Musim peperiksaan di Malaysia sudah bermula. Dan tentulah aku teringat suasana ketika aku juga sibuk bersiap sedia menghadapi peperiksaan, masa kecil-kecil dulu. Bagi aku dan anak-anak kampung yang lain yang amat ‘kaya dengan kemiskinan’, peperiksaan yang akan dihadapi adalah merupakan ‘pertarungan hidup mati’.
Sebenarnya tujuan persekolahan pada ketika itu ( bagi aku ler) bukan untuk menuntut ilmu tetapi untuk mendapatkan ‘tiket’ mencari pekerjaan. Mungkin arwah bapak aku menghantar aku ke sekolah dengan tujuan mendapatkan ilmu. Mungkin. Tetapi ramai orang kampung yang melihat bahawa lulusan sekolah Inggeris pada ketika itu pastinya akan mendapat pekerjaan yang baik. Untuk jadi D.O ( District Officer – Pegawai Daerah).
Walaupun begitu ganjaran yang berada di hadapan mata, namun
tidak ramai pula ibu bapa di kampung aku yang menghantar anak mereka ke
sekolah Inggeris. Banyaklah alasan yang diberikan. Pun begitu, ramai
juga kawan-kawan sebaya aku tidak langsung ke sekolah. Sekolah Orang
Putih pun tidak, sekolah Melayu pun tidak. Manaf, Zainal, Khalid sudah
mula menoreh getah ketika berumur 13 tahun. Sayang….
Aku teringat kisah bagaimana aku menduduki pepepriksaan
waktu dulu-dulu. Awal tahun 1960an. Negara baru saja mencapai
kemerdekaan. Masih terasa lagi bahang zaman British. Masih ada lagi
pegawai-pegawai British yang berkhidmat di jabatan kerajaan di Malaysia.
Pengetua Clifford School Kuala Kangsar, Mr JF Porter dan selepas itu
Mr. Bumnford baru saja pulang ke England dan digantikan oleh Mr. Karam
Singh.
Awal tahun 60an masih tidak banyak bahan bacaan untuk
ditelaah sebelum menduduki peperiksaan. Bukan macam sekarang. Yang ada
hanyalah buku teks. Maka buku tekslah sahaja yang akan dibaca. Apa ‘yang
‘dikatakan’ oleh buku teks maka itu sajalah yang akan ‘ditumpahkan’
semula ke dalam jawapan peperiksaan. Pendek kata tidak perlu berfikir
panjang untuk menjawab sesuatu soalan. ‘Luahkan’ saja apa yang dibaca.
Nak mengharapkan nota yang diberi oleh guru juga tidak
mencukupi. Ada guru yang ‘mengajar’ kami dengan menyuruh murid-murid
membaca buku teks seorang demi seorang. Tanpa memberikan penjelasan dan
penerangan tentang apa yang dibaca, maka itulah bentuk pengajajaran yang
dijalankan. Bukanlah pulak semua guru yang bersikap demikian. Tetapi
ada guru yang bertindak sedemikian rupa.
Seingat aku, bermula dari darjah satu sehingga Darjah empat
di sekolah Melayu, tidak ada langsung buku rujukan yang digunakan.
Murid-murid hanya mengharapkan pengajaran yang diberikan oleh guru.
Tidak ada ‘homework’. Aku hanya mula mengenali apa yang diertikan
sebagai ‘homework’ apabial berada di sekolah Inggeris. Ketika berada di
Special Malay Class One Sekolah ‘orang putih’ ler tu.
Satu keadaan yang tidak dapat aku lupakan ketika menduduki
peperiksaan ialah tentang ‘persediaan’ yang perlu. Disamping persediaan
akademik ( nota-nota dan buku teks) kami dinasihatkan mendapatkan
‘tangkal’ dari Kang Tomo. Untuk mengelak dari ‘darah gemuruh’ dan supaya
‘bertenang’ ketika menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan, kata orang
kampung.
Aku tidak terkecuali untuk mendapatkan ‘khidmat’ Kang Tomo.
Kononnya beliau ialah Kiyai dari negeri Jawa yang menetap tinggal di
Kampung Paya Lintah. Tak jauh ler dari kampung aku. Dan menjelang
sesuatu peperiksaan, maka akan berduyun-duyunlah calon-calon peperiksaan
(dari kampung aku dan kampung-kampung lain di sekitar Kuala Kangsar)
pergi ‘berjumpa’ dengan Kang Tomo untuk mendapatkan ‘tangkal’ sebagai
‘bekalan’ menduduki peperiksaan.
Setiap calon mesti menyediakan wang 5 sen dengan gambar
Queen Victoria. Maknanya wang shiling sebelum Queen Elizabeth. Apa perlu
sangat wang shiling berkenaan, tidak pula aku siasat. Maka ramailah
yang mencari ‘duit lima duit’ berkenaan, sehingga ada yang sanggup
membayar RM10 untuk mendapatkan wang berkenaan. Begitulah terdesaknya
ibu bapa pada ketika itu demi untuk kejayaan anak-anak.
“Duit lima duit’ akan dijampi oleh Kang Tomo. Dan apabila
sampai waktu peperiksaan, ‘duit lima duit’ hendaklah diletakkan di bawah
lidah sepanjang peperiksaan berlangsung. Seperti menghisap gula-gula.
Dan kami lakukan sebagaimana yang ‘diarahkan’ oleh Kang Tomo. Dan ketika
menduduki peperiksaan, ada juga timbul perasaan takut kepada pengawas
peperiksaan, takut-takut kalau diperiksanya apa yang ada dalam mulut.
Tentulah akan timbul isu besar sekiranya ‘rahsia’ ini terbongkar.
Mujurlah kami terselamat dari keadaan sedemikian.
Kesannya. Ada yang berjaya dan ada yang juga yang gagal.
Tetapi aku yakin bahawa ‘duit lima duit’ itu hanyalah untuk memberikan
keyakinan kepada kami untuk memberanikan diri menduduki peperiksaan.
Yang menyebabkan kami berjaya bukanlah ‘duit lima duit’ tetapi kerja
keras yang kami lakukan.
Untuk jadi ‘bahan sejarah’, ‘duit lima duit’ itu masih ada
lagi dalam simpanan aku. Sekurang-kurangnya mengingatkan aku tentang
kehebatan arwah emak dan bapak ditinjau dari sudut saikologi.
abuhassanadam
http://abuhassanadam.blogspot.my/
Post a Comment