Oleh Fairuz Noordin
SYAFAAT bererti memohon pertolongan atau mengharapkan sesuatu yang
boleh membantu ketika berada di saat kesukaran seperti di Padang
Mahsyar.
Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu
Hurairah, Rasulullah SAW menceritakan, apabila manusia berada dalam
keadaan saling bertengkar dan pelbagai rupa di Padang Mahsyar, akhirnya
mereka bertanya satu sama lain berapa lamakah mereka akan berada dalam
keadaan itu?
Masing-masing meluahkan keinginan untuk mencari
syafaat yang boleh menyelamatkan mereka ketika itu. Akhirnya mereka
memutuskan untuk meminta bantuan daripada Nabi Adam.
Menurut
Rasulullah, kelompok manusia yang berani mencari Nabi Adam untuk memohon
syafaat adalah dalam kalangan ulama yang hidup selepas kewafatan Nabi
Muhammad SAW.
Kelompok ulama ini akan bergerak mencari Nabi
Adam dan apabila bertemu, mereka meminta Baginda memohon kepada Allah
SWT supaya mengadili manusia di Padang Mahsyar ketika itu. Nabi Adam
tidak berani berbuat demikian kerana berasa pernah melakukan sesuatu
perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT.
Baginda menyuruh
mereka meminta pertolongan daripada Nabi Noh. Ustaz Ahmad Dusuki Abdul
Rani menerusi slot Mau'izati di IKIMfm berkongsi riwayat Abi Hamid dalam
kitabnya Kashful Ulum Al-Akbar yang menceritakan manusia mula bergerak
mencari Nabi Noh selama kira-kira seribu tahun.
Selepas bertemu Nabi Noh, Baginda juga sangat takut kepada Allah SWT kerana kaumnya berpaling daripada ajaran yang dibawanya.
Nabi Noh meminta mereka menemui Nabi Ibrahim. Pencarian manusia di
Padang Mahsyar berterusan seribu tahun lagi. Apabila bertemu Nabi
Ibrahim, Baginda tidak mampu membantu dan mencadangkan supaya mencari
Nabi Musa.
Seribu tahun kemudian mereka bertemu dengannya
tetapi Baginda juga tidak dapat berbuat apa-apa dan meminta kelompok
manusia itu mencari Nabi Isa.
Selepas seribu tahun dan bertemu
Nabi Isa, Baginda juga tidak berani membantu kerana sangat takut dengan
kemarahan Allah SWT. Nabi Isa meminta memohon bantuan daripada Nabi
Muhammad SAW.
Rupa manusia berbeza-beza
Sepanjang
pencarian itu, kelompok manusia berada dalam keadaan rupa yang
berbeza-beza. Apabila bertemu Rasulullah SAW, mereka berkata: "Ya
Rasulullah, kami sudah lama berada di Padang Mahsyar ini.
Tolonglah
berdoa dengan menggunakan syafaat yang ada padamu, supaya Allah SWT
mempercepatkan pengadilan kita sebelum dihisab di sisi-Nya.
"
Baginda mula sujud, lalu Allah SWT bertanya kepada malaikat walaupun
mengetahui sebabnya kenapa Rasulullah SAW berbuat demikian. Malaikat
menjawab: "Ya Allah, sesungguhnya Muhammad itu mengharapkan sesuatu
daripada-Mu. Rasulullah SAW bersujud sambil menangis dan merayu: Ya
Allah tolonglah lakukan sesuatu untuk mengadili umatku ini." Lalu Allah
memerintahkan umat Baginda yang belum dihisab, masuk ke dalam syurga
melalui pintu yang terletak di sebelah kanan.
Menurut
Rasulullah SAW, mereka yang masuk ke dalam syurga tanpa dihisab dan
diazab adalah manusia yang semasa hidupnya dahulu tidak pernah
mendapatkan bantuan bomoh atau menjadi bomoh yang mensyirikkan Allah
SWT.
Abu Hurairah bertanya kepada Rasulullah: "Siapakah orang
yang paling gembira apabila mendapat syafaat daripada kamu pada Hari
Kiamat kelak, ya Rasulullah? Baginda menjawab: Wahai Abu Hurairah, aku
fikir bahawa tidak ada seorang pun yang akan bertanya kepadaku soalan
ini, orang yang paling gembira adalah mereka yang mengucapkan Laila
illallah Muhammadur Rasulullah dengan tulus ikhlas daripada hatinya dan
berusaha menjauhkan apa yang dilarang oleh Allah SWT.
" Qadi bin
Iyat berkata, lima syafaat Rasulullah SAW iaitu syafaat umum bagi
seluruh umat manusia, syafaat kedua ialah untuk memasukkan manusia ke
dalam syurga tanpa dihisab terlebih dahulu, syafaat ketiga untuk
mengeluarkan umatnya yang berdosa daripada memasuki neraka, syafaat
keempat untuk mengeluarkan umatnya yang berdosa daripada neraka dan
syafaat kelima untuk meninggikan darjat penghuni syurga.
Penulis ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
Syafaat Rasulullah selamat umat
Written By zabidi on Sunday, 14 August 2016 | 4:49 pm
Labels:
Artikel,
Bicara Islam
Post a Comment