Oleh Zulkiflee Bakar
“SESUNGGUHNYA
Allahyarham merupakan tokoh yang mempunyai pendirian yang jelas dalam
ilmu, tegas, cintakan Islam serta mendalam ilmunya. Mempunyai kefahaman
yang tinggi ketika mana ramai orang kabur dan keliru dalam tindakan.
Cintakan perpaduan dan mempunyai impian untuk melihat Islam dijunjung
tinggi di tanah air.”
Itulah ulasan
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri berikutan
kembalinya Mursyidul Am Pas, Datuk Dr.Haron Din ke rahmatullah
kelmarin. Apa yang dikatakan oleh Zulkifli adalah gambaran tepat
keperibadian, ketokohan dan perjuangan Allahyarham Haron - seorang
ulama yang dihormati oleh kawan dan lawan.
Meneliti satu demi
satu catatan perjalanan kehidupan Allahyarham sejak kecil, tidak
keterlaluan kalau dikatakan Allahyarham adalah insan yang dilahirkan
untuk menjadi pejuang Islam. Namun perjuangan yang dirintis dengan
matlamat syariat Islam dilakukan secara berhemah. Biarpun tegas dan
istiqamah dalam perjuangan berkenaan namun beliau sentiasa menjaga adab
dan akhlak yang digariskan oleh Islam.
Allahyarham tidak pernah
menjatuh hukum kepada sesiapa apatah mencela dan memaki hamun orang
lain.
Walaupun dianggap ulama hebat, namun Allahyarham amat
merendah diri dan sentiasa bersedia menerima pandangan atau menyokong
apa juga tindakan dalam satu-satu perkara waima oleh kerajaan sekalipun
asalkan ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Berada dalam
barisan kepemimpinan utama Pas tidak pernah dijadikan tiket untuk
Allahyarham memusuhi mana-mana kelompok Islam atau orang Melayu yang
tidak sehaluan dengan parti itu.
Sebaliknya Allahyarham sentiasa
berlapang dada dan berusaha mencari pendekatan terbaik agar misi
dakwah yang dibawa khususnya dalam menegakkan perjuangan Islam Pas
berjaya.
Berikutan sikap itulah Allahyarham tidak bersekongkol
atau berkongsi sentimen dengan mana-mana pihak termasuklah dalam parti
itu untuk melihat UMNO sebagai ‘musuh nyata’.
Bagi Allahyarham
selagi ada ruang dan kesempatan bak kata orang biar sebesar zarah
asalkan Allahyarham boleh berdakwah, Allahyarham bersedia merebut
peluang tersebut. Atas sebab itulah Allahyarham tidak tergugat atau
berasa resah dengan pandangan politik sempit sesetengah pihak termasuk
dalam Pas sendiri yang mempertikaikan keputusan Allahyarham menerima
jemputan kerajaan untuk menjadi Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan
Islam (MPI) pada Februari lalu.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani
Zakaria ketika mempertahankan kesediaan Allahyarham menganggotai MPI
menegaskan, “Apabila ada orang yang mahu dan komited untuk berdakwah
seperti Haron Din, misalnya menunjukkan komitmen beliau terhadap kerja
dakwah, walaupun beliau ahli Pas, kita tidak sepatutnya menjadikan
pelantikan beliau sebagai satu kesilapan atau kesalahan kepada parti.”
Sememangnya
berdakwah sudah menjadi darah daging Allahyarham. Dalam apa juga
situasi Allahyarham meletakkan perjuangan menegakkan syariat Islam
sebagai matlamat utama. Allahyarham sentiasa tegas untuk mempertahankan
syariat Islam dan bersedia memberi pandangan berlandaskan kepada
prinsip mencari keredaan Allah.
Anak ketiga daripada 10 adik
beradik ini, bersedia ke hadapan untuk menyatakan pendirian berhubung
sesuatu isu yang menyentuh mengenai hal ehwal Islam. Berikutan ketika
isu kalimah Allah hangat diperkatakan, Allahyarham muncul dalam rakaman
video khas memberi penjelasan kenapa orang bukan Islam tidak boleh
menggunakan kalimah suci itu. Begitu juga dalam isu ‘Saya Mahu Sentuh
Anjing’, Allahyarham secara terbuka menggesa penganjur yang beragama
Islam bertaubat.
“Jika dilihat dari sudut akidah, perbuatan
menganjurkan perkara haram secara terbuka ini seolah-olah satu percubaan
mencabar hukum Allah dan fatwa serta ada sifat-sifat kebanggaan mereka
yang berbuat demikian,” tegas Allahyarham.
Dalam
mempertahankan kesucian dan menegakkan perjuangan Islam, Allahyarham
sama sekali tidak akan berkompromi dengan sesiapa jua. Mungkin kerana
ketegasan inilah apabila Allahyarham meninggal dunia ada kelompok
termasuk segelintir pemimpin parti pembangkang bagaikan ‘meraikannya’.
Tindakan
biadab itu dilakukan kerana mereka memahami umat Islam kehilangan
seorang lagi ulama yang selama ini menjadi benteng mempertahankan
kesucian Islam dan tidak pernah berputus asa memperjuangkan agama suci
itu. Bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana
sepanjang berjuang bersama Pas, Allahyarham paling lantang menentang
bekas sekutu parti itu, DAP yang dilihat sering sahaja
memperkotak-katik maruah Pas.
Allahyarham tidak meletakkan
kepentingan atau keuntungan politik sebagai keutamaan sebaliknya
menegaskan, “Pas lebih bimbangkan kemurkaan Allah daripada bimbang
tidak mendapat sokongan manusia.” Dalam soal politik juga, Allahyarham
sentiasa bersangka baik dengan sesiapa juga asalkan ia membuka peluang
untuk mendapat keredaan Allah.
Ini terbukti apabila Allahyarham
menyambut secara positif usaha mewujudkan kerjasama Pas dengan UMNO.
Antara lain beliau berkata, “Kedua-kedua (parti) sememangnya mungkin
bekerjasama atau mungkin tidak bekerjasama, bergantunglah kepada sejauh
mana kebajikan atau kebaikan yang boleh diterima demi mencapai
ketakwaan kepada Allah.”
Hakikatnya, negara kehilangan seorang
tokoh yang sepanjang hayat mengabdikan diri untuk berdakwah bukan
kerana mahu mencari kuasa politik tetapi demi membimbing ummah ke arah
mendapat keredaan Allah.
Post a Comment