Oleh Ahmad Salim Bachok
Seorang rakan berseloroh dengan saya berkata bahawa di negara kita
sekarang, untuk menjadi jutawan adalah lebih mudah berbanding beberapa
tahun dulu. Menurutnya, dulu hendak menjadi jutawan perlu berniaga.
Selepas agak berjaya dalam perniagaan dan mahu menjadi kaya atau
jutawan, seseorang perlu menyertai politik.
Maka ahli perniagaan yang berjaya dan kaya-raya, menurut kawan saya
ini, adalah ahli perniagaan yang juga ahli politik yang berjaya. Tetapi
menurutnya, ada juga jalan singkat untuk menjadi jutawan ketika itu.
Seseorang itu hanya perlu mempunyai nasib atau tuah, iaitu dengan
membeli loteri yang menawarkan hadiah utamanya sejuta ringgit, katanya
sambil ketawa.
Sekarang, untuk menjadi jutawan adalah lebih mudah. Beberapa tahun
lalu ada beberapa siri realiti televisyen yang menawarkan hadiah sejuta
ringgit. Kalau tidak silap ada seorang lelaki Melayu telah memenanginya.
Selepas itu, satu lagi siri permainan di televisyen berhadiah sejuta
ringgit, Who Wants To Be A Millionaire? telah menjadi rancangan
televisyen paling diminati di negara kita ketika itu. Saya tidak pasti
adakah antara pesertanya yang menjadi jutawan melalui rancangan yang
dihoskan Datuk Jalaluddin Hassan itu.
Tetapi kini peraduan atau cabutan bertuah berhadiah sejuta ringgit
bukan lagi sesuatu yang aneh atau luar biasa. Dari semasa ke semasa,
dalam usaha untuk meningkatkan jumlah penyimpan dan simpanan, beberapa
bank terkemuka tanah air menawarkan pelbagai hadiah bernilai jutaan
ringgit kepada pelanggannya.
Bagaimanapun, institusi simpanan yang paling terkenal dengan hadiah
sejuta ringgit dan pelbagai hadiah lumayan lain tentu sekali Skim
Simpanan Premium, iatu satu produk Bank Simpanan Nasional (BSN).
Terkini dan paling sensasi adalah tiga jutawan jaguh paralimpik kita
yang bukan sahaja menerima RM1 juta setiap seorang, tetapi turut
menerima pelbagai hadiah bernilai lain seperti kereta dan kediaman,
ihsan kerajaan negeri dan syarikat korporat yang prihatin dan menyokong
kejayaan di peringkat dunia insan istimewa ini.
Sesungguhnya pencapaian tiga pingat emas itu adalah yang terbaik buat
skuad olahraga sepanjang Malaysia menyertai temasya Sukan Paralimpik.
Menurut ketua jurulatih negara bagi atlet berkenaan, R Jaganathan,
kejayaan itu adalah hasil kerja keras dan pengorbanan atlet terbabit.
Maka ia sewajarnya diraikan oleh setiap rakyat negara ini. Justeru
pelbagai hadiah lumayan yang diberi adalah manifestasi kegembiraan serta
penghargaan setiap kita kepada kejayaan mereka di Rio.
Saya melihat sikap kita dalam menghargai kejayaan individu di dalam
dunia sukan sebagai sesuatu yang amat positif. Kalau dulu sukan mungkin
hanya dilihat dari sudut patriotisme dan sesuatu yang mampu menyatukan
pelbagai kaum di negara ini, kini ia melangkah setapak lagi sebagai
sesuatu yang mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka yang
cemerlang, selain mengharumkan nama negara.
Sesungguhnya di negara lain terutamanya di negara barat seperti
Amerika Syarikat dan Eropah, sukan adalah kerjaya pilihan yang sangat
lumayan dan memberi nilai ekonomi tinggi kepada sesuatu negara itu.
Malah, trend atau kecenderungan ini turut berlaku di beberapa negara
Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan China. Kini beberapa pemain golf
terkemuka Thailand, Taiwan dan Filipina dianggap antara individu
berpendapatan paling tinggi di negara mereka.
Bercakap mengenai golf, saya masih terbayang-bayang kehebatan Rory
McIlroy melakukan birdie pada pertarungan playoff menentang Ryan Moore
yang berlangsung di Atlanta, Georgia pada pagi Isnin lalu itu telah
menobatkannya sebagai juara di Jelajah PGA AS serta meraih bonus Piala
FedEx yang bernilai RM41.2 juta.
Dia turut menerima hadiah kejohanan sebanyak RM6.32 juta di kejohanan
itu. Bayangkan, untuk satu kejohanan itu Rory menerima habuan sebanyak
RM47.5 juta
Untuk rekod, sejak mula menjadi pemain golf profesional, Rory
berjaya memenangi RM258 juta wang tunai hadiah kejohanan. Selain itu,
dia turut menerima wang penajaan jenama produk sebanyak RM603.6 juta,
menjadikan pendapatan pemain golf Ireland Utara berusia 27 tahun ini
sebanyak RM861 juta setakat ini!
Kerana itulah saya ingin menganjur agar kejayaan pemain golf nombor
tiga dunia ini dijadikan pendorong utama kepada setiap atlet di negara
ini, terutamanya pemain golf kita. Mungkin nampak sukar, tetapi ia bukan
sesuatu yang mustahil kerana Malaysia memiliki lebih 200 padang golf
bermutu tinggi yang tentunya mampu melahirkan ramai pemain golf terbaik.
Setidak-tidaknya kita mampu menyaingi kemampuan Korea Selatan dan
Thailand yang telah melahirkan begitu ramai pemain golf terkemuka lelaki
dan wanita yang meraih kejuaraan di pelbagai kejohanan di peringkat
dunia.
Dikatakan juga, oleh kerana biaya untuk bermain golf di Korea adalah
terlalu mahal, ramai jaguh golf lelaki dan wanita negara itu dikatakan
mendapat latihan awal mereka di beberapa padang golf di negara ini.
Jadi, mana perginya jaguh golf kita?
Dengan sukan mudah jadi jutawan
Written By zabidi on Wednesday 5 October 2016 | 8:48 am
Labels:
Sukan
Post a Comment