Apatah lagi naskhah yang digarap oleh Sabri Yunus sentiasa dinanti ramai, pastinya kredibiliti dan kebolehan Taufik bukan sahaja menguji dirinya sebaliknya kepada Sabri yang turut bertindak selaku pengarah filem ini.
Kelebihan Sabri bukan omong kosong. Dia sudah berpengalaman menghasilkan telefilem seperti Sanggul Berdarah, Parut Asyikin, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Sorok Bau Budu, Sebuah Piala Seekor Kambing, Vespa Sharif Dol, Asyura dan Olong.
Setiap karya Sabri bukan sahaja dinantikan ramai tetapi turut menyuntik kritikan sosial terhadap masyarakat Melayu khususnya.
Menonton buah tangan baharu Sabri ini, dapat dilihat filem ini seimbang dari segala sudut. Tidak berlebih-lebihan dalam membangunkan setiap watak, Sabri memberikan kritikan sosial yang halus selapis demi selapis yang tidak sukar untuk difahami.
Menghidupkan watak Doktor Dani yang gagal menyelamatkan nyawa pesakit dalam satu pembedahan, watak tersebut mula berkembang apabila dia meletak jawatan dan pulang ke kampung halaman.
Kisah Dani bertambah rumit apabila dia terpaksa berhadapan dengan ibunya Mak Siti (lakonan Khatijah Tan) yang tidak dapat menerima hal tersebut. Keadaan bertambah buruk apabila orang kampung mula tahu tentang perkara tersebut.
Plot ceritanya nampak mudah tetapi garapan yang dibuat oleh Sabri terhadap beberapa watak yang ada di sekeliling Dani begitu terperinci dan penting.
Stigma masyarakat sendiri yang tidak dapat menerima peletakan jawatan seorang doktor itu juga sebenarnya ditunjukkan secara terperinci yang menggambarkan situasi sebenar masyarakat Melayu.
Selain Taufik, pelakon lain yang turut membintangi filem ini terdiri daripada Fasha Sandha, Amerul Affendi, Sabri Yunus, Yus Edoo, Raysha Rizrose, Sani Sudin dan Saidi Sabri.
Seimbang
Perkembangan watak Dani sebenarnya turut menarik sama watak-watak lain dalam filem ini. Tentunya watak Dukun Sudin yang dilakonkan oleh Sabri dan Lepat (Amerul Affendi) tidak kurang hebatnya.
Amerul tidak pernah menghampakan. Walaupun sekadar watak pembantu, yang ditunjukkan oleh pelakon ini menghidupkan lagi filem Dukun Doktor Dani. Menariknya setiap watak yang dibangunkan seimbang, tidak berlebihan dan sama penting antara satu sama lain.
Dukun Doktor Dani mengisahkan tentang Dani yang membuat keputusan untuk tidak lagi menjadi doktor, pulang ke kampung dan bekerja dengan dukun Sudin.
Dani memilih untuk bekerjasama dengan Dukun Sudin mengubat penduduk kampung selepas pulang ke kampung. Perkara tersebut bukan sahaja dihalang oleh ibunya tetapi juga teman wanitanya Dr. Lily (Fasha Sandha) yang kurang senang dengan hal tersebut.
Keadaan menjadi kalut apabila Dukun Sudin meninggal dunia dan Dani mengambil alih tempat Dukun Sudin dengan caranya sendiri.
Menariknya yang dikupas mengenai filem ini adalah meskipun ilmu kedoktoran dan ilmu dukun bertentangan antara satu sama lain, ada persamaan yang cuba ditunjukkan oleh Sabri.
Pastinya soal kemuliaan hati dan mahu bantu-membantu menjadi isi terpenting dalam cerita ini.
Dalam realiti kehidupan seharian sekalipun, perbezaan dan pertentangan itu tetap ada.
Tetapi tidak ada yang mustahil sekiranya mereka membuang sengketa dan tidak mendengar hasutan pihak lain yang cuba merosakkan keharmonian itu.
Paling menyentuh perasaan pastinya melihatkan kelibat arwah Yus yang memegang watak Chot. Ini merupakan filem terakhir lakonannya sebelum meninggal dunia penghujung tahun lalu.
Post a Comment