Headlines News :
Home » » Raihan cari penaja

Raihan cari penaja

Written By zabidi on Tuesday, 2 May 2017 | 4:15 pm

Oleh HARYATI KARIM

Selepas 21 tahun berkecimpung dalam bidang muzik dan mengharumkan nama Malaysia ke seluruh dunia, tiada apa yang dimahukan oleh kumpulan nasyid tersohor Raihan, selain menganjurkan konsert besar-besaran di tanah air sendiri.

Namun begitu, hasrat berkenaan sering kali tertangguh disebabkan ketiadaan penaja yang sudi menaja sebuah konsert berunsur Islamik. Masalah itu dinyatakan sendiri oleh Raihan yang kini dianggotai oleh Che Amran Idris, Abu Bakar Md. Yatim dan Amran Ibrahim ketika ditemui pada sidang akhbar program makan malam Feed Your Body, Feed Your Soul di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Raihan bersedia untuk mengadakan konsert pada bila-bila masa. Masalah terbesar kami adalah ketiadaan pihak penaja. Menganjurkan sebuah konsert memerlukan kos yang tinggi. Kami tidak mahu melakukan konsert sekadar melepaskan batuk di tangga.

“Sebaliknya, kami mahu mengadakan sebuah konsert yang gah sesuai dengan usia Raihan yang telah memasuki angka ke-21 tahun. Selain itu kami mahu orang ramai melihat lagu nasyid atau ketuhanan sebagai salah satu aliran muzik komersial seperti pop dan rock,” kata Abu Bakar.

Bercakap mengenai pencapaian mereka yang tersenarai dalam 500 Muslim paling berpengaruh di dunia bagi tahun kesembilan berturut-turut, Raihan berkata, pengiktirafan tersebut bagaimanapun tidak mampu membuka mata penaja untuk menaja konsert mereka. Pengiktirafan itu diberi daripada hasil kajian yang dilakukan oleh Universiti Georgetown, Washington, Amerika Syarikat dan dikeluarkan dalam The Muslim 500: The World’s Most Influential Muslims bagi umat Islam seluruh dunia, merangkumi pelbagai bidang sepanjang 2016.

Sungguhpun memiliki pencapaian luar biasa dan diangkat di pentas antarabangsa, Raihan masih dipandang sepi di negara sendiri. Raihan dan aliran nasyid itu sendiri sering dilabel sebagai muzik ‘kebajikan’.

Justeru itu, banyak syarikat korporat enggan menaja kumpulan aliran nasyid kerana beranggapan muzik mereka berunsur kebajikan.
Raihan akan terbabit dalam program makan malam amal Feed Your Body, Feed Your Soul pada 13 Mei depan.


“Kami telah berusaha mencari penaja, tetapi kebanyakan syarikat korporat lebih berminat menaja penyanyi pop atau rock luar negara. Bagi mereka Raihan dan nasyid itu adalah muzik kebajikan, tidak perlu dilaburkan wang yang banyak.

“Walhal nasyid itu salah satu aliran muzik yang dalam masa sama menganjak orang ke arah kebaikan. Memang perit, tetapi itulah realiti yang terpaksa kami hadapi,” luah Abu Bakar. 

Realiti seni

Biarpun pahit realiti yang terpaksa dihadam, Raihan tetap meneruskan perjuangan dalam bidang seni kerana selain menghiburkan orang ramai, mereka juga mempunyai misi dakwah.
Oleh itu, mereka tidak pernah berputus asa kerana telah melihat keindahan dakwah di depan mata sendiri apabila ramai orang memeluk Islam hanya dengan mendengar lagu Raihan.

“Jika memikirkan tentang kelangsungan hidup lebih baik kami buat kerja lain, tetapi Raihan wujud bukan kerana muzik sahaja. Sebaliknya, ada perjuangan lebih besar yang kami fikirkan,” ujar Che Amran.

Sementara itu, bercakap tentang perkembangan seni Raihan, terbaharu mereka akan mengadakan persembahan dalam program makan malam amal Feed Your Body, Feed Your Soul yang akan berlangsung pada 13 Mei depan di Rumah Puspanita, Jalan Hose, Kuala Lumpur.
Program makan malam amal itu dianjurkan oleh Interactive Dakwah Training (IDT) salah satu badan bukan kerajaan yang membantu mualaf dan bukan Muslim mengenali Islam dengan lebih dekat.
“Sebenarnya ini kali pertama Raihan terlibat dalam program dakwah untuk orang bukan Muslim. Raihan sama-sama komited untuk terlibat dalam program ini kerana ia satu pengalaman baharu.
“Besar harapan kami ia mendapat sambutan sekali gus mencapai matlamatnya untuk mengutip dana bagi IDT dan menarik lebih ramai orang bukan Muslim terhadap Islam,” jelas Che Amran.
Selain Raihan, program amal itu turut diserikan dengan ilmu pengisian jiwa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan pendakwah, Lim Jooi Soon.

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER