Oleh Zakaria Ismail
Tiada yang mudah dalam perjalanan Tuan Guru Datuk Dr Haron Din untuk
menjadi seorang ulama. Setelah bergelar ulama, tiada apa juga yang mudah
bagi beliau dalam berperanan sebagai ulama yang berada betul-betul di
tengah-tengah gelanggang masyarakat. Perjalanan itu dipenuhi dengan
rintangan, cabaran, desakan dan ujian; kecil, besar dan kadang-kadang
mengelirukan.
Apatah lagi beliau juga adalah seorang juru dakwah,
seorang ahli akademik, seorang perawat, seorang pemimpin masyarakat,
seorang ahli politik, seorang yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan
seorang yang mepunyai banyak peranan dalam pelbagai bidang.
Menjadi
al-Mursyid al-Am kepada parti Islam di negara kita sejurus kembalinya
al-Marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ke rahmatullah, tentulah
menjadi tanggung jawab besar yang tidak mudah juga untuk beliau galas.
Pendek
kata, kehidupan beliau sepanjang 76 tahun itu adalah sentiasa dalam
keadaan berjuang dengan segala susah payah. Seolah-olah tiada ruang
untuk istirehat daripada terus berjuang.
Mungkin itulah tafsiran secara amali tentang firman Allah SWT dalam surah al-Balad, ayat 4;
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ فِي كَبَدٍ
Bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam susah payah."
Seperti
kata Imam Hasan al-Basri, "manusia itu sentiasa bersusah payah berusaha
menghadapi cabaran-cabaran kehidupan di dunia dan kesukaran-kesukaran
negeri akhirat". Kata Imam Qatadah, "engkau sentiasa melihatnya berjuang
menghadapi rintangan urusan dunia dan urusan akhirat".
Begitulah umurnya yang berkat itu, dipenuhi dengan perjuangan untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.
BIDANG PENGUBATAN ISLAM
Dalam
dunia pengubatan Islam, beliau gigih berjuang untuk menghapuskan
kebergantungan masyarakat kepada kaedah perubatan tradisional yang
mencampurkan unsur-unsur syirik dalam rawatan.
Untuk itu, beliau
mendekati perawat-perawat tradisional itu dan cuba memahami dan
mengkaji amalan dan bacaan mereka. Setelah itu, amalan dan bacaan mereka
ditapis mengikut neraca syarak. Sebahagian mereka berterima kasih
kepada beliau. Sebahagian lagi pula tidak menyenangi beliau.
Tidak
cukup dengan itu, beliau berusaha melatih perawat-perawat yang bukan
sahaja dibekalkan dengan ilmu perubatan dan rawatan, tetapi juga
diajarkan dengan konsep akidah yang benar, ibadah yang sahih serta
bacaan-bacaan ayat al-Quran, hadith-hadith dan doa-doa yang jelas
sebutan huruf daripada makhrajnya, serta terang maknanya.
Beliau
merasakan tugas itu seperti fardhu ain ke atas dirinya. Kerana beliau
berkebolehan dalam bidang rawatan dan beliau juga seorang pakar dalam
bidang syariah.
Sedangkan, golongan masyarakat yang menghadapi
masalah gangguan yang tidak bersifat fizikal pula cenderung untuk
menemui bomoh-bomoh yang tidak diketahui susur galur ilmu perubatannya.
Ada di kalangan yang mendakwa bomoh itu pula, rupanya mencari duit mudah
dengan memberikan rawatan palsu. Ada juga yang memberikan rawatan,
tetapi rawatan yang bercampur dengan unsur-unsur syirik melalui kaedah
pemujaan atau cara-cara lain-lain yang mengundang murka Allah dan
membuka pintu kekufuran.
Berkat sokongan dan dokongan murid-murid
utama beliau, Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia
Darussyifa' ditubuhkan, dan akhirnya berkembang ke seluruh negara dan
luar negara bagi menawarkan khidmat rawatan dan perubatan alternatif
mengikut kaedah yang dibenarkan oleh syarak.
Sungguhpun begitu
bersepadu usaha beliau dalam memerangi amalan syirik dalam perubatan
melayu tradisional, beliau sendiri tetap juga tidak selamat daripada
dituduh mengamalkan amalan syirik. Sebahagian daripada ulama-ulama muda
yang baru menamatkan pengajian di luar negara tanpa teragak-agak menuduh
Darussyifa' mengamalkan amalan syirik lantaran selawat asy-syifa' dan
selawat tafrijiyyah.
Ironinya, negeri kelahiran beliau sampai
mengeluarkan fatwa mengharamkan selawat tafrijiyyah dan menuntut orang
yang mengamalkannya supaya bertaubat. Masalah ini sebenarnya seputar
memahami makna selawat tersebut mengikut kaedah bahasa arab dan kaedah
usuluddin. Tetapi pihak yang mengharamkannya hanya mengambil maknanya
yang zahir dan ditafsirkan mengikut kefahaman ringkas mereka sahaja.
Saya
pernah mendengar beliau diminta mengulas tentang isu selawat ini.
Jawabnya ringkas dan tidak mahu memanjangkan polemik, "Ya lah, kita ini
orang sekolah atap saja".
Tentulah artikel ini, tidak bertujuan untuk membahaskan polemik ini. Sekadar memberikan gambaran.
Namun
begitu, Tuan Guru Datuk Dr Haron Din telah meninggalkan karya agung
yang memberikan pencerahan tentang pengubatan Islam dan dalil-dalil
syarak berkaitannya dalam 5 jilid buku dalam siri pengajian dan
pengubatan Islam, terutamanya dalam jilid pertama yang berjudul
Pengantar Pengubatan Islam. Siri itu juga turut memuatkan jilid
berkaitan penyakit rohani, jasmani dan sihir.
BIDANG POLITIK
Dalam
bidang politik, beliau tentulah memilih aliran politik Islam. Beliau
adalah sarjana syariah yang sangat memahami Islam adalah penyelesaian
untuk semua masalah ummat manusia. Apatah lagi, tamadun Islam begitu
kaya dengan teori dan praktikal sistem politik Islam yang merentasi masa
ribuan tahun serta merentasi sempadan geografi dan kaum. Dan ia adalah
adil dan praktikal untuk semua.
Jika dunia sahaja sahaja yang
menjadi buruan beliau, menyertai kepimpinan PAS adalah langkah yang
paling merugikan. Bahkan, jika beliau mencari akhirat semata-mata, kerja
buat beliau sebagai seorang ahli biasa PAS adalah sebahagian daripada
perjuangan Islam. Tetapi PAS memerlukan kepakaran beliau, dan beliau
sekali lagi tidak lokek untuk bersusah payah bersama PAS dalam pelbagai
posisi kepimpinan.
Bersama dengan PAS, beliau pernah dicalonkan
sebagai Timbalan Presiden tetapi menarik diri daripada bertanding.
Beliau pernah menjawat jawatan Ketua Penerangan PAS dan kemudiannya
menjadi Timbalan al-Mursyidul Am PAS sehinggalah beliau dipilih
menggantikan al-marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz sebagai al-Mursyid al-Am
PAS yang ke-3.
Beliau pernah dituduh orang sebagai agen Umno
dalam PAS oleh golongan yang ingin melihat beliau merajuk dan
meninggalkan PAS. Beliau juga pernah dianggap tidak bijak dalam seni
sepak terajang politik. Pandangan berbeza beliau dengan Datuk Seri Tuan
Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam
terjemahan Injil berbahasa melayu pada peringkat awal, juga digunakan
oleh pihak tertentu untuk menjadikan beliau tawar hati dengan PAS.
Tetapi
beliau adalah insan pejuang yang memiliki pendirian seteguh gunung.
Tidak mudah merajuk dek perkataan manusia, lantas mahu meninggalkan
perjuangan Islam sewenang-wenangnya. Perjuangan Islam tidak boleh
ditinggalkan. Perjuangan Islam wajib diteruskan. Beliau terus istiqamah
dengan perjuangan Islam, walaupun beliau memiliki banyak keuzuran.
Beliau
tegak di atas kebenaran, tidak pernah takut kepada celaan orang yang
mencela. Beliau terus bersabar dan terus lagi bersabar, sama-sama
mengemudi bahtera PAS, terutamanya pada saat-saat getirnya.
Begitulah
keadaannya sebagai insan pejuang, alim mujahid. Solatnya, ibadahnya,
hidupnya dan matinya hanya kerana Allah, Tuhan Semesta Alam!
PENUTUP
Semoga
Allah SWT merahmati al-Marhum Tuan Guru Datuk Dr Haron Din dengan
limpahan rahmat-Nya yang tidak bertepi dan mengampuni segala kesalahan
beliau, serta memasukkan beliau di kalangan para siddiqin, para syuhada'
dan para solehin.
"Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada
Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam
jama'ah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku!" (Surah
al-Fajr: 27-30)
Zakaria Ismail
AJK PAS Kawasan Marang





Post a Comment