Oleh Kamarulzaidi Kamis
UMUM mengetahui fungsi
lampu isyarat pada dasarnya adalah untuk mengelakkan kesesakan lalu
lintas agar lalu lintas bergerak dengan lebih teratur. Ia ditempatkan di
persimpangan jalan, lintasan pejalan kaki dan lokasi yang dirasakan
perlu.
Penggunaan sistem lampu isyarat pertama kali diperkenalkan di England,
United Kingdom (UK) iaitu di daerah Westminster pada 10 Disember 1868
dan ketika itu ia menggunakan lampu gas dan perlu dikendalikan secara
manual.
Namun begitu, Institut Hal Ehwal Ekonomi (IEA) UK, baru-baru
mengeluarkan laporan kajian 'Seeing Red: Traffic Controls and the
Economy', mendapati UK mengalami kerugian ekonomi lebih dari 16 bilion
pound (RM85 bilion) setahun berikutan kesesakan trafik akibat terlalu
banyak lampu isyarat.
Agensi pemantauan lalu lintas berkenaan mencadangkan, lapan daripada 10
lampu isyarat di UK perlu dihentikan kerana ia sebenarnya menggugat
keselamatan jalan raya, ekonomi dan alam sekitar.
Laporan itu mencadangkan supaya alternatif baharu dicari jika lampu
isyarat dihentikan, sistem jalan raya direka kembali agar ia lebih
bersifat terbuka dan berkonsepkan perkongsian antara pengguna.
Ia sebagai mekanisma memaksa pemandu, penunggang motosikal dan basikal
serta pejalan kaki supaya lebih bertanggung-jawab serta berwaspada
dengan bergerak lebih perlahan di persimpangan jalan.
Antara kes dirujuk adalah pekan kecil, Kent, Ashford yang menghentikan
penggunaan lampu isyaratnya pada 2008 dan kemudian menstruktur semula
jalan raya agar menjadi lebih mesra pengguna. Hasilnya, angka kemalangan
susut 41 peratus dan kesesakan jalan raya berjaya dikurangkan walaupun
pertambahan jumlah kenderaan di kawasan terbabit.
Walau begitu di negara kita, masih belum ada kajian sebegini dibuat.
Sebahagian besar daripada kita sendiri kadangkala terasa ada lampu
isyarat yang ditempuhi setiap hari tidak sepatutnya diletakkan di lokasi
berkenaan.
Bahkan lebih meresahkan apabila menunggu di lampu merah terlalu lama
menyebabkan kesesakan panjang sedangkan di jalan bertentangan yang
lengang. Lihat saja berapa ramai yang melanggar lampu isyarat mungkin
kerana tidak tahan menunggu lama di persimpangan kosong.
Saya sering pulang ke kampung di Kangar, Perlis. Seingat saya, pada
sekitar tahun 80-an bandar Kangar hanya ada kurang daripada lima lampu
isyarat, sehinggakan ia adakalanya menjadi bahan jenaka rakan warga
bandar lain sewaktu saya belajar di sebuah institusi pengajian tinggi
ibu kota. Namun itu bukan isunya.
Kini berpuluh-puluh mungkin beratus lampu isyarat diletakkan di bandar
kecil itu. Perkara ini sangat meresahkan dan ada daripadanya dirasakan
membuang masa kerana ia tidak diperlukan di situ. Banyak alternatif lain
yang lebih sesuai seperti susur pusingan U atau bulatan, jika dirasakan
jejambat itu terlalu mahal.
Janganlah dijadikan lampu isyarat sebagai lambang kemajuan. Saya rasa
banyak lagi tempat lain khususnya bandar kecil di negara ini berdepan
situasi serupa.
Mungkin tiba masanya pihak kerajaan, universiti tempatan dan pihak
majlis bandaran memberi perhatian mengkaji alternatif kepada lampu
isyarat serta struktur jalan raya tempatan yang lebih sesuai dan selamat
untuk mengurangkan kesesakan.
Lampu isyarat cetus kerugian ekonomi
Written By zabidi on Tuesday 4 October 2016 | 1:45 pm
Labels:
Artikel
Post a Comment