Oleh
UMAT Islam
sepatutnya menyedari bahawa objektif kehidupan mereka di dunia adalah
untuk menjadi hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini. Jika setiap
individu Islam memahami bahawa kehidupan di dunia ini adalah sementara
sebelum roh kembali kepada Ilahi, maka amalan rasuah dan penyalahgunaan
kuasa tidak akan berleluasa dalam masyarakat Islam.
Kerakusan dan keinginan untuk menjadi
orang yang paling berkuasa dan kaya adalah penyakit hati yang sukar
untuk dibendung jika hasil kekayaan yang diperoleh itu tidak diredai
Allah. Umat Islam yang memahami erti kehidupan dan sentiasa memahami
kematian adalah satu kemestian tidak akan melakukan sesuatu yang
bertentangan dengan hukum hakam Allah.
Firman Allah dalam Surah 62 (al-Jumu’ah) ayat 8 yang bermaksud:
“Katakanlah, sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka
sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan
dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata,
lalu Dia memberitahukan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”
Kesedaran terhadap kematian dan bagaimana roh
manusia dipisahkan daripada jasad sepatutnya disemat dalam minda umat
Islam supaya kerakusan terhadap kuasa dan kekayaan dapat dihakiskan
dalam hati nurani umat Islam.
Jika
di dunia ini setiap korupsi dan penyalahgunaan kuasa dapat
dipertahankan dan dilindungi, maka fahamilah ketahanan dan kekebalan itu
adalah terlalu rapuh. Ketahanan untuk melindungi nyawa dan harta benda
di dunia ini adalah terlalu kerdil jika dibandingkan benteng
perlindungan Allah.
Kecintaan terhadap kekayaan dan kuasa yang
keterlaluan sukar dibendung jika hati nurani dan minda beranggapan
bahawa kekayaan dan kuasa adalah satu kebahagiaan yang hakiki.
Pemikiran begini hanyalah khayalan yang
dipaparkan oleh musuh utama manusia sejak azali lagi. Oleh itu, Allah
memperingati umat Islam dalam Surah 102 (al-Takathur) ayat 1-8 yang
bermaksud: “Bermegah-megahan telah melalaikan kamu, sampai kamu
masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui
(akibat perbuatanmu itu) dan janganlah begitu, kelak kamu akan
mengetahui.
“Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan
pengetahuan yang yakin, nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka
Jahim dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan ‘ainul
yaqin. Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan
(yang kamu megah-megahkan di dunia itu).”
Kekayaan dan kuasa jika diperoleh secara menindas
dan menyukarkan kehidupan orang lain adalah api yang menyemarak dalam
diri yang mana belas kasihan dan kemanusiaan sudah terhapus dalam
sanubari.
Apabila diri sudah dikuasai oleh perasaan begini,
maka rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penindasan akan menjadi fenomena
dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara yang mana akhirnya umat
Islam akan kehilangan kuasa dan kewibawaan.
Kekayaan dan kekuasaan yang diberikan oleh Allah
kepada setiap individu adalah tanggungjawab atau amanah Allah yang perlu
dilaksanakan.
Jika kekayaan diperoleh, maka berkongsilah dengan
orang yang miskin. Perkara ini diperingati oleh Allah dalam Surah 57
(al-Hadid) ayat 7 yang bermaksud: “Berimanlah kamu kepada Allah dan
Rasul-Nya dan nafkahkanlah sebahagian dari hartamu yang Allah telah
menjadikan kamu menguasainya. Maka orang yang beriman di antara kamu dan
menafkahkan (sebahagian) daripada hartanya memperoleh pahala yang
besar.”
Berdasarkan penjelasan tersebut, maka umat Islam
perlu mengimbangi kecintaan terhadap dunia dan akhirat supaya kehidupan
di dunia diberkati Allah dan memperoleh ganjaran yang istimewa di hari
akhirat.
PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Post a Comment