Oleh Muzaffar Syah Mallow
Sudah
sampai masanya ketagihan sesetengah pihak untuk memperolehi jumlah A
dalam peperiksaan diatasi.Berapa banyak pun A yang diperolehi tidak
akan menjamin kejayaan hidup seseorang dalam menempuh pelbagai jenis
cabaran di alaf baru ini.
Ketagihan untuk mendapat sejumlah A
dalam kertas peperiksaan dilihat mencapai kemuncaknya terhadap pelajar
di sekolah, di mana mereka diberi pendedahan awal mengenai kepentingan
untuk memperolehi sejumlah A dengan harapan ia membantu kehidupan
mereka di kemudian hari.
Ini secara tidak langsung mengundang tekanan
emosi dan mental para pelajar itu yang terpaksa bertukus lumus belajar
siang dan malam serta mengambil beberapa kelas tambahan semata-mata
mengejar sejumlah A dalam peperiksaan.
Kita tidak boleh hanya
menyalahkan ibu bapa serta pelajar terhadap harapan mereka untuk
memperolehi A dalam peperiksaan, kerana sistem sedia ada menyebabkan
ramai di antara kita terpaksa bergantung pada jumlah A yang diperolehi
untuk mendapatkan sesuatu.
Misalnya, tawaran memasuki institusi pengajian atau sekolah berasrama masih terikat kepada jumlah A yang diperolehi.
Begitu
juga, pemberian biasiswa selain daripada hadiah serta ganjaran yang
diberikan terhadap pelajar yang berjaya memperolehi A dalam semua
subjek.
Sistem kini menyebabkan ramai terpaksa belajar untuk
memperolehi sejumlah A. Akibatnya, ramai generasi muda yang bakal
dilahirkan kelak hanya memberi fokus serta keutamaan mereka untuk
memperolehi sejumlah A kerana mereka dilatih serta didedahkan pada
peringkat awal di rumah, sekolah serta melalui kefahaman yang kejayaan
hidup bergantung kepada “A”.
Ini memberi impak negatif terhadap pelajar yang tidak berjaya memperolehi A, yang beranggapan masa depan mereka gelap.
Sindrom
ketagihan atau kebergantungan terhadap “A” mesti dihapuskan. Sistem
pendidikan negara harus ditambah baik lagi bagi melahirkan generasi
muda yang betul-betul berkualiti serta yang tidak dinilai berdasarkan
jumlah A yang diperolehi mereka.
Pihak media dalam negara kita juga harus membantu bagi merubah sindrom berkenaan.
Setiap
tahun, media memberi ruang terhadap pelajar yang memperolehi A setiap
kali keputusan peperiksaan diumum. Ini, walaupun mempunyai tujuan baik
untuk memberi contoh kepada pelajar lain, secara tidak langsung juga
mereka menyumbang kepada ketagihan untuk mendapat sejumlah A.
* Muzaffar Syah Mallow merupakan pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.
Sindrom ketagih A dalam peperiksaan
Written By zabidi on Wednesday, 23 November 2016 | 11:20 am
Related Posts :
Labels:
Rencana
Post a Comment