OLIMPIK Rio 2016
sudah bermula lebih 10 hari sejak pembukaan gilang-gemilang di stadium
bolasepak Maracana, Rio de Janeiro pada 5 Ogos lalu.
Dalam persaingan sengit bagi membuktikan siapa yang berjaya mengatasi segala cabaran untuk muncul sebagai pemenang dan merasa berdiri di podium menerima kalungan pingat, malah lebih istimewa untuk bergelar pemilik pingat Olimpik - walau cuba dinafikan - kita perlu secara gentleman mengakui yang kita agak tersentak dengan pencapaian atlet negara jiran tetangga.
Kelmarin, di celah-celah negara yang berjaya merangkul emas di temasya sukan paling berprestij dunia itu misalnya terselit negara jiran kita di sempadan sebelah utara, Thailand, menduduki tangga ke-18. Bukan satu emas bahkan dua, di samping masing-masing satu pingat perak dan gangsa.
Malaysia sehingga artikel ini ditulis, baru meraih satu pingat perak. Pingat yang dihadirkan menerusi jaguh terjun papan anjal wanita negara, Pandelela Rinong kali ini bersama pasangan regunya, Chong Jun Hoong. Pencapaian lebih baik sedikit daripada Olimpik London 2012.
Harapan emas yang tinggal kini adalah menerusi jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, yang jika di atas kertas, mengikut ranking dunia, tidak ada masalah untuk merangkulnya.
Namun adat bertanding, ada hari menang dan ada hari kalah. Harapan penulis, dan sudah pastilah harapan seluruh rakyat Malaysia, kilauan emas yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama akan hadir menerusi badminton - satu-satunya acara sukan yang cukup diyakini, yang selama ini telah meletakkan nama negara di peta dunia.
Tentulah lebih manis dan istimewa apabila acara sukan yang tidak sah diperkatakan jika tidak menyebut nama Malaysia sebagai antara gergasi badminton dunia itu yang menghilangkan dahaga emas negara sejak sekian lama.
Bukan penulis tidak mengharapkan emas daripada acara sukan lain namun rasanya harapan dan impian ini lebih signifikan dan relevan dengan gelaran jaguh badminton dunia yang dipegang oleh atlet negara kita itu.
Kita seharusnya tahu mengukur baju di badan sendiri.
Jika terbukti badminton dan acara terjun yang mampu menjanjikan pingat, tidak salah jika kita membuat pelaburan besar dalam kedua-dua acara sukan ini. Rangka pelan strategik dengan sasaran emas.
Vietnam berjaya melakukannya dengan acara menembak. Singapura pula dengan renang. Jadi tidak salah untuk kita mengimpikannya dalam sukan badminton yang telah kita kuasai sejak sekian lama.
Penulis bersetuju dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bahawa kita memerlukan barisan atlet pelapis dengan segera.
Tokyo 2020 mungkin terlalu hampir untuk kita meletakkan sasaran emas kepada pengganti Chong Wei, namun tidak terlalu ambitious atau bercita-cita tinggi untuk kita merangkul perak atau gangsa.
Apa yang penting seperti dikatakan Khairy, kita perlukan pelapis. Tidak kiralah dalam sukan badminton, acara terjun mahupun berbasikal yang kita juga mempunyai wakil yang dibanggakan.
Di mana atlet kita 10 tahun akan datang? Adakah mereka akan berdiri di podium atau masih sekadar menjadi pemerhati? Penulis percaya semuanya terletak pada perancangan mantap dan teratur oleh organisasi sukan yang dipertanggungjawabkan.
Pada masa sama, pastikan atlet kita dibimbing agar mempunyai set minda yang betul untuk bersungguh-sungguh, berhempas pulas sepenuh daya mengejar gelaran juara dalam bidang sukan yang diceburi mereka. Bukan sekadar berpuas hati berjaya melayakkan diri ke ‘temasya’ Olimpik.
Dalam Coretan Marhaen dua tahun lalu, Neymar da Silva Santos JĂșnior pernah menjadi bahan coretan penulis apabila pemain lincah Brazil yang ketika itu baru berusia 22 tahun terpaksa melupakan aksi dalam Piala Dunia FIFA 2014 akibat kecederaan tulang belakang gara-gara disinggung lutut pemain Colombia, Juan Zuniga.
Justeru ketika membelek-belek laporan akhbar tentang Olimpik Rio 2016, kelmarin, penulis agak terkejut apabila membaca tajuk berita, Bisa Neymar makin menjadi. Nampaknya Neymar telah ‘meninggalkan’ kecederaan dua tahun lalu, bukan setakat pulih bahkan membantu pula pasukan bola sepak negaranya melangkah ke separuh akhir untuk bertemu Honduras. Dalam perlawanan yang menyaksikan Brazil membenam Columbia 2-0 itu, Neymar menjaringkan gol menerusi sepakan percuma.
Penulis tidak pasti berapa lama tempoh yang diperlukan oleh seseorang atlet untuk pulih daripada kecederaan dan kembali beraksi di padang atau pentas pertandingan. Namun jika apa yang dilakukan oleh Neymar ini sesuatu yang menakjubkan, kita perlu belajar daripadanya.
Penulis tertarik dengan kata-kata legenda bola sepak Korea Selatan, Lee Young-pyo ketika menjadi pengulas sukan Piala Dunia FIFA 2011; “Anda tidak menyertai pertandingan untuk mencari pengalaman tetapi untuk membuktikan keupayaan.”
Mungkin dengan cara berfikir seperti itu pasukan bola sepak Korea Selatan kini semakin berjaya dan jauh meninggalkan kita. Ini pun kita perlu belajar juga.
Post a Comment