutan lalu menyorok di bawah ketiak bapanya.

“Duduk saudara-saudaraku. Tak perlu kita bergaduh atau takut nanti memakan masa yang lama untuk kita berbaik-baik semula. Ketepikan soal politik. Tunggu masa undi. Pangkah calon yang tuan-tuan suka dan percaya. Ini masjid. Tempat kita bersatu kerana agama dan kerana kita berbangsa”.

Suara Husin seperti tidak diendahkan. Gema suara makmum yang tak puas hati lebih gempita. Boleh dikatakan ketiga-tiga golongan yang berpegang kepada politik masing-masing tidak mahu mengalah. Mereka dah jemu menunggu Ustaz Tarbus.

Seperti tuan-tuan, saya juga bosan menunggu dia. Tetapi inilah ujian Allah kepada kita. Ingat, jangan ada sesiapa yang berani mencabar saya.”

“Aku…” Tiba-tiba ada suara yang tak dikenali menyahut cabaran Husin.

VII.
Semua menoleh ke arah suara itu. Lelaki yang bernama Nordin dengan serban putih berlilitan di kepalanya tiba-tiba muncul. Orang ramai memberi laluan bila Nordin berjalan ke arah Husin. Sudah terdengar desas-desus ketakutan daripada bahagian makmum wanita. Husin bersedia dengan apa saja yang dia boleh terfikir atas nama mempertahankan diri. Nordin ialah musuh lamanya.

Tidak pula dengan Manap. Dia amat suka kemunculan Nordin. Dia tidak akan lepaskan peluang kali ini. Dia pernah berjanji pada dirinya satu ketika dulu. Apabila Aiman sudah meningkat belasan tahun, dia mahu Aiman berguru dengan Nordin. Belajar Silat Ku Sesiku. Jurus pukulan yang paling pantas seperti kilat yang pernah dia lihat. Dan ilmu ini ada pada Nordin.

Nordin berhenti tidak berapa jauh dari kedudukan Husin berdiri. Pandangan mereka melekat dan tajam. Tak ubah seperti zaman muda mereka. Mata dan nafas jelas menutur dendam. Nordin siap merenggangkan kakinya seperti mengatur tapak. Husin kemaskan buku limanya yang masih tebal dan berurat.

Tiba-tiba Nordin meluru dan memeluk Husin. Berkumat-kumit membisikkan sesuatu di telinga Husin. Pun begitu dengan Husin berkata sesuatu yang mereka berdua sahaja yang tahu. Aksi yang sekilas itu, sudah dapat ditangkap oleh semua orang yang Husin dan Nordin berdamai selepas sekian lama bermusuhan.

“Husin tumpas di tangan saya dalam masa 10 minit. Saya ambil masa 10 tahun untuk kembali ke sini memperbaiki kesilapan. Bayangkan kalau tuan-tuan bergaduh hari ini, entah lagi 10 tahun kita belum tentu berdamai. Kalau anak cucu kita tidak ditanamkan semangat kasih sayang, menolak hasad dengki, fitnah dan dendam, entah berapa puluh tahun lagi mereka boleh berdamai,” suara Nordin walaupun lantang tapi tersekat-sekat.

“Saya datang ke sini kerana nak dengar ceramah Ustaz Tarbus. Islam menggalakkan kedamaian, kesatuan, sayang menyayangi. Tidak salah lagi kenapa Tuhan mengirim Ustaz Tarbus ke masjid atas bukit ini. Bersabarlah. Dia akan sampai Insya-Allah”

Masa itu juga, Husin memaut tangan Nordin. Genggam erat tanda tiada permusuhan antara mereka lagi. Orang ramai bersorakan. Bergema seluruh masjid atas bukit.
“Allahhu Akbar.” Suara makmum lelaki melaung.
“Allahhu Akbar.” Suara kanak-kanak bercampur orang dewasa.
“Allahhu akbar.” Suara makmum wanita pula bergema dengan suara lelaki.
“Allahhu akbar.” Suara para belia bercampur... lelaki, kanak-kanak dan wanita.

VIII.

Di luar, tiga buah Mercedez hitam masuk ke pekarangan masjid. Dalam salah sebuah kereta itu, tentunya ada Ustaz Tarbus.

“Mat, hebatlah orang di sini. Saya belum masuk masjid lagi, mereka dah riuh bertepuk sorak,” kata Ustaz Tarbus pada pemandunya. Mat ketawa berdekah.

“Kenapa awak ketawa Mat?” Tanya Ustaz Tarbus kehairanan. Tak pernah pemandunya ini membangkang.
“Ustaz ni kelakarlah. Sebab itulah saya ketawa. Maafkan saya Ustaz. Terlanjur tadi. Saya janji tak ketawa lagi.”

Ketiga-tiga buah Mercedez meluncur masuk ke tempat letak kereta yang sudah dikhaskan. Sorakan terus bergema dari dalam masjid. Sebentar lagi, mereka akan terus ketawa dan bersorakan dengan kelucuan Ustaz Tarbus semasa memberi ceramah nanti. Azan Isya’ pun berkumandang. Sebentar lagi umat Islam akan berdiri dan bersujud ke hadrat Ilahi tanpa peduli puak dan parti.