Oleh MOHD. ASHROF ZAKI YAAKOB
RAKYAT
Malaysia menangisi kehilangan sebutir permata ummah yang sangat tinggi
ilmunya dan sumbangannya kepada seluruh masyarakat Islam. Pemergiannya
terlalu mendadak sehinggakan ramai yang sukar menerimanya lantaran
keilmuannya masih lagi didambakan oleh seluruh umat Islam di Malaysia.
Latar
belakang akademik dan pengalaman keilmuan yang dimiliki sudah cukup
untuk membuktikan bahawa beliau ialah tokoh yang amat disegani oleh
kawan dan lawan. Menjadi rujukan utama dalam pelbagai bidang,
mengasaskan dan mengembangkan ilmu pengubatan Islam, memangkinkan
perjuangan gerakan Islam di Malaysia dan konsisten dalam setiap ucapan
dan tindakan menjadi trademark kepada kehebatan peribadi mulia ini.
Dalam kelembutan wajah dan manis senyumannya, setiap pendiriannya
dituturkan dengan penuh hikmah dan tegas dalam pelaksanaannya.
Nama
Tuan Guru Datuk Dr. Haron Din bukanlah baharu dalam bidang politik dan
dakwah di Malaysia. Seawal tahun 80an lagi beliau sudah menyinar dan
dilihat sebagai ikon yang bakal memimpin masyarakat Islam di Malaysia.
Beliau mewakafkan dirinya demi perjuangan Islam dan menginfaqkan
seluruh tenaga kudratnya dalam melaksanakan misi dakwah di negara ini.
Dakwahnya merentasi sempadan politik dan perkauman, menumpukan kesatuan
Islam bagi masyarakat Melayu serta berusaha mendaulatkan Islam sebagai
teras kepada perpaduan dalam negara. Keberanian beliau menerima
tanggungjawab sebagai Ketua Kluster Dakwah, Majlis Perundingan Islam
(MPI) di bawah kelolaan Kerajaan Persekutuan membuktikan pendirian
berhikmah beliau serta menzahirkan politik yang matang dan sejahtera
berasaskan prinsip ajaran Islam yang sebenar. Ini mencetuskan paradigma
baharu kesatuan dan perpaduan masyarakat Islam khususnya, di samping
memangkinkan proses mendaulatkan Islam yang menjadi teras dan tunjang
bagi keharmonian dalam negara.
Amat mengagumkan apabila
perbezaan fahaman politik dan perkauman terus dihapuskan lantaran
pemergian beliau. Ucapan takziah dan kesedihan atas pemergian
Allahyarham oleh pemimpin kerajaan serta tokoh-tokoh politik tanah air
tanpa mengira fahaman parti memberikan gambaran jelas bahawa beliau
ialah tokoh yang luar biasa. Jurang politik sempit berjaya dihapuskan
dan politik dakwah beliau membuahkan hasil yang mengagumkan.
Tuan
Guru Dr. Haron Din pastinya amat sinonim dengan pengubatan Islam di
Malaysia. Kaedah rawatan menggunakan Rukyah Syariah yang telah diasaskan
semenjak 1977 berjaya menarik keluar kepercayaan tahyul masyarakat
Melayu kepada pengubatan Islam yang tulen. Beliau seterusnya mengasaskan
Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam (Darussyifa) pada 1988 yang
seterusnya merintis kepada perkembangan secara besar-besaran kaedah
rawatan Islam yang bukan hanya memfokuskan kepada penyakit rohani, malah
sebagai komplimentari kepada rawatan penyakit fizikal dalam perubatan
alopati. Sehingga kini, Darussyifa telah berjaya melahirkan lebih 6000
perawat Islam bertauliah, 65 pusat rawatan di seluruh negara serta 13
kelas pengajian pengubatan Islam hampir di setiap negeri di Malaysia.
Pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan terhadap Pengubatan Islam
adalah cita-cita utama beliau dan menjadi kejayaan paling manis bagi
perjuangannya dalam pengubatan Islam.
Saya amat yakin semua anak
murid dan kenalan rapat beliau pasti mengakui bahawa ilmu ikhlas
adalah ajaran dan anugerah terbesar beliau kepada kita semua untuk
dicontohi. Keikhlasan beliau dalam setiap pengucapan dan tindakan
memberikan kesan yang sangat mendalam, melebihi kepentingan lain yang
selalu merosakkan nilai sesebuah amalan. Buktinya, pemergiannya
ditangisi kawan dan lawan, mengundang jutaan takziah dari segenap
pelosok dunia, dan legasi perjuangannya didokong utuh oleh anak murid
dan para pengikutnya yang istiqamah sehingga kini!
Allahyarham
amat sinonim dengan keilmuan dan dakwah. Paling menarik, pasca
pemergian beliau juga mencetuskan paradigma ilmu baharu pengurusan
jenazah yang menepati Sunnah Nabawiyyah sekali gus menghapuskan dogma
kolot yang lama membekas dalam masyarakat Melayu. Kehadirannya
mencurahkan lautan ilmu, pemergiannya mencetus paradigma baharu dan
pastinya menyuntik semangat perjuangan Islam kepada seluruh umat Islam
di Malaysia.
Jasa dan sumbangan beliau dalam menyatukan
masyarakat Melayu dalam pelbagai bidang wajar dihargai dan dicontohi.
Beliau berjaya menyatukan pemikiran masyarakat Melayu daripada fahaman
tahyul kepada kesatuan aqidah yang jitu. Beliau berjaya menghapuskan
fahaman politik sempit kepada politik Islam yang membimbing kawan dan
seteru. Beliau merintis perubahan kefahaman pemikiran masyarakat Islam
kepada mendaulatkan ajaran Islam yang satu. Maka beliau amat layak
dinobatkan sebagai Tokoh Penyatuan Ummah di Malaysia, di dunia jasamu
menggunung, ganjaran baik di syurga menunggu.
Berehatlah dengan
tenang wahai guruku, Murabbi ummah yang sentiasa membimbing umatmu.
Nikmatilah kerehatan yang hakiki, setelah perjuanganmu di dunia tidak
pernah terhenti, selagi nyawa dikandung badan, budi dan keringat telah
engkau curahkan. Doa dari kami anak-anak muridmu sentiasa mengiringimu
sehingga akhir hayat kami.
PENULIS ialah Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.
Post a Comment